Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, October 3, 2020

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 1)

Masjid Raya Sultan Riau Pulau Penyengat

UNDANG-UNDANG LIMA PASAL RIAU
1. Asal Usul Raja Melayu Riau-Lingga-Johor dan Pahang.
2. Adat Istiadat Raja Raja Riau-Lingga-Johor dan Pahang.
3. Jajahan dan daerah takluk nya.
4. Bahasa Istana.
5. Wakil Mutlak.

Tahun Hijrah 1221. (Tahun 1806 M).

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Bahawa sesungguhnya inilah suatu yang diperpegang pada masa ini oleh Raja Raja yang dikeluarkan daripada Sejarah Melayu yang bernama Tawarikh Al Wusta yang diperbuat antara Raja Melayu dengan Raja Bugis yakni Yang DiPertuan Besar dengan Yang Dipertuan Muda yang dimukhtasarkan di sini kerana hendak mengambil sempena yang telah di mufawidkan yang amat teguh. Maka didalam nya beberapa pasal.

Pasal yang pertama pada menyatakan asal Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dengan Bendahara dan Temenggung.

Pasal yang kedua pada menyatakan adat istiadat Raja Melayu dan istilahnya yang menyalahi adat Raja di atas angin adanya.

Pasal yang ketiga pada menyatakan segala tokong pulau pulau siapa yang punya milik, dengan jalan apa dimiliki oleh Raja itu dan pada masa mana dan bagaimana maka menjadi milik kepada Raja itu.

Pasal yang keempat pada menyatakan bahawa Raja Raja yang diperbahasakan dan adat nobat dan semberap jawatan adanya.

Pasal yang kelima pada menyatakan makna wakil yang tersebut didalam kontrak perjanjian dengan Holanda.
Maka inilah kami nyatakan dibawah ini adanya.

Pasal satu.
Pada menyatakan asal Raja Melayu yang mukhtasar yang diambil daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang pada Hijrah seribu seratus dua puloh Sembilan tahun 1129. Mangkatnya itu sebab terbunuh berperang dengan Raja Kecik Siak. Menjadi Raja Keciklah Kerajaan di Riau dengan daerah takluknya pada Hijrah seribu seratus tiga puloh tiga tahun 1133. Pada masa itulah Putera Putera Marhum Abdul Jalil dibawa oleh Laksemana Nakhoda Sekam ke Riau kepada Raja Kecik seorang bernama Raja Sulaiman dan seorang bernama Raja Abdul Rahman dan perempuan nya lima orang maka dibuat oleh Raja Kecik penjawat membawa tepaknya dan lain lain.

Di dalam hal itu maka datanglah Raja Bugis bernama Kelana Jaya Putera nama batang tubuhnya Daeng Merewah dan serta segala saudaranya yaitu segala anak anak Opu Tandri Daeng Rilaga dan adalah datangnya sebab dijemput oleh Raja Melayu minta bantu minta tolong pukulkan Raja Kecik itu. Maka dipukulnya dengan segala takluk daerahnya maka alahlah Riau itu maka Raja Kecik pun larilah ke Siak dan dapatlah negeri Riau dengan takluk daerahnya ke tangan Raja Bugis yang bernama Kelana Jaya Putera itu yaitu pada Hijrah seribu seratus tiga puloh empat tahun 1134. Kemudian diangkatlah oleh Kelana Jaya Putera itu akan Raja Sulaiman itu digelarnya Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Didalam pada itu minta pula Sultan Sulaiman kepada Kelana Jaya Putera itu hendak dijadikannya saudaranya dunia akhirat yang tiada boleh bercerai cerai selama lamanya. Maka dikabulkan oleh Kelana Jaya Putera permintaan Sultan Sulaiman itu di gelarnya pula Sultan Sulaiman akan Kelana Jaya Putera itu Yang DiPertuan Muda Sultan Alauddin Syah Ibni Opu.

Maka ada pula saudara Kelana itu bernama Opu Daeng Celak di sebelah Barat di panggil orang Arung Pali. Maka dikahwinkan pula dengan saudaranya yang bernama Tengku Mandak gelarnya Tengku Puan dan seorang lagi saudara Kelana Jaya Putera iaitu Opu Arung Parani dikahwinkan pula oleh Sultan Sulaiman dengan saudaranya bernama Tengku Tengah. Maka Tengku Tengah beranakkan Raja Maimunah. Adapun Tengku Mandak itu beranakkan Tengku Hitam dan Tengku Putih dan Tengku Putih itu beranakkan Marhum Mahmud dan Marhum Mahmud itu beranakkan Sultan Abdul Rahman Lingga dan Sultan Husin Selat dan Sultan Abdul Rahman itu beranakkan Sultan Muhammad dan Sultan Muhammad beranakkan Sultan Mahmud yang ada pada tarikh membuat surat ini. Dan ada lagi putera Arung Pali dua orang laki laki yang seorang nama nya Raja Haji yaitu Marhum Mangkat di Teluk Ketapang dan seorang lagi bernama Raja Salih yaitu yang menjadi Yang DiPertuan Selangor dan dua orang perempuan lagi Raja Halimah dan Raja Aminah.
Syahadan adalah Yang DiPertuan Raja Haji itu beranakkan Marhum Jaafar dan Raja Idris dan Raja Ahmad dan yang lain daripada itu perempuan semuanya yaitu Engku Puteri dan Engku Besar dan Raja Buntit dan Engku Selangor dan Raja Pasir dan Raja Aminah dan Engku Teluk.

(Bersambung ke Bahagian 2)...

No comments:

Post a Comment