Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Tuesday, December 29, 2015

16. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke enam belas...


Peperangan dengan Belanda di Melaka

Pada sekitar tahun 1752, Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja dan Raja Haji yang telah berundur dari Linggi ke Rembau akibat kalah didalam serengan mengejut yang dilakukan oleh angkatan perang Belanda dari Melaka, telah menyiapkan angkatan perang mereka bersama sama dengan Penghulu Rembau bagi melancarkan serangan balas kepada pehak Belanda di Melaka kerana telah menyerang Linggi tanpa sebarang sebab.

Dalam pada bersiap siap itu, datang lah Raja Alam dari Batu Bahara ke Rembau setelah mendendapat khabar mengenai iparnya, Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja itu. Raja Alam ini telah berkahwin dengan adinda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja iaitu Raja Khadijah, dan berputerikan Raja Badariah. Kemudiannya Raja Badariah ini bersuamikan Saiyid Uthman Ash-Shahab, dan berputerakan Saiyid Ali yang kemudiannya menjadi Sultan Siak ke tujuh dari keturunan Arab.

Kedatangan Raja Alam ke Rembau untuk bertemu dengan iparnya, Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja, di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Maka apabila berjumpa Raja Alam itu dengan Yang DiPertuan Muda, maka Yang DiPertuan Muda pun berkahbar hal dirinya, difitnahkan oleh Raja Kecik Terengganu , sampai huru haralah negeri Riau hingga sampai ke Melaka dan Linggi benihnya daripadanya. Maka kata Raja Alam, “Waktu abang dilanggar oleh Holanda itu, Tun Dalam nya adakah naik ke darat sama sama Holanda?’ Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Tiada ia naik, beberapa kali disuruh oleh Raja Haji teriakkan suruh naik, jangan kan ia naik, disahutnya pun tidak”. Maka Raja Alam pun tertawa seraya katanya, “Di Siantan begitu juga, beberapa kali saya ajak bertikam ke darat mendiamkan dirinya juga ia. Jikalau begitu orang yang mulut tajam, hendak membinasakan orang dengan mulutnya. Itulah alamat senjata laki lakinya tumpul”. Maka Yang DiPertuan Muda pun tersenyum.


Syahadan apabila sudah selesai daripada berkhabar khabar itu maka Raja Alam pun balik ke Batu Bahara, mengumpulkan orang orang disana dibawanya membantu Yang DiPertuan Muda itu. Maka muafakatlah Yang DiPertuan Muda itu dengan segala penghulu penghulu Rembau serta bersumpah setia dengan segala Bugis Bugis yang didalam Linggi itu. Maka ada kira kira lima belas hari lalulah berjalan melanggar Melaka. Maka pada hari itu juga melanggar Tengkera maka berperang disitu beramuk amukkan. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun membuat kubu di Kelebang, maka disitu Yang DiPertuan Muda bersemayam. Maka Raja Rembau pun membuat pula kubu satu, menjadi dualah kubu yang besarnya dan segala Bugis pun berkubu juga.

Syahadan setelah mustaid kubu kubu itu maka Yang DiPertuan Muda pun melanggar Peringgit, maka Peringgit pun alahlah. Maka selalu melanggar Bukit Cina, maka tiga kali langgar Bukit Cina pun alah juga. Kemudian Semabuk pula dilanggarnya, lalu ke Teluk Ketapang. Maka Yang DiPertuan Muda balik semula ke Kelebang. Maka tiada berapa lamanya, Raja Sa’id datang dari Selangor membawa petikaman dari Selangor, beberapa ratus Bugis. Kemudian Raja Alam pun datang membawa segala petikaman beberapa ratus. Lalu Raja Alam berbuat kubu besar satu.

Kemudian tiada berapa antaranya, maka datanglah suruhan dari Rembau mengatakan anak Raja Muda yang bernama Raja Linggi mangkat. Setelah Yang DiPertuan Muda mendengar sembah suruhan itu, maka berangkatlah ia ke Rembau. Adalah yang diwakilkannya perang itu, iaitu Raja Sa’id serta Raja Alam. Kemudian datanglah langgar dari Melaka terlalu banyak serdadunya, sebab bantunya sudah datang dari Betawi, iaitu ada enam bangsa yang datang itu. Pertama serdadu Holanda serta Nasrani, kedua serdadu Bali, ketiga serdadu Jawa, keempat serdadu Bugis, kelima Cina, keenam Melayu. Maka rapatlah segala serdadu itu, mengepung kubu tiga buah itu. Maka lalu beramuk amukan bunyi senapang pemburasnya pun tiada berputusan. Maka dengan tolong Allah Subhanahu Wataala tiada juga alah. Maka banyaklah mati serdadu hari itu. Adapun pakaian serdadu yang mati mati itu seperti cepiau cepiau (topi) dan kasut kasut itu pun bertimbun timbun. Kemudian berhenti perang.

Kemudian Yang DiPertuan Muda pun menyuruh melanggar Peringgit semula. Maka berperanglah beramuk amukkan. Maka Peringgit pun alah. Maka berhentilah berperang berbicara damai semula. Maka Yang DiPertuan Muda pun meminta kesalahannya kepada Holanda. Apa sebab dilanggar ia di Linggi dengan serkap, dengan tiada ditentukan sebabnya?. Maka Holanda pun memberi surat peringatan segala perkataan Raja Kecik disuruh Sultan Sulaiman kepada Gebernur Melaka itu. Maka apabila Yang DiPertuan Muda melihat surat itu, maka Yang DiPertuan Muda pun memberi jawab kepada Holanda, “Adalah yang disuruh Sultan Sulaiman itu mengambil kita, Tun Dalam beserta saudara kita Raja Haji ini. Mana mana dia perkataan Raja Haji?. Cubalah Gebernur periksa ke Riau kepada Sultan Sulaiman, benarkah seperti perkataan Tun Dalam itu, atau tidak?”.

Syahadan apabila Gebernur mendengar jawab Yang DiPertuan Muda itu, maka ia pun muafakatlah dengan segala orang besar besarnya pada pekerjaan yang lalu itu. Maka Holanda pun mengajak berdamai. Maka lalu berdamai. Maka perang ini ada kira kira sembilan bulan. Maka Holanda pun mengajak berbuat perjanjian antara Yang DiPertuan Muda serta Bugis Bugis Riau dan Selangor dan Linggi dan Langat pun, supaya senang orang berniaga mencari kehidupan. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertangguh minta periksakan Sultan Sulaiman dahulu, serta ia hendak balik dahulu ke Linggi. Maka dibenarkan Holanda. Maka baliklah Yang DiPertuan Muda ke Linggi bersama sama Raja Rembau, dan Raja Alam balik ke Batu Bahara, dan Raja Sa’id pun baliklah ke Selangor.

Syahadan kembali pula kepada kesah yang dahulu. Adapun Raja Kecik Terengganu apabila Linggi sudah alah, maka ia pun ke Riau lah memaklumkan kepada Sultan Sulaiman bahawa Raja Muda bertangguh di belakang ia mengadap. Kemudian baharulah ia membuat satu perkara yang keruh dengan hendak membawa isterinya pindah ke Terengganu beserta segala orang orang Riau. Dan Peranakan Bugis yang ada di Riau sudahlah rupa rupa hendak dinyahkan nya. Maka mengambil hatilah Raja Aminah dan Raja Halimah, maka lalu pindah ke Retih. Adapun Raja Kecik berperi perilah ia menurunkan anak isterinya ke perahu dan Sultan Sulaiman pun disilakannya juga ke Terengganu, kerana hendak mohon berkat dari ke bawah duli baginda. Maka baginda pun masuk juga menerima maksudnya Raja Kecik itu, lalu menyiapkan perahu serta segala harta pun turun ke kenaikan. Adalah Raja Abdul Jalil, laki isteri tiada mau turun, titahnya, “Tiada mau menurut honar Tun Dalam itu”.

Syahadan Sultan Sulaiman selalu selalu juga bertanya, “Bila Raja Muda datang?”. Maka sembah Raja Kecik, “Didalam bulan ini jua datangnya. Akan tetapi meski pun ke bawah duli berangkat ke Terengganu, tentu Raja Muda mendapatkan ke bawah duli juga di Terengganu”. Maka baginda pun diam. Syahadan Raja Kecik pun berkerahlah menyuruh perahu perahunya mana yang sudah berisi orang orang Riau dan barang barang itu, disuruhnya ilir ke kuala, berlabuh dilaut laut sekadar menantikan baginda saja turun, yang lain semua sudah turun.

Syahadan kata sahibul hikayat, datanglah orang dari Melaka berdagang menyembahkan kepada baginda mengatakan Linggi sudah alah dilanggar Holanda dengan permintaan baginda dari Riau. Setelah baginda mendengar khabar orang itu maka baginda pun terkejut serta berhamburan air matanya, lalu memanggil Raja Kecik. Maka Raja Kecik Terengganu pun datang. Maka belum sempat duduk, maka baginda pun berdiri dihadapannya sambil menghempaskan bulang hulunya serta bertitah, “Cis! Sampai nya hati Tun Dalam! Lain yang aku suruh, lain yang diperbuat. Inilah orang yang tiada harus diperbuat sanak saudara, terlalu khianatnya”. Maka Raja Kecik Yang DiPertuan Terengganu melihat baginda sangat murka itu, maka ia pun segeralah turun ke perahu kenaikan baginda itu hendak didayungkan nya ke ilir. Maka gemparlah didalam istana itu mengatakan baginda murka akan Tun Dalam.

Maka khabar itu sampailah kepada Raja Abdul Jalil Raja DiBaruh. Maka ia pun terkejutlah serta bangkitlah marahnya, maka ia pun menghunus keris panjangnya lalu berlari ke pengkalan sambil berkata, “Tiada balasnya Tun Dalam itu melainkan tuntung kerisku inilah”. Maka gemparlah didalam kota mengatakan Raja DiBaruh hendak bertikam dengan Yang DiPertuan Terengganu. Maka Bendahara pun berlarilah mendapatkan Raja DiBaruh itu dan segala juak juak dan segala orang tua tua menerkamlah ke kenaikkan baginda itu. Adapun Raja DiBaruh apabila sampai ke kenaikan itu titahnya, “Hai, Wan Dalam! Hendak didayungkan kemana perahu bapa tiri engkau itu? Marilah kita bertikam, suka aku buraikan perutnya, baharu nya puas hatiku!

Maka Datuk Bendahara memberi isyarat kepada Yang DiPertuan Terengganu, maka Yang DiPertuan Terengganu pun turun dari belakang perahu itu lalu lari ilir. Maka tiadalah jadi orang orang Riau ke Terengganu, akan tetapi mana mana perahu yang sudah lepas ke laut terbawalah oleh Raja Kecik itu ke Terengganu, banyak juga anak Raja Raja yang terbawa.

Syahadan pada hari itu gempar benarlah didalam Riau seperti huru hara mahsyar dunia umpamanya, kerana ada yang bercerai dengan ibu bapanya, ada yang bercerai dengan sanak saudaranya, ada yang bercerai dengan anak isterinya. Maka bertangis tangislah setengah atas setengahnya, riuh rendah, huru hara.
Syahadan kata sahibul hikayat, maka tiada berapa antaranya maka datanglah satu orang besar Melaka disuruh Gebernur menyilakan Sultan Sulaiman ke Melaka, hendak berbicara pada pekerjaan yang telah lalu perbuatan Raja Kecik Terengganu. Maka berangkatlah Sultan Sulaiman ke Melaka. Maka apabila tiba baginda pun menyuruh ke Selangor menjemput paduka anakanda Yang DiPertuan Selangor serta orang besar besarnya. Maka segala orang orang itu pun datanglah ke Melaka. Maka bermusyawarah pada pekerjaan yang telah lalu itu semata mata khianat dan fitnah, sesal pun tiadalah memberi faedah.

Syahadan kemudian baharulah berjumpa dengan Gebernur Melaka itu di Bunga Raya nama tempatnya. Maka berbicara didalam gedung itu. Maka Gebernur Melaka pun mengkhabarkan perkataan Raja Kecik serta menunjukkan daftar wang belanja melanggar Linggi. Adapun banyaknya tujuh laksa, tiga ribu, empat ratus lima puluh tujuh (73,457) ringgit. Maka jawab baginda, “Adapun pekerjaan itu sekali bukan dengan suruhan kita. Yang kita suruhkan lain yang diperbuatnya. Maka tiada kita sanggup membayarnya”. Maka jawab Gebernur, “Seperti titah Tuan Sultan itu sebenarnya, akan tetapi Tuan Sultan boleh fikir sedikit, Tuan Sultan satu Raja, orang membuat pekerjaan palsu didalam negeri Riau Tuan Sultan tiada tahu, apa lagi saya. Lagi pula Yang DiPertuan Terengganu itu satu Raja, lagi jadi menantu Tuan Sultan, jikalau kita tidak percaya bukankah Tuan Sultan jadi malu kepada Raja Raja yang lain lain? Seolah olah Tuan Sultan mengambil menantu orang jahat. Seperkara lagi, kita sudah bersahabat mana mana yang kepercayaan Tuan Sultan mesti saya percaya. Adapun hukumannya atas Tuan Sultan punya sanak saudara yang saya tiada boleh masuk campur, dan jikalau Tuan Sultan minta tolong, saya tolong. Maka inilah saya berkhabar terus”. Syahadan setelah Sultan Sulaiman mendengar perkataan Gebernur Melaka itu, maka baginda pun terdiam sejurus. Kemudian titahnya, “Baiklah nanti barang apa pun biarlah saya mau berjumpa juga dengan Raja Terengganu”. Syahadan apabila selesai berbicara itu, maka baginda pun berangkatlah ke Riau serta bertitah kepada segala orang besar besar Selangor, “Yang kita balik ini, di belakang menyuruh mengambil Raja Muda adanya”.

(bersambung ke bahagian ke tujuh belas...)

Monday, December 21, 2015

15. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke lima belas...

Setelah habis perang di Siantan pada tahun 1750, Sultan Sulaiman serta paduka anakanda Yang DiPertuan Muda dan anakanda anakanda sekelian berhimpun lah bersama didalam Riau. Adalah harapan baginda Sultan Sulaiman yang bakal menggantikan baginda adalah putera gahara baginda iaitu Raja Abdul Jalil, yang sudah pun beristerikan sepupunya iaitu Tengku Putih anakanda almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak dengan Tengku Mandak. Hubungan Raja Abdul Jalil dengan iparnya iaitu Raja Haji Engku Kelana dan saudara saudaranya yang lain sangatlah rapat. Demikian juga hubungan rapat diantara Sultan Sulaiman dengan anak anak Raja Bugis setelah pulang daripada perang di Siantan, makin nampaklah kasih sayangnya serta tulus ikhlas dan mesra dengan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja serta adik beradiknya. Apabila di lihat oleh sesetengah suku suku sebelah Melayu akan hal yang demikian ini, maka makin terbakarlah hatinya kerana perasaan hasad dengki.

Kemudian timbul lah fitnah yang di buat oleh Raja Kecik Terengganu yang mengatakan bahawa orang orang Bugis hendak mengamuk dan membakar rumah. Jadi kecoh lah orang orang Raja Kecik Terengganu gaduhkan dan sebarkan berita ini tiap tiap malam. Dalam sebulan dua tiga kali datang lah fitnah sedemikian. Maka di periksalah oleh Yang DiPertuan Muda bersama sama dengan Bendahara tapi tidak pula jumpa apa apa bukti seperti yang difitnahkan itu.

Kemudian selang empat lima hari datang pula fitnah mengatakan bahawa orang orang Bugis hendak membakar kota, apabila dikejarnya ia lari. Maka jadi gemparlah pada tengah malam itu gaduhkan perkara ini. Apabila siang hari, Yang DiPertuan Muda pun segera mengumpulkan segala orang orang Bugis dan segala orang orang Melayu dihadapannya. Lalu di periksa oleh Yang DiPertuan Muda di tengah orang ramai itu dan bertanya, “Siapa yang melihat, dan siapa pergi mengejar, dan siapa yang dikejar, dan siapa yang berkhabar semalam?”. Tapi tiada seorang pun yang mengaku.

Sultan Sulaiman pun sangatlah dukacita melihatkan hal perbuatan suku suku Melayu dan orang orang besar Melayu serta menantunya Raja Kecik Terengganu membuat fitnah terhadap suku suku Bugis itu. Dukacitalah hati baginda memikirkannya dan begitu juga dengan anakanda baginda Raja Abdul Jalil makin hari semakin panaslah hati memikirkan fitnah fitnah yang ditimbulkan ini, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan ada kira kira sepuluh hari renggangnya datang pula fitnah yang besar mengatakan orang Bugis meradak rumah Tun Wangsa. Maka gembarlah malam itu dan orang Terengganu pun berlari larianlah dengan lembing bercabut beberkas berkas pergi ke rumah Tun Wangsa itu, riuh rendah, mengatakan, “Kepung! Kepung! Itu dia! Itu dia!”. Maka berkejar kejarlah berhambat hambatanlah orang Terengganu.

Maka Raja Abdul Jalil pun terkejutlah daripada beradu maka ia pun pergi ke tempat gaduh gaduh itu seraya bertanya, “Apa digaduhkan ini?. Maka sembah orang orang itu, “Bugis meradak istana paduka bonda Tun Wangsa, tuanku”. Maka kata Raja Abdul Jalil, “Berapa orang yang sudah mati diradaknya?”. Maka jawab mereka itu, “Tiada yang mati, tersangkut kerisnya”. Maka kata Raja Abdul Jalil, “Engkau kenalkan orang yang meradak itu? Bugiskah, atau orang mana? Adakah engkau suluh mukanya?”. Maka jawab mereka itu, “Tidak, tuanku”. Maka titahnya, “Jikalau tidak engkau suluh dimana engkau tahu orang Bugis dengan sebegini gelapnya malam ini?. Maka jawab mereka itu, “Periksalah tuanku, pacal yang ramai itu mengatakan orang Bugis konon, maka patik pun mengikutlah”. Maka titah Raja Abdul Jalil, “Jikalau begini kelakuan engkau semua ini, sengaja engkau semua hendak mengadu tuan engkau dengan aku, atau dengan Bugis”.

Maka Raja Abdul Jalil pun berangkat ke istananya, lalu dipersembahkannya kepada paduka ayahanda bagindanya segala hal ehwal itu. Maka apabila siang hari Yang DiPertuan Muda pun pergi lah ke balairung seri mengadap baginda. Maka baginda pun menyuruh panggil Raja Kecik dan Bendahara, Temenggung serta puteranya Raja Abdul jalil, serta Raja haji serta anak Raja Raja sekelian. Maka diperhadapkan pula diperiksa sebelah menyebelah. Maka tiada juga terkatakan oleh suku suku Melayu itu serta tiada juga tertunjukkan. Maka berkata Raja Abdul jalil, “Sengaja dia semua hendak membuat pangkal perkelahian dan jikalau sungguh terjumpa Bugis meradak itu, atau Melayu, maka tikam sajalah. Apalah yang terjerit jerit, terpikau pikau tengah malam dinihari berlari lari berhambat hambat kesana kemari?”. Maka ia pun lalu turun balik dan sekeliannya pun baliklah masing masing kerumah nya.

Syahadan adapun Yang DiPertuan Muda maka tahulah akan suku suku Melayu itu sengaja hendak mendatangkan fitnah atasnya jua. Adapun bahagian Sultan Sulaiman putera berputera mangkin mesra hatinya dengan Bugis. Maka didalam hal yang demikian itu mangkin bertambah tambahlah pedih hati Raja Kecik Terengganu itu memanjangkan fitnahnya sehari hari.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun berfikir, “Jika duduk begini, akhir akhirnya jadi berbantah juga dengan suku suku Melayu, baik tak baik jikalau tidak daripadanya mendatangkan kejahatan atau daripada aku. Apalah jadinya sumpah setia itu?”. Maka ia pun memanggil Raja Haji mengkhabarkan hal ehwalnya serta ia berkata, “Yang kekanda ini hendak bermohon keluar daripada Riau ini dan Raja Haji tinggallah dahulu, tiada tahan kekanda ini akhir akhirnya merosakkan sumpah setia saja”. Maka jawab Raja Haji, “Apabila Raja Kecik itu memperbuat haru biru di atas adinda maka tiadalah adinda panjangkan lagi, melainkan adinda ajak keluar saja dari Riau ini, dimana mana tempat dia suka berperang atau bertikam boleh segera habis ketentuan maksud kedua pihak”.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun mengadaplah Sultan Sulaiman bermohon hendak keluar dari Riau itu. Maka tiadalah dilepaskan oleh baginda. Maka berhenti pula ia. Maka apabila Raja kecik mendengar hal yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya maka membuatlah ia akan beberapa macam fitnah. Maka tiadalah tertahan oleh Yang DiPertuan Muda maka bermohonlah ia kepada Sultan Sulaiman tiada juga dilepaskan oleh baginda sehingga berpuluh kali bermohon tiada juga dilepaskan oleh baginda.

Syahadan didalam hal itu maka Yang DiPertuan Muda pun menyiapkan perahunya serta diturunkan nya segala harta bendanya dan anak isterinya. Maka apabila sudah mustaid sekeliannya baharulah ia pergi bermohon pula kepada Sultan Sulaiman, sambil berdatang sembah dengan tangisnya, “Ampun, tuanku! Yang patik ini keluarlah, diberi tidak diberi, patik keluar. Derhaka celaka patik tiada. Bukannya perbuatan patik dan bukannya perbuatan tuanku, tiada dapat patik bertahan lagi, seumpama karung sudah penuh tiada muat lagi. Jikalau patik bertahan sehari dua lagi, tentulah jadi rugi atas diri tuanku. Apalah nama patik? Selama lama ini, paduka kekanda kekanda membaikkan Riau ini, tiba tiba masa patik ini merosakkan pula. Adapun patik semua anak Bugis dimana mana diam, apabila ada titah perintah ke bawah duli memanggil patik menyuruh bekerja, Insya Allah taala patik kerjakan. Akan tetapi pada waktu ini bercerai dahulu antara tuanku dengan patik semua anak Bugis, sebab jangan rosak hati sanak saudara tuanku, kerana patik ini selagi orang suka patik tunggu, pada ketika orang benci patik keluar dahulu, kerana yang patik tiada mahu menjadi derhaka celaka merosakkan nama dan sumpah setia. Tiadalah harus patik menghilangkan nama orang tua tua patik!”.

Syahadan kata sahibul hikayat maka apabila Sultan Sulaiman mendengar sembah Raja Muda itu, maka baginda pun menangislah sambil katanya, “Hai Raja Muda! Sampainya hati Raja Muda! Harapnya hati saya akan Raja Muda, perasaan hati saya jikalau saya mati saya minta jemaahlah kepada Raja Muda. Maka tiadalah sampai hajat saya. Apalah jadinya?”. Maka sembah Raja Muda, “Apa boleh buat? Sudah nasib patik pada ketika ini kerana patik memeliharakan kerugian tuanku jua”. Maka lalulah ia bermohan turun ke perahunya lalu ia belayar ke Linggi.

Maka baginda pun tiada terkata kata lagi, hilanglah kiranya tiada dapat jalan lagi menahannya. Maka air matanya jua berhamburan saja dengan dukacitanya sehari hari serta dengan sebalnya akan perbuatan sebelah sanak saudaranya sebelah Melayu, serta bertambah tambah pula khuwatirnya akan sanak saudaranya kalau kalau membinasakan dia pula, akan tetapi tiada ditampakkan nya kerana ia takut kalau kalau datang pula fitnah yang terlebih besar atasnya, melainkan mencari fikiran jugalah ia berdua puteranya dengan Raja Abdul Jalil pada hendak menetapkan Bugis itu adanya.

Syahadan kata sahibul hikayat tinggallah Raja Haji didalam Riau adik beradik. Didalam hal itu maka datang pula kacau daripada Raja Kecik Terengganu serta Bendahara, iaitu datang sebuah kapal Holanda masuk ke Riau. Entahkan bagaimana hikmatnya Raja Kecik Terengganu itu dengan Bendahara berbicara dengan Holanda itu, tiba tiba dimaklumkan nya kepada baginda hendak dimohonkan nya Raja Haji tiga beradik, iaitu Raja Aminah dan Raja Halimah, boleh diserahkan kepada Holanda biar keluar dari Raiau ini, kerana banyak kebajikan atas baginda dibelakangnya konon. Maka dua tiga kali sehari dimohonkan kepada Sultan Sulaiman. Maka didalam hal itu tahulah Tengku Putih dan Tengku Hitam, maka menghempaskan dirilah ia menangis. Maka gempar didalam Riau serta masyhur khabar itu didalam negeri Riau. Maka Holanda pun memeratikan saja hal tingkah kelakuan Raja Kecik itu, kemudian Holanda pun belayarlah ia.

Syahadan sampailah khabar itu kepada Raja Haji, maka ia pun sangatlah marahnya. Maka lalu menyiapkan alat senjatanya dan segala penjajabnya, kira kira dua puluh buah. Maka apabila siap, maka lalu dihadapkan haluannya kepada kelengkapan Terengganu itu. Maka gemparlah pula orang orang Terengganu menggatakan segala kelengkapan Raja Haji sudah menghadapkan haluannya kepada kelengkapan Terengganu. Maka Raja Kecik pun menyuruh orangnya turun kepada penjajabnya.

Kemudian Raja Haji menyuruhlah kepada Raja Kecik mengajak keluar berperang, dimana mana tempat yang disukainya supaya lekas habis perkaranya. Maka gemparlah didalam Riau mengatakan Raja Haji hendak berperang dengan Raja Kecik Terengganu. Maka Sultan Sulaiman pun tiada terkata kata lagi. Maka Raja Abdul Jalil pun sangatlah marahnya akan Raja Terengganu itu. Maka baginda pun memanggil Raja kecik itu serta Bendahara semua, mana suku suku Melayu. Maka datanglah segala mereka itu, maka baginda pun bertitah kepada Raja Kecik, “Adapun saya ini berkhabar benar sekali ini jikalau abang abang kaya semua serta Raja Kecik tiada mau muafakat dengan anak anak Raja Bugis, saya hendak keluar dari Riau ini. Barangsiapa hendak jadi Raja disini jadilah, yang saya seorang tiada saya mau dimakan sumpah dan jikalau abang abang kaya semua serta Raja Kecik hendak mengikut ikhtiar saya, ambilkan saya Raja Muda ke Linggi, supaya sumpah setia kita baharukan semula”.

Syahadan setelah Tun Dalam, iaitu Raja Kecik, mendengar titah duli baginda itu, maka ia terdiam sejurus. Kemudian baharu ia berdatang sembah seraya katanya. “Yang patik ini mana mana sahaja titah perintah. Tiada patik berniat salah kepada duli tuanku, akan tetapi bilakan Raja Muda percayakan patik, melainkan patik mohonkan Raja Haji bersama sama”. Lalu baginda memanggil Raja haji. Maka Raja Haji pun datang. Maka baginda pun bertitahlah, “Hai anakku Raja haji, yang keruh aku minta jernihkan, yang kusut aku minta selesaikan. Maka muafakatlah Raja Haji dengan Tun Dalam, aku minta ambilkan Raja Muda balik ke Riau ini”. Maka sembah Raja Haji, “Mana mana titah saja”. Maka Tun Dalam pun berlayarlah ke Linggi bersama sama Raja Haji. Maka Raja Kecik pun mengajak Raja Haji singgah ke Melaka dahulu. Maka keduanya pun singgahlah ke Melaka.


Syahadan kata sahibul hikayat apabila tiba ia ke Melaka, maka naiklah Raja Kecik berjumpa Gebernur Melaka. Maka mengakulah Raja Kecik kepada Gebernur yang ia utusan lagi wakil Sultan Sulaiman, membawa bicara kepada Gebenur daripada fasal Sultan Sulaiman hendak membuang Bugis dari Riau, “Kerana Bugis sedah mengambil kerajaan Johor. Sebab itulah Raja Muda dikeluarkan dari Riau ini, sekarang ada di Linggi, lama lama barangkali dapat kekuatan disitu. Maka inilah Sultan Sulaiman minta langgarkan Raja Muda di Linggi itu. Barang berapa belanja Kompeni habis, nanti baginda boleh ganti. Dan lagi ini ada satu saudaranya jadi kaki tangannya, Raja Haji, ada saya bawa ini, baginda minta belokkan disini”.

Syahadan setelah Gebenur Melaka mendengar khabar Raja Kecik itu, maka jawabnya, “Baiklah. Nanti pada hari Jumaat kita panggil makan makan di kebun supaya boleh kita tangkap sama dia. Adapun Raja Muda di Linggi baik Raja Kecik sama sama kita pergi pukul”. Maka jawab Raja Kecik, “Baiklah”. Syahadan ada satu orang bernama Encik Awal demi mendengar rahasia itu, maka ia pergi ke Linggi memaklumkan kepada Yang DiPertuan Muda. Maka Yang DiPertuan Muda pun menyuruh Raja Selangor mengambil Raja Haji ke Melaka malam itu juga, kerana khabarnya hendak ditangkap di Melaka.
Setelah Yang DiPertuan Selangor mendengar khabar itu, maka ia segera turun ke sampan, berkayuh. Maka didapatkan Raja Haji di Pulau Jawa lalulah dibawanya Raja Haji itu ke Linggi. Kemudian Raja Selangor pun baliklah ke Selangor.

Syahadan ada kira kira dua hari maka kapal kapal langgaran dari Melaka pun datanglah. Ada kira kira dua belas buah dengan selubnya sekali dan dengan perahu Terengganu, menjadi ada kira kira empat puluh buah. Maka datanglah ia dengan terserkap. Maka tiada sempat Yang DiPertuan Muda berbuat kubu lagi dan segala senjata pun tiada habis disiapkan. Maka naiklah baris (tentera Holanda) lalu ditempuhnya kampong Yang DiPertuan Muda itu, beramuklah Bugis Bugis dengan Holanda. Adapun orang Terengganu seorang pun tiada masuk perang, beberapa kali disuruh oleh Raja Haji teriak naik ke darat dengan perkataan yang keji keji, tiada juga ia naik ke darat bertikam.

Maka Bugis Bugis pun tiada dapat melawan betul sebab gaduh dengan bimbang, hendak melepaskan segala perempuan pada hal baris sudah masuk kampong. Maka Raja Haji itu pun mengamuklah berlawan dengan baris, maka lukalah Raja Haji kena sangkur (bayonet)senapang pada pehanya. Maka ia pun tiada boleh berdiri, maka lalulah didukang orang dilarikan keluar dari peperangan itu. Maka di dalam hal itu Linggi pun alah. Maka Raja Muda larilah ke Rembau, tetaplah didalam Rembau muafakat dengan Penghulu Rembau itu pada pekerjaan hendak melanggar Melaka pula.

(bersambung ke bahagian ke enam belas...)

Sunday, December 13, 2015

14. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke empat belas...

 Mulai awal tahun 1748 sewaktu Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Raja Haji menjadi penolong kepada Yang DiPertuan Muda bergelar Engku Kelana, mulalah timbul banyak kekeruhan di Riau diantara pehak Raja Raja Melayu dengan pehak Raja Raja peranakan Bugis. Adalah sebab datangnya fitnah dan kekeruhan itu ialah kerana salah faham dan maksud serta fikiran oleh pehak Raja Raja Melayu keatas pehak Raja Raja peranakan Bugis, yang mereka anggap bahawa Raja Raja peranakan Bugis ini sebagai orang orang pendatang baru berbanding dengan pehak Raja Raja Melayu. Yang menjadi kepala dari pehak Raja Raja Melayu ini ialah Yang DiPertuan Terengganu Raja Kecik, yang bernama Tun Dalam, yang juga merupakan menantu kepada Sultan Sulaiman. Kemudiannya setengah daripada pehak Raja Raja Melayu Riau iaitu Bendahara dan Temenggung serta lain nya pun mengikuti dan menyertainya didalam menyebarkan rasa tidak puas hati terhadap kuasa pemerintahan mutlak oleh pehak Raja Raja peranakan Bugis ke atas Kerajaan Johor-Pahang-Riau- Lingga yang diberikan oleh Sultan Sulaiman. Kuasa pemerintahan mutlak keatas Kerajaan Johor-Pahang-Riau- Lingga kini di pegang oleh Raja Raja peranakan Bugis yang menjadi Yang DiPertuan Muda dan segala menteri hulubalang yang besar besar sekelian di bawah perintahnya. Manakala kuasa orang orang besar daripada pehak Raja Raja Melayu seperti Bendahara dan Temenggung pula dikurangkan. Jadi kuasa pemerintahan mutlak jawatan Raja Raja peranakan Bugis diatas pehak Raja Raja Melayu inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan mereka. Sepertinya mahu cuba untuk membatalkan perjanjian sumpah setia yang dibuat dahulu diantara pehak orang orang Bugis di Riau yang diketuai oleh Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah dengan pehak orang orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Sulaiman yang dibuat dengan bersumpah bersaksikan Al Quran pada bulan Oktober tahun 1722.

Namun begitu, Sultan Sulaiman bagaimana pun tidak lah berfikiran demikian. Baginda telah mengalami dan merasai sendiri bagaimana sengsaranya apabila Kerajaan ayahanda baginda yang hilang diambil oleh Raja Kecik Siak serta dibunuhnyanya ayahandanya itu oleh Raja Kecik. Diambil Kerajaannya serta di hina hinakan baginda adik beradik serta di buat menjadi pengangkat alat alat kebesaran waktu Raja Kecik bernobat di Johor dahulu. Selama kira kira tiga tahun lamanya, tiada pula kaum kerabat baginda dari sebelah Raja Raja Melayu seperti Patani dan Kelantan dan Terengganu yang datang menolong mengambilkan Kerajaan baginda itu daripada tangan Raja Kecik. Melainkan kaum kerabat baginda dari sebelah Raja Raja Melayu itu menghina hinakan baginda, sehingga mengata setengah daripada setengah yang lain bahawa Sultan Sulaiman itu tiada patut menjadi Raja, sebab dia anak gundik ditukar dengan tudung saji dan banyak lagi perkataan yang lain lain, sehingga membuat baginda menjadi putus asa daripada mendapatkan bantuan daripada kaum kerabat baginda untuk mendapatkan kembali kerajaan ayahanda baginda. Maka dengan sebab itulah baginda meminta pertolongan daripada Raja Bugis Opu Opu yang lima bersaudara itu. Jadi apabila telah datang Raja Bugis Opu Opu yang lima bersaudara itu membantu hingga mencapai maksud baginda dan berbalas kematian ayahanda baginda serta dapat semula Kerajaan Johor diatas tangan baginda dengan susah payah serta berperang beberapa kali,sehingga baginda dapat semula Kerajaan dan Jawatan ayahanda baginda. Oleh sebab itu lah tiada balasan yang lain yang patut baginda berikan kepada Raja Bugis Opu Opu yang lima bersaudara itu diatas jasa besar mereka itu melainkan jawatan Yang DiPertuan Muda serta kuasa pemerintahan mutlak keatas Kerajaan Johor-Pahang-Riau- Lingga bagi pehak baginda Sultan, dan itu pun setelah baginda muafakat dan mendapat persetujuan daripada Bendahara dan Temenggung serta segala orang orang besar baginda. Dahulunya sewaktu hendak mengangkat Yang DiPertuan Muda dari pehak Raja Bugis lima bersaudara itu dengan suka ramai juga, tapi tiba tiba kini berubah pula, apabila sudah menjadi darah daging serta negeri sudah menjadi ramai dan berjalan dengan baik segala urusan pemerintahan, perniagaan dan lain nya. Kini barulah kaum kerabat sebelah Melayu hendak menghilangkan jasa budi Raja Bugis lima bersaudara itu yang telah pun juga di buat perjanjian sumpah setia diantara kedua dua pehak. Ini lah yang menjadi pegangan Sultan Sulaiman yang bertentangan dengan fahaman sesetengah kaum kerabat baginda daripada pehak sebelah Melayu itu.

Manakala pendirian dan pegangan pehak Raja Raja peranakan Bugis ialah, mereka semua di panggil oleh Sultan Sulaiman tatkala belum menjadi Sultan lagi, meminta tolong untuk menghapuskan malu keluarganya serta untuk mendapatkan kembali Kerajaan Johor dan melawan musuhnya. Semuanya ini telah pun pehak Raja Raja Bugis laksanakan hingga berjaya semuanya. Kata mereka, “Maka sudah kita semuanya ini sampaikan maksudnya dan hajatnya berganda ganda. Kemudian Sultan Sulaiman serta suku suku sebelah Melayu hendak membalas jasa dan budi kita anak Bugis dengan patutnya dengan bangsa kita dan nama kita. Maka kita terimalah, itupun dengan beberapa kali kita tolak, tiada menerima kehendaknya itu. Maka tiada juga suku suku Melayu melepaskan seperti yang tersebut masa kita dipilih hendak dijadikan Yang DiPertuan Muda itu. Maka sekarang jadi darah daging dan anak cucu dia sudah menjadi anak cucu kita. Maka waktu ini pula baharu hendak dipotong kita semua Bugis, serta hendak dibatalkan sumpah setia serta hendak diberi malu kita dengan dibatalkan pula jabatan kita selama lamanya ini. Maka didalam pada itu pun jikalau Sultan Sulaiman hendak menyertai pekerjaan sebelah suku suku Melayu itu, iaitu kita lawan juga dahulu dengan jalan yang patut, atau undur dahulu kita. Adapun yang lain daripada Sultan Sulaiman, boleh juga dicuba laki lakinya, baik suku sebelah Siak atau Pahang atau Terengganu atau Kelantan, boleh juga di cuba laki lakinya”. Demikian lah pendirian dan pegangan pehak Raja Raja peranakan Bugis.

Dalam pada itu, Raja Tua anak almarhum Daeng Menampuk, yang ibunya sebelah Raja Melayu itu, tidak tentulah pegangan nya, sekejap menyebelahi sebelah pehak Raja Melayu dan kedangkala menyebelahi pehak Raja peranakan Bugis. Makin hari makin bertambahlah dendamlah pehak Raja Raja Melayu apabila melihat negeri sudah ramai dan makmur, manakala kuasa pemerintahan mutlak Negara pula di pegang oleh pehak Raja Raja peranakan Bugis, jadi makin menjadi jadi lah dendam nya itu.

Adapun punca bermulanya pehak Raja Raja Melayu membuat jalan perkelahian dengan pehak Raja Raja peranakan Bugis ialah apabila datangnya Sultan Mahmud Siak ke Riau meminta bantuan daripada ayahanda saudaranya, Sultan Sulaiman untuk menyerang saudaranya Raja Alam diSiak bagi membolehkan ia mendapatkan kembali tahta Kerajaan Siak. Lalu bermuafakatlah pehak Raja Raja Melayu yang dikepalai oleh Yang DiPertuan Terengganu Raja Kecik, dan katanya patutlah dibantu. Manakala muafakat pehak Raja Raja peranakan Bugis yang dikepalai oleh Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja mengatakan tidak patut dibantu kerana ia berperang dengan saudaranya. Tetapi pehak Raja Raja Melayu yang dikepalai oleh Yang DiPertuan Terengganu Raja Kecik berkeras hendak membantu juga. Maka Sultan Sulaiman pun menurutlah kehendak pehak Raja Raja Melayu itu, lalu jadilah perselisihan dengan pehak Raja peranakan Bugis.

Setelah itu pada 4 haribulan Oktober 1748, Sultan Sulaiman dan Sultan Mahmud Siak serta Yang DiPertuan Terengganu Raja Kecik pun pergilah ke Melaka meminta orang orang Holanda (Belanda) menolong Sultan Mahmud Siak mengambil semula Kerajaan Siak daripada tangan Raja Alam dan nanti apabila telah berjaya, orang orang Holanda (Belanda) akan diberi kemudahan berniaga dan berdagang di negeri Siak. Apabila telah bersetuju semua, maka berangkatlah Sultan Mahmud dengan dibantu oleh Sultan Sulaiman, DiPertuan Terengganu Raja Kecik serta angkatan perang Holanda (Belanda) dari Melaka pergi menyerang Raja Alam di Siak seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Maka membantulah Holanda itu, maka Siak pun alahlah. Maka Raja Alam pun undur ke Batu Bahara membawa dirinya. Maka Sultan Mahmud lah jadi Raja Siak. Syahadan Holanda pun duduk di Pulau Gotong, lalu membuat perjanjian dengan Sultan Mahmud itu. Maka Sultan Sulaiman pun balik ke Riau pada dua puluh bulan Zulkaedah (11 haribulan November).

Adapun Sultan Mahmud setelah Holanda duduk di Pulau Gotong itu, maka datanglah fikirannya tiada berketentuan , lalulah ia keluar ke Sanglar merompak perahu perahu Jawa hendak masuk ke Siak dan keci Holanda pun dirompak juga. Maka marahlah Gubernur Melaka, disuruhnya satu kapal perang melanggar Sultan Mahmud di Sanglar. Maka berperanglah keduanya. Maka alahlah Sultan Mahmud. Maka Holanda balik ke Melaka dan berpesanlah Gubernur Melaka kepada Holanda yang duduk di Pulau Gontong, jangan diterima Sultan Mahmud itu masuk ke Siak lagi kerana sudah begitu pertolongan kompeni bersama Sultan Sulaiman, masih juga merompak.

Syahadan tiada berapa lamanya Holanda duduk di Pulau Gontong itu maka ditinggalkan nya, khabarnya sebab diamuk Sultan Mahmud dan dibunuhnya fetur (agen tempatan Syarikat Perdadangan Eropah) Holanda itu. Maka dapatlah Siak itu pada tangan Sultan Mahmud semula. Maka bersedialah ia beberapa kubu kubu menantikan Holanda datang melanggar.


Syahadan adapun Raja Alam yang duduk di Batu Bahara itu maka membuatlah ia beberapa kelengkapan perang. Maka ia pun belayarlah ke Siantan lalulah merompak sebuah kapal, maka dapatlah harta banyak. Maka membeli ia segala pekakas perang dan ubat peluru, diperintahnya lah Siantan itu seperti milik dia. Maka tiadalah diberinya berhadap ke Riau sekali kali.

Kemudian berkirim surat pula ia kepada saudaranya Sultan Mahmud minta datang ke Siantan membantu, “Jika ada di Riau datang lekas”. Maka jawab Sultan Mahmud, “Adinda datanglah ini”. Syahadan fikir Raja Alam apabila tiada terambil Siantan oleh Orang Riau, nescaya dapatlah ia menjadi Raja di situ, tiadalah berkhusumat dengan saudaranya lagi. Adapun saudaranya demikian juga fikirannya, akan tetapi ia ada sedikit segan akan Sultan Sulaiman sebab Sultan Sulaiman ada juga berkirim surat kepadanya minta bantu adanya.

Sebermula adapun Sultan Sulaiman apabila ia mendengar khabar hal Siantan itu maka baginda pun musyawarahlah dengan Raja Kecik Terengganu serta orang besar besarnya akan pergi melanggar Raja Alam. Maka Yang DiPertuan Muda lagi menantikan pertikamannya dari Selangor. Syahadan Sultan Sulaiman dan Raja Kecik Terengganu pun belayarlah ke Siantan.

Apabila sampai ke Siantan lalulah berperang dengan Raja Alam. Maka Raja Alam pun menyuruh panglima panglimanya melawan bersungguh hati, maka kelengkapan Terengganu dan Riau pun undur. Maka Raja Alam pun berkata kepada orang Terengganu, “Jika laki laki kedaratlah, kita bertikam saja”. Maka tiadalah di jawab orang Terengganu itu, hingga berbedil berdilan jua dari jauh. Maka dipermudah mudahkan saja oleh Raja Alam rupa rupanya perang itu.

Syahadan kata sahibul hikayat apabila sampai lima bulan berperang itu, maka kesusahanlah Sultan Sulaiman serta dukacita takut juga tiadalah alah tentu malu besar. Syahadan baginda pun menyuruh Hang Dewa ke Riau melekaskan Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja. Maka apabila tiba Hang Dewa itu ke Riau lalu mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Muda hal paduka ayahanda di Siantan. Maka titahnya, “Kami lagi menanti orang orang Bugis dari Selangor”.

Syahadan apabila sampailah pada sanat 1162, pada dua bulan Jamadul Akhir (18 Mei 1749), maka datanglah segala kelengkapan Selangor itu, iaitu La Kanna dan Punggawa dengan segala petikaman Bugis ada lima ratus anak baik baik. Maka naiklah segala mereka itu mengadap Yang DiPertuan Muda, lalu mereka itu menghunus kerisnya di hadapan Yang DiPertuan Muda sambil mengaruk aruk. Syahadan berangkatlah Yang DiPertuan Muda ke Siantan mendapatkan paduka ayahanda baginda Sultan Sulaiman, iaitu pada dua lekur Rajab bersama sama Tunku Raja Muhammad.

Syahadan apabila tiba ke Siantan, baginda pun bermusyawarahlah dengan Yang DiPertuan Muda. Maka didalam hal itu angkatan dari Siak pun datang, ada kira kira tiga puluh buah kelengkapan kecil besar yang datang itu, iaitu Sultan Mahmud Raja Buang, saudara Raja Alam itu dan anak saudara Sultan Sulaiman yang tersebut itu. Maka apabila ia sampai ke Siantan maka naiklah ke darat mengadap Sultan Sulaiman. Maka diperiksa oleh Yang DiPertuan Muda, “Adinda datang ini apa kehendak, dan sebelah mana? Maka jawab Sultan Mahmud itu, “Yang saya ini tiada sebelah sana dan tiada sebelah sini, kerana disana abang saya, dan disini ayah saya”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Baiklah, adapun saya ini siapa siapa yang mengadapkan mulut meriamnya kepada Sultan Sulaiman itulah musuh saya dan seteru saya. Jikalau anak saya yang dijasadkan sekali pun tiada saya hiraukan, Insya Allah taala saya bedil juga”. Syahadan maka Raja Siak pun turunlah ke perahunya.

Adapun Yang DiPertuan Muda apabila sudah Raja Siak itu balik ke perahunya, maka ia pun berdatang sembah kepada baginda sembahnya, “Pada pendapat patik, orang Riau dan orang Terengganu tiada usahlah melanggar darat, biarlah patik saja bahagian darat. Adapun orang Riau dan orang Terengganu sediakan saja hadapkan mulut meriamnya kepada kelengkapan Siak, kerana kita tiada sedap hati mendengar perkataannya kerana saudaranya lagi dilanggarnya”. Maka jawab baginda, “Mana mana yang baik kepada Raja Muda perbuatlah, kerana segala pekerjaan itu sudah terserah memang kepada Raja Muda, baik jahatnya”.

Syahadan setelah selesai musyawarah itu, maka Yang DiPertuan Muda pun menyuruh Bugis Bugis itu melanggar kubu Terempak itu. Maka lalu di keluari oleh orang orang Siak dan orang Siantan mana mana sebelah Raja Alam. Maka lalu berbedil bedilan dengan meriam lela rentaka. Kemudian berapat berbedil bedilan dengan senapang pemburasnya. Kemudian berapat bertikamkan keris. Maka sangatlah ramainya kerana sama sama tiada mau undur.

Syahadan apabila La Kanna serta Punggawa melihat hal itu, maka ia pun menerkamlah ke medan dengan beberapa indera gurunya dan juak juaknya. Maka lalu masuk beramuk pula, maka banyaklah mati sebelah menyebelah itu. Kata setengah orang tua tua ada kira kira empat ratus orang yang mati. Maka masuklah ia kedalam kubunya, maka dikepunglah oleh Bugis Bugis itu. Maka didalam hal itu hampir dapat. Maka Raja Buang Siak pun menyurug Raja Alam itu lari undur. Seketika lagi suruhan Yang DiPertuan Muda pun datang pula menyuruh undur. Maka Raja Alam pun undurlah dengan tiga buah perahu lalu belayar ke Matan. Maka dipelihara oleh Raja Matan dengan secukupnya.

Syahadan adapun Yang DiPertuan Muda apabila Raja Alam telah undurlah, maka Yang DiPertuan Muda pun bermohonlah kepada paduka ayahanda baginda hendak balik ke Riau. Bermula adalah Yang DiPertuan Muda berangkat balik keRiau pada sanat 1163 (tahun 1750). Kemudian Sultan Sulaiman pun berangkat balik ke Riau dengan selamatnya, tetaplah didalam Riau berhimpun dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu serta suku suku Melayu adanya.

Sebermula adapun Raja Buang Siak pada ketika ia hendak balik dari Siantan ke Siak itu, maka dirampasnya lah segala pekakas Raja Alam itu, apa lagi segala meriam lela rentakanya habislah semuanya dibawanya balik ke Siak. Maka tetaplah ia di negeri Siak adanya”.

(bersambung ke bahagian ke lima belas...)

Saturday, December 5, 2015

13. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke tiga belas...



Pada 7 Julai 1740 (bersamaan 13 Rabiul Akhir 1153 Hijrah), baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pun keluar belayar ke Ungaran (dekat Pulau Kundur), manakala Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak telah pun berangkat lebih awal lagi iaitu tidak lama setelah selesai perkahwinan puteri baginda Sultan Sulaiman yang bernama Raja Bulang dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu, (Tengku Dalam) anak Sultan Zainul Abidin Syah di Riau pada tahun 1739 (1152 Hijrah), untuk memeriksa segala laut laut disebelah barat. Yang DiPertuan Muda kemudiannya telah pergi ke Muar setelah mendapat khabar bahawa Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak serta mertuanya Daeng Matekkuh yang lari dari Siak akibat kalah perang saudara disana, telah pergi ke Muar. Apabila Sultan Sulaiman mendengar bahawa Yang DiPertuan Muda telah pergi ke Muar maka baginda pun berangkat ke Muar.

Apabila Yang DiPertuan Muda tiba di Muar, dilihatnya seolah olah Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak serta mertuanya hendak memerintah Muar, lalu disuruhnya mereka keluar dari Muar. Apabila Sultan Sulaiman tiba, baginda pun berbicaralah menyuruh Sultan Mahmud yang merupakan anakanda saudara baginda itu untuk keluar, tapi belum juga mahu ia bergerak. Maka murkalah Yang DiPertuan Muda dan menyuruh mengisi meriam dan bertitah, “Rapat bedil”, lalu rapatlah panglima panglima angkatan perang Riau dan dibedilnya angkatan perang Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak. Maka Sultan Mahmud pun keluar lah dari Muar dan tertinggallah beberapa pucuk meriam lalu diambil oleh orang orang Riau.

Setelah itu Yang DiPertuan Muda dan Sultan Sulaiman pun baliklah keRiau. Tidak berapa lama setelah itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun membawa isterinya Tengku Puan Mandak melawat Selangor dan telah diberikan sambutan istemewa oleh Yang Dipertuan Selangor. Setelah beberapa hari lamanya di Selangor, Yang DiPertuan Muda dan isterinya pun baliklah ke Riau.

Tidak berapa lama kemudian, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pergi lagi ke Selangor dan telah berkahwin dengan Daeng Ma’asik anak seorang Raja Bugis bernama Arung Pala, dan kemudiannya membawa isterinya itu balik ke Riau.

Pada 7 September 1740 (bersamaan 16 Jumadil Akhir 1153 Hijrah), Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pergi lagi ke Selangor. Apabila sampai di Selangor, terjadilah perselisihan dengan negeri Perak di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13) kerana Sultan Perak berkeras tidak mahu berdamai dengan adinda nya iaitu Yang DiPertuan Muda Perak. Oleh kerana itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun memimpin angkatan perangnya dan orang orang Bugis Selangor untuk pergi membantu Yang DiPertuan Muda Perak yang bersemayam di Pulau Tiga (di tepi Sungai Perak).

Setibanya di Perak, maka berperanglah angkatan perang Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak serta orang orang Bugis Selangor dengan angkatan perang Sultan Perak. Berbedil bedilan dengan meriam dan senapang terakul serta pemburasnya. Lalu dirapati oleh orang orang Bugis akan kubu kubu Sultan Perak itu dan dapatlah dua tiga buah kubu sehari itu. Kemudian nya pergi menyerang pula kubu kubu lain dengan merapatkan segala kelengkapan perangnya lalu membedil kubu kubu itu, sementara sebahagian lagi orang orang Bugis datang menyerang menerusi jalan darat. Tidak lama kemudian dapatlah orang orang Bugis mengambil alih semua kubu kubu itu dan kalah lah angkatan perang Sultan Perak itu.

Apabila telah selesai perang itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak serta orang orang besar Perak pun menabalkan Yang DiPertuan Muda Perak menjadi Sultan Perak bergelar Sultan Muhammad Shah. Kemudian nya di adakan perjanjian setia diantara Sultan Perak yang baru ini dengan Yang DiPertuan Selangor. Menurut riwayatnya, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak tinggal agak lama juga di Perak.
Setelah itu barulah balik semula ke Selangor dan dari Selangor, setelah dijemput oleh anak anak Raja dari Riau barulah Yang DiPertuan Muda balik ke Riau pada tahun 1743. Apabila sampai di Riau, Yang DiPertuan Muda lalulah mengadap Sultan Sulaiman dan menceritakan mengenai hal menang perang nya di Perak. Setelah itu tetaplah Yang DiPertuan Muda di Riau.


Pada masa itu keadaan di Riau telah bertambah ramai dan makmur serta perniagaannya pun bertambah maju. Banyaklah pedagang pedagang yang datang dan ada yang dari negeri yang jauh jauh pun datanglah berniaga di Riau. Kapal kapal dari Bengal datang membawa opium dan lain dagangan, serta kapal kapal dari Tanah Jawa, Siam, Cina dan dari tanah Bugis (Sulawesi) juga datang di Kuala Riau dan didalam Sungai Riau. Pada masa itu jugalah, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak menyuruh Penggawa Tarum dan Penghulu Chedun mengambil benih gambir di Sumatera untuk dibawa ke Riau dan mulai menanam gambir. Setelah itu ramailah orang orang Bugis dan Melayu membuka beratus ratus ladang gambir di Riau. Jadi ramailah kuli kuli dari negeri Cina yang dibawa masuk untuk bekerja di ladang ladang gambir tersebut. Apabila telah menjadi gambir gambir tersebut, makin ramailah orang datang ke Riau membeli dan berniaga gambir. Maka baginda Sultan Sulaiman, Yang DiPertuan Muda serta Raja Indera Bungsu serta orang orang besar Riau sekelian banyaklah beroleh pendapatan hasil cukai cukai perniagaan dan kapal kapal serta perahu perahu dagang yang datang berlabuh. Jadi bertambah ramailah orang orang Riau yang kaya kaya. Orang Orang alim Arab pun ramailah yang datang ke Riau mengajar ajaran Agama Islam di masjid masjid. Kelengkapan perang dan kubu kubu pertahanan di Riau pun di perkuatkan lagi.

Sekitar dua tahun kemudian, dengan takdir Allah, Yang DiPertuan Muda pun jatuh sakit. Ada riwayat mengatakan bahawa enam hari sebelum mangkatnya Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak, Tun Dalam, Yang DiPertuan Terengganu yang merupakan menantu Sultan Sulaiman telah datang ke Riau, waktu itu umurnya sekitar dua puluh tahun. Ada yang mengsyaki bahawa kemangkatan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak disebabkan kena racun, iaitu hasil daripada rancangan Tun Dalam. Tetapi itu Cuma syak wasangka sahaja kerana melihatkan telatah Tun Dalam yang tidak sukakan orang orang Bugis memegang kekuasaan yang berlebihan di Riau itu, tapi tiadalah ditemui sebarang bukti.


Kemangkatan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan kata sahibul hikayat pada sanat 1158 (tahun 1745), tahun alif, maka geringlah Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak. Maka tiada berapa lamanya gering itu lalulah mangkat, iaitu pada tujuh belas Rabiul Akhir (18 Mei 1745). Maka gemparlah didalam negeri Riau serta dukacitalah isi negeri apa lagi Sultan Sulaiman tersangatlah besar percintaannya. Sementelah nya pula memandangkan paduka anakanda kedua itu, iaitu Tengku Putih dan Tengku Hitam, makin hancurlah hatinya.

Syahadan Sultan Sulaiman pun mengkuburkan lah sebagaimana adat istiadat Raja besar besar mangkat. Maka berkabunglah orang orang Riau empat puluh hari, betapa adat istiadat Raja yang besar besar mangkat.

Sebermula kata sahibul hikayat, adapun Sultan Sulaiman apabila sudah hilang paduka adinda baginda itu, maka kesusahanlah hendak mencari ganti seperti yang didalam sumpah setia antara Bugis dengan Melayu. Maka tiada lain yang patut gantinya melainkan Daeng Kembuja dan sungguh pun ada putera adinda itu Raja Haji belum juga patut kerana mudanya. Dan ada seorang putera paduka adinda baginda itu Raja Lumu, maka iaitu puteranya pada pihak negeri Selangor, melainkan Daeng Kembuja juga kerana ia lebih tua, serta kesukaan muafakat segala Bugis Bugis. Maka tetaplah kepada Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda. Maka bermohonlah Daeng Kembuja hendak ke Selangor dahulu kerana hendak muafakat dengan paduka adinda Yang DiPertuan Selangor (Raja Lumu) putera Marhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak. (Raja Lumu telah pun diangkat oleh orang orang besar Selangor menjadi Yang DiPertuan Selangor). Maka dilepaskan lah oleh Sultan Sulaiman, maka Daeng Kembuja berlayarlah ke Selangor bersama sama paduka adindanya Raja Sa’id, putera Opu Daeng Merewah Kelana jaya Putera. Maka apabila tiba di Selangor, muafakatlah ia dengan paduka adinda sekelian serta segala Bugis Bugis yang di Selangor hingga setahun lamanya. (Menurut setengah riwayat: dimasa Daeng Kembuja di Selangor, ia telah diangkat oleh orang orang Bugis di Selangor menjadi Yang DiPertuan Muda Riau).

Syahadan kemudian daripada itu maka Sultan Sulaiman pun berangkat ke Muar, sanat 1159 (tahun 1746). Adalah yang mengiringnya Raja Kecik Terengganu. Kemudian balik ke Riau.

Syahadan berangkat baginda itu ke Siak (pergi menziarahi adinda baginda yang mangkat di Siak iaitu Tengku Kamariah, Raja Perempuan Siak). Masa baginda itu balik dari Siak inilah, Raja Buang Sultan Mahmud Siak minta ampun pada baginda (kerana berlaku nya perang di Muar dahulu) serta menyerahkan dirinya. Maka di ampuni oleh baginda serta bermaaf maafan dengan Raja Raja peranakan Bugis”. Pada waktu Daeng Kembuja pun telah balik ke Riau apabila telah selesai bermuafakat di Selangor.


Pada bulan Mei tahun 1746 itu juga, Sultan Sulaiman bersama sama putera baginda Raja Abdul Jalil (Raja di Baroh) telah pergi ke Melaka lalu membuat perjanjian dan memperbaharui persahabatan dan perniagaan antara Kerajaan Johor- Pahang- Riau- Lingga dengan orang orang Belanda. Berkenaan dengan negeri Siak, baginda menyerahkan kepada pertimbangan Gabenor-Jenderal Kompeni Belanda di Betawi menentukannya.

Pada 17 Januari tahun 1748 barulah Sultan Sulaiman melantik Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Raja Haji dilantik menjadi penolong kepada Yang DiPertuan Muda bergelar Engku Kelana. Tidak lama setelah itu, pada 31 Januari, isteri almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak yang bernama Tengku Mandak pun mangkat dan di makamkan di sebelah makam suami nya.

Tidak lama kemudian, Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja pun berangkatlah ke Selangor dan membawa paduka adinda Raja Haji bersamanya. Apabila tiba di Selangor, lalu di kahwinkan lah Raja Haji dengan Raja Aisyah puteri almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah Kelana Jaya Putera, menurut adat Raja Raja bernikah kahwin. Maka tetaplah Raja Haji suami isteri itu di Selangor. Tidak berapa lama setelah itu, Raja Aisyah pun mangkat. Raja Haji kemudiannya beristeri pula dengan anak Raja Amran yang bernama Engku Sejuk. Setelah itu Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja dan Raja Haji pun baliklah dan bersemayam di Riau.

(bersambung ke bahagian ke empat belas...)

Friday, December 4, 2015

12. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua belas...



Perang saudara di Siak telah tercetus pada sekitar tahun 1740an iaitu beberapa tahun kemudian setelah serangan terakhir Siak keatas Riau yang dapat dikalahkan oleh angkatan perang Riau. Pada masa itu angkatan perang Siak di pimpinan oleh Raja Alam serta Daeng Matekko dan Raja Emas.

Sekembalinya ke Siak, Raja Alam pun mengadap ayahandanya Raja Kecik memaklumkan keadaannya yang mengalami banyak kerugian menyerang Riau. Apabila Raja Kecik mendengar sembah paduka anakanda nya itu, maka ia pun termenunglah tiada berkata apa apa serta putus asa lah ia hendak menyerang Riau lagi.

Tidak lama setelah itu Raja Kecik pun berubah akalnya menjadi tiada tentu lagi untuk memerintah kerajaannya, lalu diserahkan nya kepada anakanda nya Raja Alam untuk memerintah negeri Siak dan di gelarnya Raja Alam itu sebagai Yang DiPertuan Muda. Manakala anakandanya yang seorang lagi iaitu Tengku Mahmud belum lagi diberi apa apa gelar. Dari situlah punca nya hingga tercetus perang saudara di Siak diantara kedua putera Raja Kecik, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan didalam hal itu antara anak anaknya itu selalu berbantah beratas atasan. Maka kata Raja Alam, “Aku yang tua dan aku yang patut menjadi Raja”, dan kata Tengku Mahmud, “Aku yang terlebih patut menjadi Raja kerana aku anak yang gahara”. Maka didalam hal itu mangkin sehari mangkin bertambah kharabatah (rosak binasa). Maka orang orang Siak itu pun ada yang setengah kepada Raja Alam dan setengah kepada Tengku Mahmud menjadi bergaduhlah setengah atas setengahnya. Maka huru haralah segala isi negeri apa lagi orang orang miskin kesusahanlah hendak mencari kehidupannya, sebab negeri gaduh, masing masing asyik dengan memelihara kampong halamannya dan rumahtangganya dan anak isterinya, takut dicabuli oleh juak Raja Raja itu, kerana kedua pihak itu seolah olah seperti sudah sama sama risau.

Syahadan didalam hal itu, maka bertambah tambahlah keduanya mengikutkan hawa nafsunya. Maka lalulah jadi bersebelahan antara kedua pihak, maka lalulah berperang di dalam negeri beramuk amukan dan berbunuh bunuhan. Maka huru haralah negeri Siak. Kemudian masing masing anak Raja itu mengambil tempat berkukuh. Adalah Tengku Mahmud di dalam Kota Besar dan Raja Alam di dalam Kota Tuan Besar, maka berperang tiap tiap hari. Syahadan adapun Tengku Mahmud itu banyak juga Bugis sebelah dia, sebab ia berbinikan anak Daeng Matekkuh serta mendapat anak laki laki seperti Raja Ismail sudahlah besar dan beberapa lagi anaknya. Adapun Raja Alam sudah juga menaruh beberapa anak laki laki pula, yang tuanya bernama Raja Muhammad Ali dan yang lain lainnya, istimewa pula ia sudah berbinikan anak Opu Daeng Parani di Siantan, iaitu Daeng Khadijah.

Syahadan huru haralah negeri Siak kerana anak Raja dua orang itu berperang di dalam negeri bersebelahan. Maka kesusahanlah segala orang besar besarnya lalulah mereka itu mengadap Raja Kecik. Maka Raja Kecik pun di dalam hal itu sudah berubah akalnya. Maka apabila orang besar besarnya itu menyembahkan, “Paduka anakanda kedua berperang”, maka jawab Raja Kecik, “Barangsiapa yang menang itulah anakku”. Maka segala orang besar besar pun hairan. Maka apabila bunyi berbedil bedil, maka bertanya Raja Kecik katanya, “Itu bedil apa”? Maka sembah orangnya, “Paduka anakanda berperang dengan orang Riau, Tuanku”. Maka ia pun tertawa.

Syahadan didalam hal itu, maka isterinya Tengku kamariah pun geringlah sangat, maka lalu mangkat dikuburkan oranglah. Maka Raja Kecik pun selalu gila sekali, lalu ia tidur di kubur isterinya itu. Maka ditunggu sajalah oleh orang tuanya adanya.


Syahadan adapun Raja Alam berperang dengan Tengku Mahmud berperang mangkin sehari mangkin ramailah segala orang besar besar sebelah Tengku Mahmud itu. Maka dengan takdir Allah taala alahlah Raja Alam lalu undur membawa dirinya ke Batu Bahara mencari kuasa. Kemudian mengembaralah ia lalu ke Palembang, mendapatlah ia sedikit harta, maka ke Deli pula ia. Maka banyaklah orang Deli mengikut perintahnya serta takut akan dia. Maka tetap lah ia didalam Deli bersiapkan alat peperangan dan kelengkapan perangnya.


Sebermula adapun Raja Kecik apabila Raja Alam sudah keluar dari Siak maka Raja Kecik pun mangkatlah. Syahadan menggantikan lah kerajaannya itu puteranya Sultan Mahmud memerintahkan negeri Siak. Syahadan didalam tiada beberapa lamanya maka datanglah Raja Alam melanggar Siak diamuknya. Maka berperanglah beramuk amuk beberapa hari. Maka tewas pula Sultan Mahmud itu lalu undur ke Pulau Lawan. Maka lalu ia membuat perahu sepanjang jalan itu bersama sama mertuanya Daeng Matekkuh. Kemudian mengembaralah ia kesana kemari mencari kuasa demikianlah halnya. Sebermula adapun Raja Raja Alam apabila sudah dapat Siak itu olehnya, maka ia pun melantik anaknya Raja Muhammad Ali menjadi Yang DiPertuan Muda. Maka tetaplah ia memerintah Siak itu”.

(bersambung ke bahagian ke tiga belas...)

11. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sebelas...



Pada tahun 1735, sewaktu Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak memeriksa teluk rantau sebelah Johor dan Singapura serta Ungar, Buru, Karimun dan Perbatinan Enam Suku, Sultan Sulaiman mendapat khabar daripada orang orang Rantau bahawa Raja Kecik Yang DiPertuan Siak telah mempersiakkan kira kira enam puluh buah penjajab yang tahan meriam besar hendak pergi menyerang Riau. Maka Sultan Sulaiman pun terkejutlah sebab bercanggah dengan cakapnya sewaktu duhulu datang dengan Daeng Matekko di Riau. Sultan Sulaiman pun menyuruh memberitahu Yang DiPertuan Muda untuk segera balik ke Riau.

Apabila Yang DiPertuan Muda telah sampai di Riau, maka diaturnya lah segala penjajabnya itu dari Tanjung Pinang hingga Senggarang. Ada kira kira tiga hari barulah nampak segala kelengkapan perang Raja Kecik menyeberang dari Selat Tiong dan beratur dekat Pulau Penyengat kerana tidak dapat hendak masuk ke dalam Riau sebab sudah di tunggu oleh kelengkapan perang Riau. Ketika itu banyaklah perahu perahu dagang berhimpun didalam Sungai Riau dan ramailah orang orang Riau berkumpul diatas bukit Tanjung Pinang hendak melihat orang berperang, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan ada kira kira tujuh hari belum juga Raja Kecik melanggar kerana ia lagi musyawarah dengan menteri menterinya kerana masa itu negeri Riau sudah kukuh serta orang pun dengan ramainya serta makmur. Maka didalam hal itu Yang DiPertuan Muda pun menyuruh melanggar ke Penyengat, iaitu pada tujuh haribulan Safar (27haribulan Jun), waktu tengahari. Maka berperanglah antara keduanya berbedil bedilan dengan meriam dan lela rentaka, iaitu pada hari Arbaa. Maka banyaklah binasa kelengkapan Raja Kecik itu, kerana alat kelengkapan Riau banyak besar meriamnya dan pendayungnya orang rakyat dan pertikamannya Bugis. Adapun Raja Kecik, pendayungnya orang orang rantau dan pertikamannya Minangkabau darat. Maka banyaklah ganggunya pada pekerjaan perang dilaut. Sementelahnya pula Bugis Bugis merapati dengan sampan sampan dengan terakul dan pemburasnya. Maka binasalah orang orangnya serta beberapa panglimanya mati sehari perang itu. Maka pada malamnya itu Raja Kecik pun pecahlah perangnya, bertaburan kesana kemari membawa dirinya, sebab hari malam. Maka Raja Kecik pun larilah belayar sebuah sendiri bercerai berai dengan segala perahu perahunya yang banyak, masing masing membawa haluannya, ada yang ke Lobam dan ke Selat Tiong. Maka pada siang harinya hilanglah segala kelengkapan Raja Kecik itu, lepaslah selalu balik ke Siak dengan kerugian dan kerosakannya adanya.

Syahadan maka Sultan Sulaiman serta Yang DiPertuan Muda pun turunlah ke kenaikan masing masing mengikut Raja Kecik itu. Apabila sampai ke Ungaran, maka Raja Kecik pun sudah lepaslah ke dalam Siak. Maka baginda Sultan Sulaiman pun berangkat ke Pahang lalu ke Terengganu, iaitu pada dua puluh haribulan Rabiul Akhir sanat 1148 (7 haribulan September 1735). Apabila sampai di Pahang, lalu membuat dewal (dinding atau tembok keliling) makam Marhum Sultan Abdul Jalil Mangkat di Kuala Pahang. Kemudian baginda pun ke Terengganu. Maka tiada berapa antaranya datanglah Encik Hitam, orang Tembelan, mendapat khabar Raja Kecik akan ke Terengganu. Setelah baginda mendengar khabar itu, maka menyuruhlah ia membuat kubu di Kuala Terenggani itu. Syahadan didalam hal itu maka Raja Indera Bungsu serta Daeng Kembuja putera Opu Daeng Parani pun datanglah dari Riau disuruh Yang DiPertuan Muda itu menyilakan Sultan Sulaiman balik ke Riau, iaitu pada selekur haribulan Jamadul Akhir, sanat 1149 (25 haribulan Oktober 1736). Maka apabila tiba baginda itu ke Riau duduklah baginda itu bersama sama Yang DiPertuan Muda meramaikan negeri Riau serta mengukuhkan dia.

Syahadan kemudian daripada itu maka datanglah Haji Rembau membawa khabar mengatakan Raja Kecik kembali dari Siantan. Kemudian Panglima Bungsu pun datang dari Ungaran, membawa khabar bukannya Raja Kecik hendak melanggar Riau, hanyalah anaknya saja konon. Syahadan titah Yang DiPertuan Muda, “Apalah kita gaduhkan, biarlah dia datang yang dia laki laki yang kita laki laki juga, dan laki laki dia pun sudah kita tahu”. Maka baginda dan Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah pergi bermain main ke Pengujan pergi membayar kaul nazar di Pengujan, iaitu pada dua puluh Muharram, sanat 1150 (20 haribulan Mei 1737).
Kemudian datanglah Encik Asar memaklumkan hal Raja Alam anak Raja Kecik datang ada di Kuala Riau, ada enam puluh dua kelengkapan. Maka baginda serta Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah masuk ke Riau. Maka lalulah Yang DiPertuan Muda menyuruh periksa Raja Alam itu hendak baikkah atau hendak jahat? Maka tiada satu jawabnya. Maka Yang DiPertuan Muda pun sangatlah murkanya, lalu disuruhnya dua orang panglimanya, titahnya,”Pergi langgar si Alam itu, bongkak benar! Mengapa bapanya tidak datang?”. Maka kedua panglima itu pun pergilah serta dengan marah rupanya itu.

Maka apabila sampai ke Tanjung Sebadam lalu berperang dengan segala kelengkapan Siak itu berbedil bedilan dengan meriam. Seketika berperang itu turunlah rebut selatan maka perahu Panglima Bungsu dan perahu Encik Kalang terdamparlah ke darat. Maka dikerumunilah oleh orang Siak perahu itu. Maka kedua panglima itupun berlepas dirinya dengan sampan, mudik ke hulu menghadap Yang DiPertuan Muda. Adapun orang orang Siak merampaslah perahu kedua panglima itu segala senjata senjatanya dan perkakasnya, mana mana orang yang tertinggal itu beramuk amuklah bermati matian. Kemudian Raja Alam pun berdayunglah mudik hendak mengambil Batangan.

Syahadan adapun kedua panglima itupun diberi oleh Yang DiPertuan Muda dua buah gurub yang besar serta beberaja penjajab lalulah hilir. Apabila sampai ke Sungai Payung lalu berperang dengan berbedil bedilan dengan meriam dan lela rentaka serta dirapati oleh Bugis dengan sampan sampannya. Adapun anak Raja Raja Bugis seperti Daeng Kembuja (anak Opu Daeng Parani) dan Raja Said dan Raja La Mampak Unuk (kedua duanya anak Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah) adalah menjaga kubu di Kota Ranting serta dekat kelengkapan Siak. Lalu dibedilnya dengan beberapa meriam dan lela dengan peluru tunggal. Maka banyaklah binasa orang Siak. Maka Raja Alam pun undur ke Kampung Bulang, lalu dirampasnya sebuah wangkang (perahu besar) perdagangan serta sampan kotak dan sebuah selub (kapal bertiang satu) orang Semarang. Maka wangkang itu diperbuatnya kota berjalan dirantainya dilaut Kampung Bulang.

Syahadan Yang DiPertuan Muda menyuruh Datuk Mata Mata menyuruh mudikkan segala perahu perahu itu ke hulu berkumpul. Maka mudiklah segala perahu perahu itu berlapis lapis berpuluh buah. Kemudian maka disuruh Yang DiPertuan Muda segala penjajabnya itu berperang semula melanggar Kampung Bulang itu. Maka Raja Alam pun undurlah ke Sungai Tarum lalu ia mudik membuat kubu. Maka Yang DiPertuan Muda pun murkalah lalu ia sendiri menarik narik jalur jalur dan sampan sampan penjajab dari Simpang Kiri. Maka teruslah penjajab ke Sungai Tarum. Maka lalu Yang DiPertuan Muda serta Punggawa melanggar kubunya dan perahu perahunya yang ada di situ. Maka lalu beramuk amukan, maka jadilah besar perang hari itu. Maka dengan takdir Allah taala menolong orang Riau pada ketika itu, seorang pun tiada mati apa lagi luka.

Syahadan tewaslah Raja Alam lalu lari ke Tanjung Sebadam. Maka dapatlah kota wangkang itu serta selub Semarang itu dan beberapa meriam dan lela lela yang dapat. Syahadan perang itu sampai malam. Kemudian apabila subuh subuh Arbaa pada 17 haribulan Rabiul Akhir, sanat 1150 (13 haribulan Ogos 1737). Maka Yang DiPertuan Muda pun melanggar Tanjung Sebadam itu. Maka Raja Alam serta Daeng Matekko dan Raja Emas berterjunlah ke perahu masing masing lalu undur lari ke Kuala Riau. Maka bersoraklah orang orang Riau sebab menang itu.

Syahadan pada delepan belas bulan tersebut itu, pada malam, maka Raja Alam pun larilah. Maka banyaklah kelengkapannya tertinggal apa lagi sampan sampannya. Maka Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda pun mudiklah ke hulu lalu berjamu jamu segala menteri hulubalangnya sekelian serta diberinya persalinan mana mana yang sepatut baginda. Syahadan kemudian daripada itu Yang DiPertuan Muda pun menggelar Tun Abdullah menjadi Raja Tua. Maka duduklah baginda serta Yang DiPertuan Muda serta Raja Indera Bungsu serta Raja Tua bersuka sukaan.

Kemudian daripada itu maka baginda Sultan Sulaiman serta Yang DiPertuan Muda menikahkan putera baginda yang perempuan bernama Raja Bulang dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu, anak Sultan Zainul Abidin Syah betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin, iaitu pada Hijrah sanat 1152 (tahun 1739). Maka berkasihan lah kedua laki isteri. Syahadan pada empat belas haribulan Muharram hari Khamis, maka matilah Raja Tua Tun Abdullah kembali ke negeri yang kekal adanya.

(bersambung ke bahagian ke dua belas...)

10. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sepuluh...



Pada akhir tahun 1728, setelah selesai membantu peperangan di Mempawah, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun balik lah ke Riau. Apabila Sultan Sulaiman mendengar khabar yang paduka adindanya itu sudah tiba di Kuala Riau, lalu di suruhlah orang besar besarnya serta Raja Indera Bungsu pergi menyambut Yang DiPertuan Muda. Kemudiannya naiklah mengadap Sultan Sulaiman dan bercerita lah mengenai menang perang di Mempawah. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun naiklah ke istananya lalu disambutlah oleh isterinya, di bedak serta dilangir (mandi dan cuci rambut) betapa adat istiadat isteri Raja besar besar dengan suaminya. Kemudiannya tetap lah Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak di dalam Riau bersama putera puteri nya yang sedang membesar iaitu Tengku Putih, Tengku Hitam dan Raja Haji serta saudaranya.

Pada tahun 1730, seorang bangsawan Bugis yang bernama Daeng Matekko (disebut juga sebagai Daeng Matkah) yang berbaik dengan Raja Kecik Siak, telah membuat kekacauan di Selangor. Lalu Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun membawa angkatan perangnya dari Riau ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daeng Matekko disana. Akhirnya Daeng Matekko pun kalah lalu lari semula balik ke Siak kepada Raja Kecik.

Setelah selesai perang di Selangor, Yang DiPertuan Muda pun baliklah ke Riau. Pada tahun 1731, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun beristerikan Raja Bakal. Dalam pada tahun itu juga, Raja Kecik telah datang ke Riau membawa Daeng Matekko minta ampun kepada Yang DiPertuan Muda serta memohonkan isterinya kembali. Lalu dimaafkan kesalahannya oleh Yang DiPertuan Muda. Adapun berkenaan isteri Daeng Matekko itu tidaklah di benarkan oleh Raja Tua untuk mengambilnya kerana belum percaya akan perkataannya itu sebab bersama sama dia dengan Raja Kecik. Setelah itu baliklah kedua duanya ke Siak.


Pada 7 haribulan March tahun 1733, Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu yang pertama telah mangkat di Terengganu, maka digantikan oleh Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda akan anakandanya yang bernama Raja Mansur, timan timangannya Tun Dalam, menjadi Sultan Terengganu yang ke dua bergelar Sultan Mansur. Pada masa itu Sultan Mansur masih kecil, lalu disebut orang Yang DiPertuan Kecik dan sebab itulah pemerintahan negeri Terengganu di pegang oleh Bendahara Tun Husain, kekanda Sultan Sulaiman.

Pada awal bulan Mei tahun 1733, Raja Tua Daeng Menampok telah mangkat di Riau. Maka dukacitalah Yang DiPertuan Muda sebab kehilangan orang yang diharapkan menjadi kakitangannya. Setahun kemudian setelah itu, Sultan Sulaiman telah pergi ke Siantan dan Yang DiPertuan Muda pula pergi ke Selangor. Apabila setelah kedua dua paduka baginda balik ke Riau, lalu Yang DiPertuan Muda pun pergi pula memeriksa laut laut di Ungaran dan Durai.


Pada tahun 1735, apabila Yang DiPertuan Muda balik ke Riau, dengan takdir Allah taala Datuk Bendahara Tun Abbas pun gila, meracau racau tiada tentu lagi perkataannya. Maka di ubat oleh baginda tiada juga sembuh. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah memeriksa teluk rantau sebelah Johor dengan beberapa kelengkapan perangnya. Kemudian singgahlah Yang DiPertuan Muda di Tanjung Uban mengambil apilan (papan tebal yang digunakan seperti perisai pada meriam didalam kapal)dahulu sebelum berangkat memeriksa Johor dan Singapura. Setelah itu, barulah berpatah balik memeriksa Ungar, Buru, Karimun dan Perbatinan Enam Suku. Adalah yang pergi bersama sama Yang DiPertuan Muda ialah Raja Indera Bungsu yang merupakan saudara baginda juga.

Datuk Bendahara Tun Abbas kemudiannya telah mangkat di Bulang (pada tahun 1736), dan meninggalkan putera putera nya yang bernama Tun Hassan, Tun Abdul Majid dan Tun Abdul Jamal. Sultan Sulaiman kemudiannya telah melantik Tun Hassan menjadi Bendahara di Riau. Lama setelah itu, dua lagi putera almarhum Datuk Bendahara Tun Abbas kemudiannya nanti di lantik menjadi Bendahara Pahang iaitu Tun Abdul Majid (tahun 1770), dan Tun Abdul Jamal itu dijadikan Temenggung. Temenggung Tun Abdul Jamal itulah, kemudiannya beristerikan Raja Maimunah anak kepada Opu Daeng Parani, mempunyai anak Daeng Kecil dan Engku Muda Muhammad (Bulang).

(bersambung ke bahagian ke sebelas...)

9. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sembilan...



Pada pertengahan tahun 1728 masihi apabila Riau sudah aman dari peperangan dan serangan daripada Raja Kecik Yang DiPertuan Siak, Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah telah bermuafakat untuk memeriksa kerosakan dan kemusnahan di seluruh daerah takluk kerajaan Johor dan Riau serta seluruh daerah takluknya yang telah dipulangkan oleh Raja Kecik, tatkala ia bersumpah di dalam masjid dahulu. Setelah habis bermesyuarat, maka Yang DiPertuan Muda pun bersiap lah dengan beberapa kelengkapan perang yang akan dibawa berangkat bersama.

Sedang dalam bersiap siap ini, datanglah Indra Guru La Maluk dari Mempawah mempersembahkan surat meminta bantuan daripada Pangeran Emas Seri Negara Opu Daeng Menambun dan Pengeran Mangkubumi Sambas Opu Deang Kemasi yang sedang berperang di Pinang Sekayuk (dekat Mempawah). Setelah Yang DiPertuan Muda dan Opu Daeng Cellak membaca surat itu, lalu bermesyuaratlah kedua nya dan memutuskan bahawa Opu Daeng Cellak lah yang akan pergi membantu perang di Mempawah nanti setelah Yang DiPertuan Muda pulang daripada memeriksa teluk rantau sebelah Pulau Perca (Sumatera), seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-


“Syahadan apabila selesailah musyawarahnya itu maka Yang DiPertuan Muda pun belayarlah ke Tapukan memeriksa segala jajahan itu, serta mengaturkan tempat tempat itu. Maka dengan takdir Allah Taala, Yang DiPertuan Muda pun geringlah sangat, maka lalulah dibawa oleh orang besar besarnya segera ke Riau berlayar dengan dayungnya. Maka apabila sampai ke Pulau Pitung, maka Yang DiPertuan Muda pun mangkatlah kembali ke Rahmat Allah Taala. Maka apabila tiba di Riau gemparlah didalam Riau mengatakan Yang DiPertuan Muda sudah mangkat. Maka Sultan Sulaiman dan Opu Daeng Cellak pun berangkat menyambut jenazah Yang DiPertuan Muda itu dengan dukacitanya. Maka lalulah dikuburkan nya di Sungai Baru (pada 7hb Ogos tahun 1728). Maka berkabunglah orang orang Riau sekeliannya.

Syahadan apabila sudah selesai daripada pekerjaan kematian itu maka baginda Sultan Sulaiman pun melantik Opu Daeng Cellak menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Johor dan Pahang, dengan segala takluk daerahnya sekelian, bergelar Sultan Alauddin Syah. Syahadan apabila selesailah serta tetap Opu Daeng Cellak menjadi Yang DiPertuan Muda, maka bermohonlah ia kepada Sultan Sulaiman hendak pergi ke Mempawah. Maka dibenarkan oleh Sultan Sulaiman serta disuruhnya bawa penjajab dua puluh buah. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Tak usahlah membawa kelengkapan banyak banyak, kerana negeri kita sunyi patik khawatir barangkali datang pergaduhan didalam negeri ini. Seperkara lagi, yang patik ini pergi membantu saja sampai ke sana saudara saudara patik yang disana sudah cukup, sebab dua buah negeri sudah diperintahnya, iaitu Mempawah dengan Sambas”. Maka pada ketika saat yang baik maka Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah ke Mempawah, dengan tujuh buah penjajab, delapan buah dengan perahu Indra Guru La Maluk. Maka tiada beberapa hari Yang DiPertuan Muda pun sampailah ke sebelah tanah Pulau Kalimantan adanya.


Alkisah tersebutlah perkataan Raja Landak, bermula adalah Raja landak itu bernama Ratu Bagus. Maka apabila ia mendengar Raja Pinang Sekayuk berperang dengan Raja Sebukit didalam Mempawah, maka ia pun bersegeralah pergi dengan Raden Othman berjalan darat serta dibawanya segala orang Islam Landak, dengan Dayak Cugi mengiring dia. Maka sampailah ia ke Pinang Sekayuk, lalu berjumpa dengan Pangeran DiPati Pinang Sekayuk. Maka berkhabarlah ia kepada Pangeran DiPati kedatangan ia berdua ini kerana hendak mendamaikan Pangeran DiPati dengan Pengeran Emas Seri Negara itu kerana apalah faedah berkelahi berbantah, kerana sudah seperti anak buah sanak saudara. Maka jawab Pangeran DiPati, “Yang saya tiada apa apa mana mana sahaja yang baik kepada Ratu Bagus, kerana pekerjaan saya ini sekali sekali bukan perbuatan saya, tetapi adalah pekerjaan anak saya, dengan tiada usul periksanya dan tiada sabar. Beberapa kali sudah saya larang tiada juga diindahkan nya sampai masanya inilah jadinya, tidak pada dengan dia seorang, isi negeri dan orang ramai yang menanggung susahnya”.


Setelah Ratu Bagus mendengar khabar Pangeran DiPati itu maka jawabnya, “Jika begitu, biarlah saya pergi kepada Pengeran Emas Seri Negara itu”. Maka pergilah Ratu Bagus mendapatkan Pengeran Emas Seri Negara. Apabila berjumpa maka bertanyalah ia, “Apalah mulanya jadi berbantah dengan sanak saudara dan anak buah ini?” Maka diceritakan oleh Pengeran Emas Seri Negara itu dari awalnya hingga akhirnya. Maka Ratu Bagus pun berkhabar pula, “Ada pun anakanda datang berdua dengan Raden Othman ini jika boleh dipohonkan jangan berkelahi biar berdamai kerana bukan orang lain”. Maka jawab Pengeran Emas Seri Negara, “Kehendak anakanda itu sebenar benarnya, akan tetapi ayahanda sudah terlalu member surat ke Riau kepada Yang DiPertuan Muda Riau memanggil ia kemari, kerana perang inilah. Fikiran ayahanda apa apa pun hendak berbuat biarlah nanti dia datang dahulu”.

Syahadan didalam hal itu suruhan dari Sebukit pun datang mengatakan Yang DiPertuan Muda Riau sudah datang dengan tujuh buah penjajab. Setelah Pengeran Emas Seri Negara mendengar khabar suruhan itu, maka ia pun berkata kepada Ratu Bagus, “Ayahanda hendak hilirlah sebentar dan apa apa keputusannya adalah saya memberitahu”. Maka jawab Ratu Bagus, “Jikalau begitu anakanda mengiringlah juga kerana hendak berkenal kenalan dengan Yang DiPertuan Muda Riau”. Maka jawab Pengeran Emas Seri Negara, “Baiklah”. Maka keduanya pun hilirlah diwakilkan perang itu kepada Pengeran Mangkubumi.

Maka keduanya pun berkayuhlah menyambut Yang DiPertuan Muda Riau di Sebukit serta tiba lalulah naik ke perahu Yang DiPertuan Muda Riau serta berjumpa keduanya, lalu bertangis tangisan. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertanya, “Ini Raja mana?”. Maka jawab Pengeran Emas, “Inilah Raja Landak”. Maka Ratu Bagus pun segeralah datang mencium lutut Yang DiPertuan Muda. Maka disambut Yang DiPertuan Muda dengan hormatnya. Maka berkhabarlah ia akan Yang DiPertuan Muda Kelana Jaya Putera mangkat dan Opu Daeng Parani mangkat juga berperang di Kedah. Setelah Pengeran Emas mendengar khabar itu menangislah yang amat sangat seperti hancurlah hatinya, kerana kehilangan kedua saudaranya itu, akan tetapi apa boleh buat, dengan takdir Allah Taala. Maka Ratu Bagus pun turut juga menangis kerana kasihan melihat kedua dua Raja itu.

Syahadan apabila selesailah daripada bertangis tangisan itu, maka Pengeran Emas Seri Negara pun membawa Yang DiPertuan Muda naik kedarat, masuk kedalam kota berjamu jamu makan minum. Didalam hal itu berkatalah Pengeran Emas kepada Yang DiPertuan Muda akan kehendak Ratu Bagus hendak mendamaikan dia itu. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Dari pihak berdamai adinda mohonlah tangguh dahulu, sebab kita telah berperang didaluluinya. Jikalau belum berperang sekalipun apabila adinda datang ini, patut juga dibunyikan meriam walau sepucuk sekalipun, supaya jangan takabbur amat ia atas kekanda, seperti kekanda tiada menaruh saudara yang jauh diperbuatnya”. Setelah Pengeran Emas mendengar cakap adinda baginda itu maka katanya, “Benarlah seperti kata adikku itu”. Maka Ratu Bagus pun membenarkan juga. Setelah itu baliklah masing masing ke rumah nya. Adapun Yang DiPertuan Muda dibawa oleh Pengeran Emas berjumpa dengan isterinya Ratu Agung Sinuhun. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun turun ke perahunya.

Syahadan adapun Ratu Bagus setelah ia sampai ketempatnya, iaitu di rumah Tuan Imam Sebukit, maka ia pun menyuruh Tuan Imam itu memaklumkan kepada Pengeran Emas Seri Negara hendak minta perhamba baginda, memohonkan puteri baginda yang tuanya yang bernama Utin Dewaman. Apabila hasil maksudnya relalah ia menjadi hamba kebawah duli baginda Pengeran Emas Seri Negara. Maka Tuan Imam pun mengadaplah Pengeran Emas memaklumkan hal itu.

Kemudian maka Pengeran Emas Seri Negara pun berkhabarlah akan maksud Ratu Bagus itu, diserahkan nya kepada Yang DiPertuan Muda mana mana saja yang baiknya. Maka Yang DiPertuan Muda pun naiklah ke istana mendapatkan Ratu Agung Sinuhun mengkhabarkan maksud Ratu Bagus itu. Maka Ratu Agung Sinuhun pun berkata, “Mana mana sajalah baik kepada adinda kekanda menurutlah”. Setelah Yang DiPertuan Muda mendengar perkataan Ratu Agung Sinuhun itu maka ia pun berkata pula, “Baik kita terima juga, kerana sudah patut dengan kupunya, lagipun ia menyerahkan dirinya kepada kita seperti benang putih”. Maka Yang DiPertuan Muda menyuruh Tuan Imam balik mengkhabarkan maksud Ratu Bagus itu telah diterima. Maka Ratu Bagus pun terlalulah sukanya.

Syahadan apabila telah putuslah bicaranya itu, pada ketika saat yang baik maka nikahlah Ratu Bagus itu dengan Utin Dewaman betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin. Syahadan setelah selesai pekerjaan kahwin itu maka Ratu Bagus pun digelar oleh Yang DiPertuan Muda, Panglima Perang dan Yang DiPertuan Muda menjadi Panglima Besar pada perang ini.

Syahadan mudiklah segala Raja Raja itu pergi melanggar Pinang Sekayuk. Maka apabila tiba di Kuala Melansam, maka berjumpalah Yang DiPertuan Muda dengan adinda baginda Pengeran Mangkubumi. Maka berpeluk berciumlah bertangis tangisan dua saudara itu sebab terkenangkan saudaranya yang dua orang itu, iaitu Opu Daeng Parani dan Opu Kelana Jaya Putera sudah mangkat itu. Maka datanglah anak anak Pengeran Eman Seri Negara itu menyembah lututnya paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Riau. Maka ia pun bertanya, “Anak muda ini, anak siapa?”. Maka jawab Pengeran Eman Seri Negara pun berkata, “Semuanya anakku”. Maka Yang DiPertuan Muda pun terlalu sukanya melihat anak muda muda itu baik belaka sikapnya serta boleh diharap di dalam peperangan. Syahadan apabila selesailah daripada berjumpa jumpaan itu, maka segala Raja Raja itu pun muafakatlah akan memulai semula perang.

Syahadan adapun Pengeran Dipati serta anaknya Raden Jaga itu apabila ia dapat khabar Yang DiPertuan Muda Riau telah datang datang itu dan Ratu Bagus pun telah menjadi menantu Pengeran Emas, maka ia pun meminta musyawarah kepada segala menteri menterinya. Maka jawab mereka itu, “Adapun yang patik apa titah saja, akan tetapi pada perasaan patik tentulah kita alah, kerana empat buah negeri yang kita lawan. Ini pekerjaan paduka anakanda dengan buta tuli, tiada dengan musyawarah dengan orang tua tua, inilah jadinya”.

Setelah Pengeran Dipati mendengar sembah segala menteri menterinya itu, ia pun terdiam sejurus sebab sesak ia memikirkan nya, pulang pulangnya disesalkan pada Pak Senti itu juga. Maka duduklah Pengeran Dipati itu mencari jalan kelepasan lari adanya. Maka Raden Jaga pun berkerahlah menyuruh orang orangnya sedia menahan langgar orang orang Sebukit itu dan Dayak pun dikumpulkan beribu beribu serta mengeluarkan beberapa belanja belanja kepada Dayak itu, siang malam dengan berjaga hingga susahlah didalam negeri Pinang Sekayuk itu. Maka mana mana orang yang menaruh anak bini dan harta benda berkemaslah ia, kerana negeri akan rosak pada sangkanya adanya.

Sebermula adapun Pengeran Emas Seri Negara, apabila putuslah muafakatnya maka lalu ia menyuruh Indera Gurunya dan Panglimanya melanggar kubu yang bertentangan dengan dia itu. Maka dilanggarlah oleh Bugis Bugis lalu berperang dirapati oleh Bugis kubu kubu itu dibedilnya dengan senapang dan pemburasnya. Maka orang yang didalam kubu kubu itu pun larilah. Maka didatangi oleh Bugis Bugis pada kubu Raden Jaga itu. Maka berperang sebentar serta mati orangnya dua tiga orang maka yang lain pun larilah pula.

Kemudian didatangkan nya pula pada satu kubu lagi, berkancing pintunya. Maka ditumbukkan oleh Bugis. Maka pintu itu pun roboh. Maka orang orangnya pun berterjunlah maka larilah ia ke Pinang Sekayuk. Maka diikuti oleh Bugis Bugis serta orang orang Sebukit serta Raja Rajanya hingga sampai ke perdalaman Pengeran Dipati itu, lalulah masuk dilihatnya sudah kosong tiada orangnyalagi tinggal, barang barangnya saja. Maka baginda baginda itupun berhentilah di Pinang Sekayuk itu muafakat.

Adapun orang orang Pinang Sekayuk yang lari lari itu ada yang berjalan darat, ada yang bersampan dan Pengeran Dipati serta Raja Raja pun mudiklah di hilir ke Kuala Sumpak Tambaong Bangsal. Kira kira dua hari Bugis Bugis pun datang pula melanggar disitu, lalu berperang ramai pula dengan orang orang Melayu, maka bertahanlah disitu. Kemudian lari pula dengan anak isterinya berjalan ke Pihar dan dari Pihar ke Sirai dan dari Sirai ke Mateloa lalu ke Sengat turun ke Tayan, lalu ke Meliau membuat tempat disitu. Maka tiada diikut oleh Bugis lagi. Maka segala orang orang Pinang Sekayuk pun bertaburanlah, ada yang tinggal di Pinang Sekayuk dan ada yang tinggal di Tambaong. Maka alahlah Pengeran Dipati itu adanya.

Adapun Pengeran Emas Seri Negara serta segala Raja Raja itu bermusyawarah lah ia hendak membetulkan segala Dayak Dayak yang takluk Pinang Sekayuk yang tiada dipulangkan oleh Pengeran Dipati kepada anak Panembahan Sanggau yang bernama Emas Indera Wati, ibu Puteri Kesumba kerana waktu Panembahan Sanggau mangkat, segala pekakas Kerajaan dan lain lainnya semuanya dipulangkan oleh Pengeran Dipati kepada Emas Indera Wati itu. Hanyalah segala pemerintahan Dayak juga yang tiada hendak dipulangkannya. Syahadan pada masa perang inilah baharu Dayak Dayak itu pulang kepada pemerintahan Mempawah, sebab Dayak Dayak itu baharu tahu akan Emas Indera Wati itu anak Panembahan Sanggau. Adalah banyak negeri negeri Dayak itu tiga puluh buah negeri itulah yang dibicarakan oleh Raja Raja itu. Syahadan berhimpunlah segala kepala kepala Dayak itu mengadap Pengeran Emas Seri Negara lalu bersumpah setia yang ia tiada ingkar sekali daripada perintah Mempawah.


Maka apabila sudah selesailah daripada membetulkan Dayak itu, maka segala Raja Raja itu pun hilirlah ke Sebukit. Maka apabila sampai ke Sebukit duduklah bersuka sukaan. Maka ada kira kira tujuh hari, maka Yang DiPertuan Muda pun mohonlah hendak balik ke Riau dan Pengeran Mangkubumi pun demikian juga. Maka belayarlah Yang DiPertuan Muda balik ke Riau dan Pengeran Mangkubumi pun belayarlah juga balik ke Sambas. Maka Pengeran Emas Seri Negara pun menghantarlah laki isteri hingga sampai ke kuala. Adapun Yang DiPertuan Muda pun belayarlah menuju negeri Riau dan Pengeran Mangkubumi pun belayarlah menuju negeri Sambas semula”.

(bersambung ke bahagian ke sepuluh...)