Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Monday, December 21, 2015

15. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke lima belas...

Setelah habis perang di Siantan pada tahun 1750, Sultan Sulaiman serta paduka anakanda Yang DiPertuan Muda dan anakanda anakanda sekelian berhimpun lah bersama didalam Riau. Adalah harapan baginda Sultan Sulaiman yang bakal menggantikan baginda adalah putera gahara baginda iaitu Raja Abdul Jalil, yang sudah pun beristerikan sepupunya iaitu Tengku Putih anakanda almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak dengan Tengku Mandak. Hubungan Raja Abdul Jalil dengan iparnya iaitu Raja Haji Engku Kelana dan saudara saudaranya yang lain sangatlah rapat. Demikian juga hubungan rapat diantara Sultan Sulaiman dengan anak anak Raja Bugis setelah pulang daripada perang di Siantan, makin nampaklah kasih sayangnya serta tulus ikhlas dan mesra dengan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja serta adik beradiknya. Apabila di lihat oleh sesetengah suku suku sebelah Melayu akan hal yang demikian ini, maka makin terbakarlah hatinya kerana perasaan hasad dengki.

Kemudian timbul lah fitnah yang di buat oleh Raja Kecik Terengganu yang mengatakan bahawa orang orang Bugis hendak mengamuk dan membakar rumah. Jadi kecoh lah orang orang Raja Kecik Terengganu gaduhkan dan sebarkan berita ini tiap tiap malam. Dalam sebulan dua tiga kali datang lah fitnah sedemikian. Maka di periksalah oleh Yang DiPertuan Muda bersama sama dengan Bendahara tapi tidak pula jumpa apa apa bukti seperti yang difitnahkan itu.

Kemudian selang empat lima hari datang pula fitnah mengatakan bahawa orang orang Bugis hendak membakar kota, apabila dikejarnya ia lari. Maka jadi gemparlah pada tengah malam itu gaduhkan perkara ini. Apabila siang hari, Yang DiPertuan Muda pun segera mengumpulkan segala orang orang Bugis dan segala orang orang Melayu dihadapannya. Lalu di periksa oleh Yang DiPertuan Muda di tengah orang ramai itu dan bertanya, “Siapa yang melihat, dan siapa pergi mengejar, dan siapa yang dikejar, dan siapa yang berkhabar semalam?”. Tapi tiada seorang pun yang mengaku.

Sultan Sulaiman pun sangatlah dukacita melihatkan hal perbuatan suku suku Melayu dan orang orang besar Melayu serta menantunya Raja Kecik Terengganu membuat fitnah terhadap suku suku Bugis itu. Dukacitalah hati baginda memikirkannya dan begitu juga dengan anakanda baginda Raja Abdul Jalil makin hari semakin panaslah hati memikirkan fitnah fitnah yang ditimbulkan ini, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan ada kira kira sepuluh hari renggangnya datang pula fitnah yang besar mengatakan orang Bugis meradak rumah Tun Wangsa. Maka gembarlah malam itu dan orang Terengganu pun berlari larianlah dengan lembing bercabut beberkas berkas pergi ke rumah Tun Wangsa itu, riuh rendah, mengatakan, “Kepung! Kepung! Itu dia! Itu dia!”. Maka berkejar kejarlah berhambat hambatanlah orang Terengganu.

Maka Raja Abdul Jalil pun terkejutlah daripada beradu maka ia pun pergi ke tempat gaduh gaduh itu seraya bertanya, “Apa digaduhkan ini?. Maka sembah orang orang itu, “Bugis meradak istana paduka bonda Tun Wangsa, tuanku”. Maka kata Raja Abdul Jalil, “Berapa orang yang sudah mati diradaknya?”. Maka jawab mereka itu, “Tiada yang mati, tersangkut kerisnya”. Maka kata Raja Abdul Jalil, “Engkau kenalkan orang yang meradak itu? Bugiskah, atau orang mana? Adakah engkau suluh mukanya?”. Maka jawab mereka itu, “Tidak, tuanku”. Maka titahnya, “Jikalau tidak engkau suluh dimana engkau tahu orang Bugis dengan sebegini gelapnya malam ini?. Maka jawab mereka itu, “Periksalah tuanku, pacal yang ramai itu mengatakan orang Bugis konon, maka patik pun mengikutlah”. Maka titah Raja Abdul Jalil, “Jikalau begini kelakuan engkau semua ini, sengaja engkau semua hendak mengadu tuan engkau dengan aku, atau dengan Bugis”.

Maka Raja Abdul Jalil pun berangkat ke istananya, lalu dipersembahkannya kepada paduka ayahanda bagindanya segala hal ehwal itu. Maka apabila siang hari Yang DiPertuan Muda pun pergi lah ke balairung seri mengadap baginda. Maka baginda pun menyuruh panggil Raja Kecik dan Bendahara, Temenggung serta puteranya Raja Abdul jalil, serta Raja haji serta anak Raja Raja sekelian. Maka diperhadapkan pula diperiksa sebelah menyebelah. Maka tiada juga terkatakan oleh suku suku Melayu itu serta tiada juga tertunjukkan. Maka berkata Raja Abdul jalil, “Sengaja dia semua hendak membuat pangkal perkelahian dan jikalau sungguh terjumpa Bugis meradak itu, atau Melayu, maka tikam sajalah. Apalah yang terjerit jerit, terpikau pikau tengah malam dinihari berlari lari berhambat hambat kesana kemari?”. Maka ia pun lalu turun balik dan sekeliannya pun baliklah masing masing kerumah nya.

Syahadan adapun Yang DiPertuan Muda maka tahulah akan suku suku Melayu itu sengaja hendak mendatangkan fitnah atasnya jua. Adapun bahagian Sultan Sulaiman putera berputera mangkin mesra hatinya dengan Bugis. Maka didalam hal yang demikian itu mangkin bertambah tambahlah pedih hati Raja Kecik Terengganu itu memanjangkan fitnahnya sehari hari.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun berfikir, “Jika duduk begini, akhir akhirnya jadi berbantah juga dengan suku suku Melayu, baik tak baik jikalau tidak daripadanya mendatangkan kejahatan atau daripada aku. Apalah jadinya sumpah setia itu?”. Maka ia pun memanggil Raja Haji mengkhabarkan hal ehwalnya serta ia berkata, “Yang kekanda ini hendak bermohon keluar daripada Riau ini dan Raja Haji tinggallah dahulu, tiada tahan kekanda ini akhir akhirnya merosakkan sumpah setia saja”. Maka jawab Raja Haji, “Apabila Raja Kecik itu memperbuat haru biru di atas adinda maka tiadalah adinda panjangkan lagi, melainkan adinda ajak keluar saja dari Riau ini, dimana mana tempat dia suka berperang atau bertikam boleh segera habis ketentuan maksud kedua pihak”.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun mengadaplah Sultan Sulaiman bermohon hendak keluar dari Riau itu. Maka tiadalah dilepaskan oleh baginda. Maka berhenti pula ia. Maka apabila Raja kecik mendengar hal yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya maka membuatlah ia akan beberapa macam fitnah. Maka tiadalah tertahan oleh Yang DiPertuan Muda maka bermohonlah ia kepada Sultan Sulaiman tiada juga dilepaskan oleh baginda sehingga berpuluh kali bermohon tiada juga dilepaskan oleh baginda.

Syahadan didalam hal itu maka Yang DiPertuan Muda pun menyiapkan perahunya serta diturunkan nya segala harta bendanya dan anak isterinya. Maka apabila sudah mustaid sekeliannya baharulah ia pergi bermohon pula kepada Sultan Sulaiman, sambil berdatang sembah dengan tangisnya, “Ampun, tuanku! Yang patik ini keluarlah, diberi tidak diberi, patik keluar. Derhaka celaka patik tiada. Bukannya perbuatan patik dan bukannya perbuatan tuanku, tiada dapat patik bertahan lagi, seumpama karung sudah penuh tiada muat lagi. Jikalau patik bertahan sehari dua lagi, tentulah jadi rugi atas diri tuanku. Apalah nama patik? Selama lama ini, paduka kekanda kekanda membaikkan Riau ini, tiba tiba masa patik ini merosakkan pula. Adapun patik semua anak Bugis dimana mana diam, apabila ada titah perintah ke bawah duli memanggil patik menyuruh bekerja, Insya Allah taala patik kerjakan. Akan tetapi pada waktu ini bercerai dahulu antara tuanku dengan patik semua anak Bugis, sebab jangan rosak hati sanak saudara tuanku, kerana patik ini selagi orang suka patik tunggu, pada ketika orang benci patik keluar dahulu, kerana yang patik tiada mahu menjadi derhaka celaka merosakkan nama dan sumpah setia. Tiadalah harus patik menghilangkan nama orang tua tua patik!”.

Syahadan kata sahibul hikayat maka apabila Sultan Sulaiman mendengar sembah Raja Muda itu, maka baginda pun menangislah sambil katanya, “Hai Raja Muda! Sampainya hati Raja Muda! Harapnya hati saya akan Raja Muda, perasaan hati saya jikalau saya mati saya minta jemaahlah kepada Raja Muda. Maka tiadalah sampai hajat saya. Apalah jadinya?”. Maka sembah Raja Muda, “Apa boleh buat? Sudah nasib patik pada ketika ini kerana patik memeliharakan kerugian tuanku jua”. Maka lalulah ia bermohan turun ke perahunya lalu ia belayar ke Linggi.

Maka baginda pun tiada terkata kata lagi, hilanglah kiranya tiada dapat jalan lagi menahannya. Maka air matanya jua berhamburan saja dengan dukacitanya sehari hari serta dengan sebalnya akan perbuatan sebelah sanak saudaranya sebelah Melayu, serta bertambah tambah pula khuwatirnya akan sanak saudaranya kalau kalau membinasakan dia pula, akan tetapi tiada ditampakkan nya kerana ia takut kalau kalau datang pula fitnah yang terlebih besar atasnya, melainkan mencari fikiran jugalah ia berdua puteranya dengan Raja Abdul Jalil pada hendak menetapkan Bugis itu adanya.

Syahadan kata sahibul hikayat tinggallah Raja Haji didalam Riau adik beradik. Didalam hal itu maka datang pula kacau daripada Raja Kecik Terengganu serta Bendahara, iaitu datang sebuah kapal Holanda masuk ke Riau. Entahkan bagaimana hikmatnya Raja Kecik Terengganu itu dengan Bendahara berbicara dengan Holanda itu, tiba tiba dimaklumkan nya kepada baginda hendak dimohonkan nya Raja Haji tiga beradik, iaitu Raja Aminah dan Raja Halimah, boleh diserahkan kepada Holanda biar keluar dari Raiau ini, kerana banyak kebajikan atas baginda dibelakangnya konon. Maka dua tiga kali sehari dimohonkan kepada Sultan Sulaiman. Maka didalam hal itu tahulah Tengku Putih dan Tengku Hitam, maka menghempaskan dirilah ia menangis. Maka gempar didalam Riau serta masyhur khabar itu didalam negeri Riau. Maka Holanda pun memeratikan saja hal tingkah kelakuan Raja Kecik itu, kemudian Holanda pun belayarlah ia.

Syahadan sampailah khabar itu kepada Raja Haji, maka ia pun sangatlah marahnya. Maka lalu menyiapkan alat senjatanya dan segala penjajabnya, kira kira dua puluh buah. Maka apabila siap, maka lalu dihadapkan haluannya kepada kelengkapan Terengganu itu. Maka gemparlah pula orang orang Terengganu menggatakan segala kelengkapan Raja Haji sudah menghadapkan haluannya kepada kelengkapan Terengganu. Maka Raja Kecik pun menyuruh orangnya turun kepada penjajabnya.

Kemudian Raja Haji menyuruhlah kepada Raja Kecik mengajak keluar berperang, dimana mana tempat yang disukainya supaya lekas habis perkaranya. Maka gemparlah didalam Riau mengatakan Raja Haji hendak berperang dengan Raja Kecik Terengganu. Maka Sultan Sulaiman pun tiada terkata kata lagi. Maka Raja Abdul Jalil pun sangatlah marahnya akan Raja Terengganu itu. Maka baginda pun memanggil Raja kecik itu serta Bendahara semua, mana suku suku Melayu. Maka datanglah segala mereka itu, maka baginda pun bertitah kepada Raja Kecik, “Adapun saya ini berkhabar benar sekali ini jikalau abang abang kaya semua serta Raja Kecik tiada mau muafakat dengan anak anak Raja Bugis, saya hendak keluar dari Riau ini. Barangsiapa hendak jadi Raja disini jadilah, yang saya seorang tiada saya mau dimakan sumpah dan jikalau abang abang kaya semua serta Raja Kecik hendak mengikut ikhtiar saya, ambilkan saya Raja Muda ke Linggi, supaya sumpah setia kita baharukan semula”.

Syahadan setelah Tun Dalam, iaitu Raja Kecik, mendengar titah duli baginda itu, maka ia terdiam sejurus. Kemudian baharu ia berdatang sembah seraya katanya. “Yang patik ini mana mana sahaja titah perintah. Tiada patik berniat salah kepada duli tuanku, akan tetapi bilakan Raja Muda percayakan patik, melainkan patik mohonkan Raja Haji bersama sama”. Lalu baginda memanggil Raja haji. Maka Raja Haji pun datang. Maka baginda pun bertitahlah, “Hai anakku Raja haji, yang keruh aku minta jernihkan, yang kusut aku minta selesaikan. Maka muafakatlah Raja Haji dengan Tun Dalam, aku minta ambilkan Raja Muda balik ke Riau ini”. Maka sembah Raja Haji, “Mana mana titah saja”. Maka Tun Dalam pun berlayarlah ke Linggi bersama sama Raja Haji. Maka Raja Kecik pun mengajak Raja Haji singgah ke Melaka dahulu. Maka keduanya pun singgahlah ke Melaka.


Syahadan kata sahibul hikayat apabila tiba ia ke Melaka, maka naiklah Raja Kecik berjumpa Gebernur Melaka. Maka mengakulah Raja Kecik kepada Gebernur yang ia utusan lagi wakil Sultan Sulaiman, membawa bicara kepada Gebenur daripada fasal Sultan Sulaiman hendak membuang Bugis dari Riau, “Kerana Bugis sedah mengambil kerajaan Johor. Sebab itulah Raja Muda dikeluarkan dari Riau ini, sekarang ada di Linggi, lama lama barangkali dapat kekuatan disitu. Maka inilah Sultan Sulaiman minta langgarkan Raja Muda di Linggi itu. Barang berapa belanja Kompeni habis, nanti baginda boleh ganti. Dan lagi ini ada satu saudaranya jadi kaki tangannya, Raja Haji, ada saya bawa ini, baginda minta belokkan disini”.

Syahadan setelah Gebenur Melaka mendengar khabar Raja Kecik itu, maka jawabnya, “Baiklah. Nanti pada hari Jumaat kita panggil makan makan di kebun supaya boleh kita tangkap sama dia. Adapun Raja Muda di Linggi baik Raja Kecik sama sama kita pergi pukul”. Maka jawab Raja Kecik, “Baiklah”. Syahadan ada satu orang bernama Encik Awal demi mendengar rahasia itu, maka ia pergi ke Linggi memaklumkan kepada Yang DiPertuan Muda. Maka Yang DiPertuan Muda pun menyuruh Raja Selangor mengambil Raja Haji ke Melaka malam itu juga, kerana khabarnya hendak ditangkap di Melaka.
Setelah Yang DiPertuan Selangor mendengar khabar itu, maka ia segera turun ke sampan, berkayuh. Maka didapatkan Raja Haji di Pulau Jawa lalulah dibawanya Raja Haji itu ke Linggi. Kemudian Raja Selangor pun baliklah ke Selangor.

Syahadan ada kira kira dua hari maka kapal kapal langgaran dari Melaka pun datanglah. Ada kira kira dua belas buah dengan selubnya sekali dan dengan perahu Terengganu, menjadi ada kira kira empat puluh buah. Maka datanglah ia dengan terserkap. Maka tiada sempat Yang DiPertuan Muda berbuat kubu lagi dan segala senjata pun tiada habis disiapkan. Maka naiklah baris (tentera Holanda) lalu ditempuhnya kampong Yang DiPertuan Muda itu, beramuklah Bugis Bugis dengan Holanda. Adapun orang Terengganu seorang pun tiada masuk perang, beberapa kali disuruh oleh Raja Haji teriak naik ke darat dengan perkataan yang keji keji, tiada juga ia naik ke darat bertikam.

Maka Bugis Bugis pun tiada dapat melawan betul sebab gaduh dengan bimbang, hendak melepaskan segala perempuan pada hal baris sudah masuk kampong. Maka Raja Haji itu pun mengamuklah berlawan dengan baris, maka lukalah Raja Haji kena sangkur (bayonet)senapang pada pehanya. Maka ia pun tiada boleh berdiri, maka lalulah didukang orang dilarikan keluar dari peperangan itu. Maka di dalam hal itu Linggi pun alah. Maka Raja Muda larilah ke Rembau, tetaplah didalam Rembau muafakat dengan Penghulu Rembau itu pada pekerjaan hendak melanggar Melaka pula.

(bersambung ke bahagian ke enam belas...)

No comments:

Post a Comment