Mulai awal tahun 1748
sewaktu Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Raja Haji
menjadi penolong kepada Yang DiPertuan Muda bergelar Engku Kelana,
mulalah timbul banyak kekeruhan di Riau diantara pehak Raja Raja Melayu
dengan pehak Raja Raja peranakan Bugis. Adalah sebab datangnya fitnah
dan kekeruhan itu ialah kerana salah faham dan maksud serta fikiran oleh
pehak Raja Raja Melayu keatas pehak Raja Raja peranakan Bugis, yang
mereka anggap bahawa Raja Raja peranakan Bugis ini sebagai orang orang
pendatang baru berbanding dengan pehak Raja Raja Melayu. Yang menjadi
kepala dari pehak Raja Raja Melayu ini ialah Yang DiPertuan Terengganu
Raja Kecik, yang bernama Tun Dalam, yang juga merupakan menantu kepada
Sultan Sulaiman. Kemudiannya setengah daripada pehak Raja Raja Melayu
Riau iaitu Bendahara dan Temenggung serta lain nya pun mengikuti dan
menyertainya didalam menyebarkan rasa tidak puas hati terhadap kuasa
pemerintahan mutlak oleh pehak Raja Raja peranakan Bugis ke atas
Kerajaan Johor-Pahang-Riau- Lingga yang diberikan oleh Sultan Sulaiman.
Kuasa pemerintahan mutlak keatas Kerajaan Johor-Pahang-Riau- Lingga kini
di pegang oleh Raja Raja peranakan Bugis yang menjadi Yang DiPertuan
Muda dan segala menteri hulubalang yang besar besar sekelian di bawah
perintahnya. Manakala kuasa orang orang besar daripada pehak Raja Raja
Melayu seperti Bendahara dan Temenggung pula dikurangkan. Jadi kuasa
pemerintahan mutlak jawatan Raja Raja peranakan Bugis diatas pehak Raja
Raja Melayu inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan
mereka. Sepertinya mahu cuba untuk membatalkan perjanjian sumpah setia
yang dibuat dahulu diantara pehak orang orang Bugis di Riau yang
diketuai oleh Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah dengan pehak orang
orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Sulaiman yang dibuat dengan
bersumpah bersaksikan Al Quran pada bulan Oktober tahun 1722.
Namun begitu, Sultan Sulaiman bagaimana pun tidak lah berfikiran
demikian. Baginda telah mengalami dan merasai sendiri bagaimana
sengsaranya apabila Kerajaan ayahanda baginda yang hilang diambil oleh
Raja Kecik Siak serta dibunuhnyanya ayahandanya itu oleh Raja Kecik.
Diambil Kerajaannya serta di hina hinakan baginda adik beradik serta di
buat menjadi pengangkat alat alat kebesaran waktu Raja Kecik bernobat di
Johor dahulu. Selama kira kira tiga tahun lamanya, tiada pula kaum
kerabat baginda dari sebelah Raja Raja Melayu seperti Patani dan
Kelantan dan Terengganu yang datang menolong mengambilkan Kerajaan
baginda itu daripada tangan Raja Kecik. Melainkan kaum kerabat baginda
dari sebelah Raja Raja Melayu itu menghina hinakan baginda, sehingga
mengata setengah daripada setengah yang lain bahawa Sultan Sulaiman itu
tiada patut menjadi Raja, sebab dia anak gundik ditukar dengan tudung
saji dan banyak lagi perkataan yang lain lain, sehingga membuat baginda
menjadi putus asa daripada mendapatkan bantuan daripada kaum kerabat
baginda untuk mendapatkan kembali kerajaan ayahanda baginda. Maka dengan
sebab itulah baginda meminta pertolongan daripada Raja Bugis Opu Opu
yang lima bersaudara itu. Jadi apabila telah datang Raja Bugis Opu Opu
yang lima bersaudara itu membantu hingga mencapai maksud baginda dan
berbalas kematian ayahanda baginda serta dapat semula Kerajaan Johor
diatas tangan baginda dengan susah payah serta berperang beberapa
kali,sehingga baginda dapat semula Kerajaan dan Jawatan ayahanda
baginda. Oleh sebab itu lah tiada balasan yang lain yang patut baginda
berikan kepada Raja Bugis Opu Opu yang lima bersaudara itu diatas jasa
besar mereka itu melainkan jawatan Yang DiPertuan Muda serta kuasa
pemerintahan mutlak keatas Kerajaan Johor-Pahang-Riau- Lingga bagi pehak
baginda Sultan, dan itu pun setelah baginda muafakat dan mendapat
persetujuan daripada Bendahara dan Temenggung serta segala orang orang
besar baginda. Dahulunya sewaktu hendak mengangkat Yang DiPertuan Muda
dari pehak Raja Bugis lima bersaudara itu dengan suka ramai juga, tapi
tiba tiba kini berubah pula, apabila sudah menjadi darah daging serta
negeri sudah menjadi ramai dan berjalan dengan baik segala urusan
pemerintahan, perniagaan dan lain nya. Kini barulah kaum kerabat sebelah
Melayu hendak menghilangkan jasa budi Raja Bugis lima bersaudara itu
yang telah pun juga di buat perjanjian sumpah setia diantara kedua dua
pehak. Ini lah yang menjadi pegangan Sultan Sulaiman yang bertentangan
dengan fahaman sesetengah kaum kerabat baginda daripada pehak sebelah
Melayu itu.
Manakala pendirian dan pegangan pehak Raja Raja
peranakan Bugis ialah, mereka semua di panggil oleh Sultan Sulaiman
tatkala belum menjadi Sultan lagi, meminta tolong untuk menghapuskan
malu keluarganya serta untuk mendapatkan kembali Kerajaan Johor dan
melawan musuhnya. Semuanya ini telah pun pehak Raja Raja Bugis
laksanakan hingga berjaya semuanya. Kata mereka, “Maka sudah kita
semuanya ini sampaikan maksudnya dan hajatnya berganda ganda. Kemudian
Sultan Sulaiman serta suku suku sebelah Melayu hendak membalas jasa dan
budi kita anak Bugis dengan patutnya dengan bangsa kita dan nama kita.
Maka kita terimalah, itupun dengan beberapa kali kita tolak, tiada
menerima kehendaknya itu. Maka tiada juga suku suku Melayu melepaskan
seperti yang tersebut masa kita dipilih hendak dijadikan Yang DiPertuan
Muda itu. Maka sekarang jadi darah daging dan anak cucu dia sudah
menjadi anak cucu kita. Maka waktu ini pula baharu hendak dipotong kita
semua Bugis, serta hendak dibatalkan sumpah setia serta hendak diberi
malu kita dengan dibatalkan pula jabatan kita selama lamanya ini. Maka
didalam pada itu pun jikalau Sultan Sulaiman hendak menyertai pekerjaan
sebelah suku suku Melayu itu, iaitu kita lawan juga dahulu dengan jalan
yang patut, atau undur dahulu kita. Adapun yang lain daripada Sultan
Sulaiman, boleh juga dicuba laki lakinya, baik suku sebelah Siak atau
Pahang atau Terengganu atau Kelantan, boleh juga di cuba laki lakinya”.
Demikian lah pendirian dan pegangan pehak Raja Raja peranakan Bugis.
Dalam pada itu, Raja Tua anak almarhum Daeng Menampuk, yang ibunya
sebelah Raja Melayu itu, tidak tentulah pegangan nya, sekejap
menyebelahi sebelah pehak Raja Melayu dan kedangkala menyebelahi pehak
Raja peranakan Bugis. Makin hari makin bertambahlah dendamlah pehak Raja
Raja Melayu apabila melihat negeri sudah ramai dan makmur, manakala
kuasa pemerintahan mutlak Negara pula di pegang oleh pehak Raja Raja
peranakan Bugis, jadi makin menjadi jadi lah dendam nya itu.
Adapun punca bermulanya pehak Raja Raja Melayu membuat jalan perkelahian
dengan pehak Raja Raja peranakan Bugis ialah apabila datangnya Sultan
Mahmud Siak ke Riau meminta bantuan daripada ayahanda saudaranya, Sultan
Sulaiman untuk menyerang saudaranya Raja Alam diSiak bagi membolehkan
ia mendapatkan kembali tahta Kerajaan Siak. Lalu bermuafakatlah pehak
Raja Raja Melayu yang dikepalai oleh Yang DiPertuan Terengganu Raja
Kecik, dan katanya patutlah dibantu. Manakala muafakat pehak Raja Raja
peranakan Bugis yang dikepalai oleh Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja
mengatakan tidak patut dibantu kerana ia berperang dengan saudaranya.
Tetapi pehak Raja Raja Melayu yang dikepalai oleh Yang DiPertuan
Terengganu Raja Kecik berkeras hendak membantu juga. Maka Sultan
Sulaiman pun menurutlah kehendak pehak Raja Raja Melayu itu, lalu
jadilah perselisihan dengan pehak Raja peranakan Bugis.
Setelah
itu pada 4 haribulan Oktober 1748, Sultan Sulaiman dan Sultan Mahmud
Siak serta Yang DiPertuan Terengganu Raja Kecik pun pergilah ke Melaka
meminta orang orang Holanda (Belanda) menolong Sultan Mahmud Siak
mengambil semula Kerajaan Siak daripada tangan Raja Alam dan nanti
apabila telah berjaya, orang orang Holanda (Belanda) akan diberi
kemudahan berniaga dan berdagang di negeri Siak. Apabila telah bersetuju
semua, maka berangkatlah Sultan Mahmud dengan dibantu oleh Sultan
Sulaiman, DiPertuan Terengganu Raja Kecik serta angkatan perang Holanda
(Belanda) dari Melaka pergi menyerang Raja Alam di Siak seperti yang di
sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka
membantulah Holanda itu, maka Siak pun alahlah. Maka Raja Alam pun undur
ke Batu Bahara membawa dirinya. Maka Sultan Mahmud lah jadi Raja Siak.
Syahadan Holanda pun duduk di Pulau Gotong, lalu membuat perjanjian
dengan Sultan Mahmud itu. Maka Sultan Sulaiman pun balik ke Riau pada
dua puluh bulan Zulkaedah (11 haribulan November).
Adapun Sultan
Mahmud setelah Holanda duduk di Pulau Gotong itu, maka datanglah
fikirannya tiada berketentuan , lalulah ia keluar ke Sanglar merompak
perahu perahu Jawa hendak masuk ke Siak dan keci Holanda pun dirompak
juga. Maka marahlah Gubernur Melaka, disuruhnya satu kapal perang
melanggar Sultan Mahmud di Sanglar. Maka berperanglah keduanya. Maka
alahlah Sultan Mahmud. Maka Holanda balik ke Melaka dan berpesanlah
Gubernur Melaka kepada Holanda yang duduk di Pulau Gontong, jangan
diterima Sultan Mahmud itu masuk ke Siak lagi kerana sudah begitu
pertolongan kompeni bersama Sultan Sulaiman, masih juga merompak.
Syahadan tiada berapa lamanya Holanda duduk di Pulau Gontong itu maka
ditinggalkan nya, khabarnya sebab diamuk Sultan Mahmud dan dibunuhnya
fetur (agen tempatan Syarikat Perdadangan Eropah) Holanda itu. Maka
dapatlah Siak itu pada tangan Sultan Mahmud semula. Maka bersedialah ia
beberapa kubu kubu menantikan Holanda datang melanggar.
Syahadan
adapun Raja Alam yang duduk di Batu Bahara itu maka membuatlah ia
beberapa kelengkapan perang. Maka ia pun belayarlah ke Siantan lalulah
merompak sebuah kapal, maka dapatlah harta banyak. Maka membeli ia
segala pekakas perang dan ubat peluru, diperintahnya lah Siantan itu
seperti milik dia. Maka tiadalah diberinya berhadap ke Riau sekali kali.
Kemudian berkirim surat pula ia kepada saudaranya Sultan Mahmud minta
datang ke Siantan membantu, “Jika ada di Riau datang lekas”. Maka jawab
Sultan Mahmud, “Adinda datanglah ini”. Syahadan fikir Raja Alam apabila
tiada terambil Siantan oleh Orang Riau, nescaya dapatlah ia menjadi Raja
di situ, tiadalah berkhusumat dengan saudaranya lagi. Adapun saudaranya
demikian juga fikirannya, akan tetapi ia ada sedikit segan akan Sultan
Sulaiman sebab Sultan Sulaiman ada juga berkirim surat kepadanya minta
bantu adanya.
Sebermula adapun Sultan Sulaiman apabila ia
mendengar khabar hal Siantan itu maka baginda pun musyawarahlah dengan
Raja Kecik Terengganu serta orang besar besarnya akan pergi melanggar
Raja Alam. Maka Yang DiPertuan Muda lagi menantikan pertikamannya dari
Selangor. Syahadan Sultan Sulaiman dan Raja Kecik Terengganu pun
belayarlah ke Siantan.
Apabila sampai ke Siantan lalulah
berperang dengan Raja Alam. Maka Raja Alam pun menyuruh panglima
panglimanya melawan bersungguh hati, maka kelengkapan Terengganu dan
Riau pun undur. Maka Raja Alam pun berkata kepada orang Terengganu,
“Jika laki laki kedaratlah, kita bertikam saja”. Maka tiadalah di jawab
orang Terengganu itu, hingga berbedil berdilan jua dari jauh. Maka
dipermudah mudahkan saja oleh Raja Alam rupa rupanya perang itu.
Syahadan kata sahibul hikayat apabila sampai lima bulan berperang itu,
maka kesusahanlah Sultan Sulaiman serta dukacita takut juga tiadalah
alah tentu malu besar. Syahadan baginda pun menyuruh Hang Dewa ke Riau
melekaskan Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja. Maka apabila tiba Hang
Dewa itu ke Riau lalu mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Muda hal
paduka ayahanda di Siantan. Maka titahnya, “Kami lagi menanti orang
orang Bugis dari Selangor”.
Syahadan apabila sampailah pada sanat
1162, pada dua bulan Jamadul Akhir (18 Mei 1749), maka datanglah segala
kelengkapan Selangor itu, iaitu La Kanna dan Punggawa dengan segala
petikaman Bugis ada lima ratus anak baik baik. Maka naiklah segala
mereka itu mengadap Yang DiPertuan Muda, lalu mereka itu menghunus
kerisnya di hadapan Yang DiPertuan Muda sambil mengaruk aruk. Syahadan
berangkatlah Yang DiPertuan Muda ke Siantan mendapatkan paduka ayahanda
baginda Sultan Sulaiman, iaitu pada dua lekur Rajab bersama sama Tunku
Raja Muhammad.
Syahadan apabila tiba ke Siantan, baginda pun
bermusyawarahlah dengan Yang DiPertuan Muda. Maka didalam hal itu
angkatan dari Siak pun datang, ada kira kira tiga puluh buah kelengkapan
kecil besar yang datang itu, iaitu Sultan Mahmud Raja Buang, saudara
Raja Alam itu dan anak saudara Sultan Sulaiman yang tersebut itu. Maka
apabila ia sampai ke Siantan maka naiklah ke darat mengadap Sultan
Sulaiman. Maka diperiksa oleh Yang DiPertuan Muda, “Adinda datang ini
apa kehendak, dan sebelah mana? Maka jawab Sultan Mahmud itu, “Yang saya
ini tiada sebelah sana dan tiada sebelah sini, kerana disana abang
saya, dan disini ayah saya”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Baiklah,
adapun saya ini siapa siapa yang mengadapkan mulut meriamnya kepada
Sultan Sulaiman itulah musuh saya dan seteru saya. Jikalau anak saya
yang dijasadkan sekali pun tiada saya hiraukan, Insya Allah taala saya
bedil juga”. Syahadan maka Raja Siak pun turunlah ke perahunya.
Adapun Yang DiPertuan Muda apabila sudah Raja Siak itu balik ke
perahunya, maka ia pun berdatang sembah kepada baginda sembahnya, “Pada
pendapat patik, orang Riau dan orang Terengganu tiada usahlah melanggar
darat, biarlah patik saja bahagian darat. Adapun orang Riau dan orang
Terengganu sediakan saja hadapkan mulut meriamnya kepada kelengkapan
Siak, kerana kita tiada sedap hati mendengar perkataannya kerana
saudaranya lagi dilanggarnya”. Maka jawab baginda, “Mana mana yang baik
kepada Raja Muda perbuatlah, kerana segala pekerjaan itu sudah terserah
memang kepada Raja Muda, baik jahatnya”.
Syahadan setelah selesai
musyawarah itu, maka Yang DiPertuan Muda pun menyuruh Bugis Bugis itu
melanggar kubu Terempak itu. Maka lalu di keluari oleh orang orang Siak
dan orang Siantan mana mana sebelah Raja Alam. Maka lalu berbedil
bedilan dengan meriam lela rentaka. Kemudian berapat berbedil bedilan
dengan senapang pemburasnya. Kemudian berapat bertikamkan keris. Maka
sangatlah ramainya kerana sama sama tiada mau undur.
Syahadan
apabila La Kanna serta Punggawa melihat hal itu, maka ia pun menerkamlah
ke medan dengan beberapa indera gurunya dan juak juaknya. Maka lalu
masuk beramuk pula, maka banyaklah mati sebelah menyebelah itu. Kata
setengah orang tua tua ada kira kira empat ratus orang yang mati. Maka
masuklah ia kedalam kubunya, maka dikepunglah oleh Bugis Bugis itu. Maka
didalam hal itu hampir dapat. Maka Raja Buang Siak pun menyurug Raja
Alam itu lari undur. Seketika lagi suruhan Yang DiPertuan Muda pun
datang pula menyuruh undur. Maka Raja Alam pun undurlah dengan tiga buah
perahu lalu belayar ke Matan. Maka dipelihara oleh Raja Matan dengan
secukupnya.
Syahadan adapun Yang DiPertuan Muda apabila Raja Alam
telah undurlah, maka Yang DiPertuan Muda pun bermohonlah kepada paduka
ayahanda baginda hendak balik ke Riau. Bermula adalah Yang DiPertuan
Muda berangkat balik keRiau pada sanat 1163 (tahun 1750). Kemudian
Sultan Sulaiman pun berangkat balik ke Riau dengan selamatnya, tetaplah
didalam Riau berhimpun dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu serta
suku suku Melayu adanya.
Sebermula adapun Raja Buang Siak pada
ketika ia hendak balik dari Siantan ke Siak itu, maka dirampasnya lah
segala pekakas Raja Alam itu, apa lagi segala meriam lela rentakanya
habislah semuanya dibawanya balik ke Siak. Maka tetaplah ia di negeri
Siak adanya”.
(bersambung ke bahagian ke lima belas...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment