Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, December 5, 2015

13. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke tiga belas...



Pada 7 Julai 1740 (bersamaan 13 Rabiul Akhir 1153 Hijrah), baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pun keluar belayar ke Ungaran (dekat Pulau Kundur), manakala Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak telah pun berangkat lebih awal lagi iaitu tidak lama setelah selesai perkahwinan puteri baginda Sultan Sulaiman yang bernama Raja Bulang dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu, (Tengku Dalam) anak Sultan Zainul Abidin Syah di Riau pada tahun 1739 (1152 Hijrah), untuk memeriksa segala laut laut disebelah barat. Yang DiPertuan Muda kemudiannya telah pergi ke Muar setelah mendapat khabar bahawa Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak serta mertuanya Daeng Matekkuh yang lari dari Siak akibat kalah perang saudara disana, telah pergi ke Muar. Apabila Sultan Sulaiman mendengar bahawa Yang DiPertuan Muda telah pergi ke Muar maka baginda pun berangkat ke Muar.

Apabila Yang DiPertuan Muda tiba di Muar, dilihatnya seolah olah Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak serta mertuanya hendak memerintah Muar, lalu disuruhnya mereka keluar dari Muar. Apabila Sultan Sulaiman tiba, baginda pun berbicaralah menyuruh Sultan Mahmud yang merupakan anakanda saudara baginda itu untuk keluar, tapi belum juga mahu ia bergerak. Maka murkalah Yang DiPertuan Muda dan menyuruh mengisi meriam dan bertitah, “Rapat bedil”, lalu rapatlah panglima panglima angkatan perang Riau dan dibedilnya angkatan perang Sultan Mahmud Yang Dipertuan Siak. Maka Sultan Mahmud pun keluar lah dari Muar dan tertinggallah beberapa pucuk meriam lalu diambil oleh orang orang Riau.

Setelah itu Yang DiPertuan Muda dan Sultan Sulaiman pun baliklah keRiau. Tidak berapa lama setelah itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun membawa isterinya Tengku Puan Mandak melawat Selangor dan telah diberikan sambutan istemewa oleh Yang Dipertuan Selangor. Setelah beberapa hari lamanya di Selangor, Yang DiPertuan Muda dan isterinya pun baliklah ke Riau.

Tidak berapa lama kemudian, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pergi lagi ke Selangor dan telah berkahwin dengan Daeng Ma’asik anak seorang Raja Bugis bernama Arung Pala, dan kemudiannya membawa isterinya itu balik ke Riau.

Pada 7 September 1740 (bersamaan 16 Jumadil Akhir 1153 Hijrah), Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pergi lagi ke Selangor. Apabila sampai di Selangor, terjadilah perselisihan dengan negeri Perak di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13) kerana Sultan Perak berkeras tidak mahu berdamai dengan adinda nya iaitu Yang DiPertuan Muda Perak. Oleh kerana itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun memimpin angkatan perangnya dan orang orang Bugis Selangor untuk pergi membantu Yang DiPertuan Muda Perak yang bersemayam di Pulau Tiga (di tepi Sungai Perak).

Setibanya di Perak, maka berperanglah angkatan perang Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak serta orang orang Bugis Selangor dengan angkatan perang Sultan Perak. Berbedil bedilan dengan meriam dan senapang terakul serta pemburasnya. Lalu dirapati oleh orang orang Bugis akan kubu kubu Sultan Perak itu dan dapatlah dua tiga buah kubu sehari itu. Kemudian nya pergi menyerang pula kubu kubu lain dengan merapatkan segala kelengkapan perangnya lalu membedil kubu kubu itu, sementara sebahagian lagi orang orang Bugis datang menyerang menerusi jalan darat. Tidak lama kemudian dapatlah orang orang Bugis mengambil alih semua kubu kubu itu dan kalah lah angkatan perang Sultan Perak itu.

Apabila telah selesai perang itu, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak serta orang orang besar Perak pun menabalkan Yang DiPertuan Muda Perak menjadi Sultan Perak bergelar Sultan Muhammad Shah. Kemudian nya di adakan perjanjian setia diantara Sultan Perak yang baru ini dengan Yang DiPertuan Selangor. Menurut riwayatnya, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak tinggal agak lama juga di Perak.
Setelah itu barulah balik semula ke Selangor dan dari Selangor, setelah dijemput oleh anak anak Raja dari Riau barulah Yang DiPertuan Muda balik ke Riau pada tahun 1743. Apabila sampai di Riau, Yang DiPertuan Muda lalulah mengadap Sultan Sulaiman dan menceritakan mengenai hal menang perang nya di Perak. Setelah itu tetaplah Yang DiPertuan Muda di Riau.


Pada masa itu keadaan di Riau telah bertambah ramai dan makmur serta perniagaannya pun bertambah maju. Banyaklah pedagang pedagang yang datang dan ada yang dari negeri yang jauh jauh pun datanglah berniaga di Riau. Kapal kapal dari Bengal datang membawa opium dan lain dagangan, serta kapal kapal dari Tanah Jawa, Siam, Cina dan dari tanah Bugis (Sulawesi) juga datang di Kuala Riau dan didalam Sungai Riau. Pada masa itu jugalah, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak menyuruh Penggawa Tarum dan Penghulu Chedun mengambil benih gambir di Sumatera untuk dibawa ke Riau dan mulai menanam gambir. Setelah itu ramailah orang orang Bugis dan Melayu membuka beratus ratus ladang gambir di Riau. Jadi ramailah kuli kuli dari negeri Cina yang dibawa masuk untuk bekerja di ladang ladang gambir tersebut. Apabila telah menjadi gambir gambir tersebut, makin ramailah orang datang ke Riau membeli dan berniaga gambir. Maka baginda Sultan Sulaiman, Yang DiPertuan Muda serta Raja Indera Bungsu serta orang orang besar Riau sekelian banyaklah beroleh pendapatan hasil cukai cukai perniagaan dan kapal kapal serta perahu perahu dagang yang datang berlabuh. Jadi bertambah ramailah orang orang Riau yang kaya kaya. Orang Orang alim Arab pun ramailah yang datang ke Riau mengajar ajaran Agama Islam di masjid masjid. Kelengkapan perang dan kubu kubu pertahanan di Riau pun di perkuatkan lagi.

Sekitar dua tahun kemudian, dengan takdir Allah, Yang DiPertuan Muda pun jatuh sakit. Ada riwayat mengatakan bahawa enam hari sebelum mangkatnya Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak, Tun Dalam, Yang DiPertuan Terengganu yang merupakan menantu Sultan Sulaiman telah datang ke Riau, waktu itu umurnya sekitar dua puluh tahun. Ada yang mengsyaki bahawa kemangkatan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak disebabkan kena racun, iaitu hasil daripada rancangan Tun Dalam. Tetapi itu Cuma syak wasangka sahaja kerana melihatkan telatah Tun Dalam yang tidak sukakan orang orang Bugis memegang kekuasaan yang berlebihan di Riau itu, tapi tiadalah ditemui sebarang bukti.


Kemangkatan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan kata sahibul hikayat pada sanat 1158 (tahun 1745), tahun alif, maka geringlah Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak. Maka tiada berapa lamanya gering itu lalulah mangkat, iaitu pada tujuh belas Rabiul Akhir (18 Mei 1745). Maka gemparlah didalam negeri Riau serta dukacitalah isi negeri apa lagi Sultan Sulaiman tersangatlah besar percintaannya. Sementelah nya pula memandangkan paduka anakanda kedua itu, iaitu Tengku Putih dan Tengku Hitam, makin hancurlah hatinya.

Syahadan Sultan Sulaiman pun mengkuburkan lah sebagaimana adat istiadat Raja besar besar mangkat. Maka berkabunglah orang orang Riau empat puluh hari, betapa adat istiadat Raja yang besar besar mangkat.

Sebermula kata sahibul hikayat, adapun Sultan Sulaiman apabila sudah hilang paduka adinda baginda itu, maka kesusahanlah hendak mencari ganti seperti yang didalam sumpah setia antara Bugis dengan Melayu. Maka tiada lain yang patut gantinya melainkan Daeng Kembuja dan sungguh pun ada putera adinda itu Raja Haji belum juga patut kerana mudanya. Dan ada seorang putera paduka adinda baginda itu Raja Lumu, maka iaitu puteranya pada pihak negeri Selangor, melainkan Daeng Kembuja juga kerana ia lebih tua, serta kesukaan muafakat segala Bugis Bugis. Maka tetaplah kepada Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda. Maka bermohonlah Daeng Kembuja hendak ke Selangor dahulu kerana hendak muafakat dengan paduka adinda Yang DiPertuan Selangor (Raja Lumu) putera Marhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak. (Raja Lumu telah pun diangkat oleh orang orang besar Selangor menjadi Yang DiPertuan Selangor). Maka dilepaskan lah oleh Sultan Sulaiman, maka Daeng Kembuja berlayarlah ke Selangor bersama sama paduka adindanya Raja Sa’id, putera Opu Daeng Merewah Kelana jaya Putera. Maka apabila tiba di Selangor, muafakatlah ia dengan paduka adinda sekelian serta segala Bugis Bugis yang di Selangor hingga setahun lamanya. (Menurut setengah riwayat: dimasa Daeng Kembuja di Selangor, ia telah diangkat oleh orang orang Bugis di Selangor menjadi Yang DiPertuan Muda Riau).

Syahadan kemudian daripada itu maka Sultan Sulaiman pun berangkat ke Muar, sanat 1159 (tahun 1746). Adalah yang mengiringnya Raja Kecik Terengganu. Kemudian balik ke Riau.

Syahadan berangkat baginda itu ke Siak (pergi menziarahi adinda baginda yang mangkat di Siak iaitu Tengku Kamariah, Raja Perempuan Siak). Masa baginda itu balik dari Siak inilah, Raja Buang Sultan Mahmud Siak minta ampun pada baginda (kerana berlaku nya perang di Muar dahulu) serta menyerahkan dirinya. Maka di ampuni oleh baginda serta bermaaf maafan dengan Raja Raja peranakan Bugis”. Pada waktu Daeng Kembuja pun telah balik ke Riau apabila telah selesai bermuafakat di Selangor.


Pada bulan Mei tahun 1746 itu juga, Sultan Sulaiman bersama sama putera baginda Raja Abdul Jalil (Raja di Baroh) telah pergi ke Melaka lalu membuat perjanjian dan memperbaharui persahabatan dan perniagaan antara Kerajaan Johor- Pahang- Riau- Lingga dengan orang orang Belanda. Berkenaan dengan negeri Siak, baginda menyerahkan kepada pertimbangan Gabenor-Jenderal Kompeni Belanda di Betawi menentukannya.

Pada 17 Januari tahun 1748 barulah Sultan Sulaiman melantik Daeng Kembuja menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Raja Haji dilantik menjadi penolong kepada Yang DiPertuan Muda bergelar Engku Kelana. Tidak lama setelah itu, pada 31 Januari, isteri almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak yang bernama Tengku Mandak pun mangkat dan di makamkan di sebelah makam suami nya.

Tidak lama kemudian, Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja pun berangkatlah ke Selangor dan membawa paduka adinda Raja Haji bersamanya. Apabila tiba di Selangor, lalu di kahwinkan lah Raja Haji dengan Raja Aisyah puteri almarhum Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah Kelana Jaya Putera, menurut adat Raja Raja bernikah kahwin. Maka tetaplah Raja Haji suami isteri itu di Selangor. Tidak berapa lama setelah itu, Raja Aisyah pun mangkat. Raja Haji kemudiannya beristeri pula dengan anak Raja Amran yang bernama Engku Sejuk. Setelah itu Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja dan Raja Haji pun baliklah dan bersemayam di Riau.

(bersambung ke bahagian ke empat belas...)

Friday, December 4, 2015

12. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua belas...



Perang saudara di Siak telah tercetus pada sekitar tahun 1740an iaitu beberapa tahun kemudian setelah serangan terakhir Siak keatas Riau yang dapat dikalahkan oleh angkatan perang Riau. Pada masa itu angkatan perang Siak di pimpinan oleh Raja Alam serta Daeng Matekko dan Raja Emas.

Sekembalinya ke Siak, Raja Alam pun mengadap ayahandanya Raja Kecik memaklumkan keadaannya yang mengalami banyak kerugian menyerang Riau. Apabila Raja Kecik mendengar sembah paduka anakanda nya itu, maka ia pun termenunglah tiada berkata apa apa serta putus asa lah ia hendak menyerang Riau lagi.

Tidak lama setelah itu Raja Kecik pun berubah akalnya menjadi tiada tentu lagi untuk memerintah kerajaannya, lalu diserahkan nya kepada anakanda nya Raja Alam untuk memerintah negeri Siak dan di gelarnya Raja Alam itu sebagai Yang DiPertuan Muda. Manakala anakandanya yang seorang lagi iaitu Tengku Mahmud belum lagi diberi apa apa gelar. Dari situlah punca nya hingga tercetus perang saudara di Siak diantara kedua putera Raja Kecik, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan didalam hal itu antara anak anaknya itu selalu berbantah beratas atasan. Maka kata Raja Alam, “Aku yang tua dan aku yang patut menjadi Raja”, dan kata Tengku Mahmud, “Aku yang terlebih patut menjadi Raja kerana aku anak yang gahara”. Maka didalam hal itu mangkin sehari mangkin bertambah kharabatah (rosak binasa). Maka orang orang Siak itu pun ada yang setengah kepada Raja Alam dan setengah kepada Tengku Mahmud menjadi bergaduhlah setengah atas setengahnya. Maka huru haralah segala isi negeri apa lagi orang orang miskin kesusahanlah hendak mencari kehidupannya, sebab negeri gaduh, masing masing asyik dengan memelihara kampong halamannya dan rumahtangganya dan anak isterinya, takut dicabuli oleh juak Raja Raja itu, kerana kedua pihak itu seolah olah seperti sudah sama sama risau.

Syahadan didalam hal itu, maka bertambah tambahlah keduanya mengikutkan hawa nafsunya. Maka lalulah jadi bersebelahan antara kedua pihak, maka lalulah berperang di dalam negeri beramuk amukan dan berbunuh bunuhan. Maka huru haralah negeri Siak. Kemudian masing masing anak Raja itu mengambil tempat berkukuh. Adalah Tengku Mahmud di dalam Kota Besar dan Raja Alam di dalam Kota Tuan Besar, maka berperang tiap tiap hari. Syahadan adapun Tengku Mahmud itu banyak juga Bugis sebelah dia, sebab ia berbinikan anak Daeng Matekkuh serta mendapat anak laki laki seperti Raja Ismail sudahlah besar dan beberapa lagi anaknya. Adapun Raja Alam sudah juga menaruh beberapa anak laki laki pula, yang tuanya bernama Raja Muhammad Ali dan yang lain lainnya, istimewa pula ia sudah berbinikan anak Opu Daeng Parani di Siantan, iaitu Daeng Khadijah.

Syahadan huru haralah negeri Siak kerana anak Raja dua orang itu berperang di dalam negeri bersebelahan. Maka kesusahanlah segala orang besar besarnya lalulah mereka itu mengadap Raja Kecik. Maka Raja Kecik pun di dalam hal itu sudah berubah akalnya. Maka apabila orang besar besarnya itu menyembahkan, “Paduka anakanda kedua berperang”, maka jawab Raja Kecik, “Barangsiapa yang menang itulah anakku”. Maka segala orang besar besar pun hairan. Maka apabila bunyi berbedil bedil, maka bertanya Raja Kecik katanya, “Itu bedil apa”? Maka sembah orangnya, “Paduka anakanda berperang dengan orang Riau, Tuanku”. Maka ia pun tertawa.

Syahadan didalam hal itu, maka isterinya Tengku kamariah pun geringlah sangat, maka lalu mangkat dikuburkan oranglah. Maka Raja Kecik pun selalu gila sekali, lalu ia tidur di kubur isterinya itu. Maka ditunggu sajalah oleh orang tuanya adanya.


Syahadan adapun Raja Alam berperang dengan Tengku Mahmud berperang mangkin sehari mangkin ramailah segala orang besar besar sebelah Tengku Mahmud itu. Maka dengan takdir Allah taala alahlah Raja Alam lalu undur membawa dirinya ke Batu Bahara mencari kuasa. Kemudian mengembaralah ia lalu ke Palembang, mendapatlah ia sedikit harta, maka ke Deli pula ia. Maka banyaklah orang Deli mengikut perintahnya serta takut akan dia. Maka tetap lah ia didalam Deli bersiapkan alat peperangan dan kelengkapan perangnya.


Sebermula adapun Raja Kecik apabila Raja Alam sudah keluar dari Siak maka Raja Kecik pun mangkatlah. Syahadan menggantikan lah kerajaannya itu puteranya Sultan Mahmud memerintahkan negeri Siak. Syahadan didalam tiada beberapa lamanya maka datanglah Raja Alam melanggar Siak diamuknya. Maka berperanglah beramuk amuk beberapa hari. Maka tewas pula Sultan Mahmud itu lalu undur ke Pulau Lawan. Maka lalu ia membuat perahu sepanjang jalan itu bersama sama mertuanya Daeng Matekkuh. Kemudian mengembaralah ia kesana kemari mencari kuasa demikianlah halnya. Sebermula adapun Raja Raja Alam apabila sudah dapat Siak itu olehnya, maka ia pun melantik anaknya Raja Muhammad Ali menjadi Yang DiPertuan Muda. Maka tetaplah ia memerintah Siak itu”.

(bersambung ke bahagian ke tiga belas...)

11. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sebelas...



Pada tahun 1735, sewaktu Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak memeriksa teluk rantau sebelah Johor dan Singapura serta Ungar, Buru, Karimun dan Perbatinan Enam Suku, Sultan Sulaiman mendapat khabar daripada orang orang Rantau bahawa Raja Kecik Yang DiPertuan Siak telah mempersiakkan kira kira enam puluh buah penjajab yang tahan meriam besar hendak pergi menyerang Riau. Maka Sultan Sulaiman pun terkejutlah sebab bercanggah dengan cakapnya sewaktu duhulu datang dengan Daeng Matekko di Riau. Sultan Sulaiman pun menyuruh memberitahu Yang DiPertuan Muda untuk segera balik ke Riau.

Apabila Yang DiPertuan Muda telah sampai di Riau, maka diaturnya lah segala penjajabnya itu dari Tanjung Pinang hingga Senggarang. Ada kira kira tiga hari barulah nampak segala kelengkapan perang Raja Kecik menyeberang dari Selat Tiong dan beratur dekat Pulau Penyengat kerana tidak dapat hendak masuk ke dalam Riau sebab sudah di tunggu oleh kelengkapan perang Riau. Ketika itu banyaklah perahu perahu dagang berhimpun didalam Sungai Riau dan ramailah orang orang Riau berkumpul diatas bukit Tanjung Pinang hendak melihat orang berperang, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Syahadan ada kira kira tujuh hari belum juga Raja Kecik melanggar kerana ia lagi musyawarah dengan menteri menterinya kerana masa itu negeri Riau sudah kukuh serta orang pun dengan ramainya serta makmur. Maka didalam hal itu Yang DiPertuan Muda pun menyuruh melanggar ke Penyengat, iaitu pada tujuh haribulan Safar (27haribulan Jun), waktu tengahari. Maka berperanglah antara keduanya berbedil bedilan dengan meriam dan lela rentaka, iaitu pada hari Arbaa. Maka banyaklah binasa kelengkapan Raja Kecik itu, kerana alat kelengkapan Riau banyak besar meriamnya dan pendayungnya orang rakyat dan pertikamannya Bugis. Adapun Raja Kecik, pendayungnya orang orang rantau dan pertikamannya Minangkabau darat. Maka banyaklah ganggunya pada pekerjaan perang dilaut. Sementelahnya pula Bugis Bugis merapati dengan sampan sampan dengan terakul dan pemburasnya. Maka binasalah orang orangnya serta beberapa panglimanya mati sehari perang itu. Maka pada malamnya itu Raja Kecik pun pecahlah perangnya, bertaburan kesana kemari membawa dirinya, sebab hari malam. Maka Raja Kecik pun larilah belayar sebuah sendiri bercerai berai dengan segala perahu perahunya yang banyak, masing masing membawa haluannya, ada yang ke Lobam dan ke Selat Tiong. Maka pada siang harinya hilanglah segala kelengkapan Raja Kecik itu, lepaslah selalu balik ke Siak dengan kerugian dan kerosakannya adanya.

Syahadan maka Sultan Sulaiman serta Yang DiPertuan Muda pun turunlah ke kenaikan masing masing mengikut Raja Kecik itu. Apabila sampai ke Ungaran, maka Raja Kecik pun sudah lepaslah ke dalam Siak. Maka baginda Sultan Sulaiman pun berangkat ke Pahang lalu ke Terengganu, iaitu pada dua puluh haribulan Rabiul Akhir sanat 1148 (7 haribulan September 1735). Apabila sampai di Pahang, lalu membuat dewal (dinding atau tembok keliling) makam Marhum Sultan Abdul Jalil Mangkat di Kuala Pahang. Kemudian baginda pun ke Terengganu. Maka tiada berapa antaranya datanglah Encik Hitam, orang Tembelan, mendapat khabar Raja Kecik akan ke Terengganu. Setelah baginda mendengar khabar itu, maka menyuruhlah ia membuat kubu di Kuala Terenggani itu. Syahadan didalam hal itu maka Raja Indera Bungsu serta Daeng Kembuja putera Opu Daeng Parani pun datanglah dari Riau disuruh Yang DiPertuan Muda itu menyilakan Sultan Sulaiman balik ke Riau, iaitu pada selekur haribulan Jamadul Akhir, sanat 1149 (25 haribulan Oktober 1736). Maka apabila tiba baginda itu ke Riau duduklah baginda itu bersama sama Yang DiPertuan Muda meramaikan negeri Riau serta mengukuhkan dia.

Syahadan kemudian daripada itu maka datanglah Haji Rembau membawa khabar mengatakan Raja Kecik kembali dari Siantan. Kemudian Panglima Bungsu pun datang dari Ungaran, membawa khabar bukannya Raja Kecik hendak melanggar Riau, hanyalah anaknya saja konon. Syahadan titah Yang DiPertuan Muda, “Apalah kita gaduhkan, biarlah dia datang yang dia laki laki yang kita laki laki juga, dan laki laki dia pun sudah kita tahu”. Maka baginda dan Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah pergi bermain main ke Pengujan pergi membayar kaul nazar di Pengujan, iaitu pada dua puluh Muharram, sanat 1150 (20 haribulan Mei 1737).
Kemudian datanglah Encik Asar memaklumkan hal Raja Alam anak Raja Kecik datang ada di Kuala Riau, ada enam puluh dua kelengkapan. Maka baginda serta Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah masuk ke Riau. Maka lalulah Yang DiPertuan Muda menyuruh periksa Raja Alam itu hendak baikkah atau hendak jahat? Maka tiada satu jawabnya. Maka Yang DiPertuan Muda pun sangatlah murkanya, lalu disuruhnya dua orang panglimanya, titahnya,”Pergi langgar si Alam itu, bongkak benar! Mengapa bapanya tidak datang?”. Maka kedua panglima itu pun pergilah serta dengan marah rupanya itu.

Maka apabila sampai ke Tanjung Sebadam lalu berperang dengan segala kelengkapan Siak itu berbedil bedilan dengan meriam. Seketika berperang itu turunlah rebut selatan maka perahu Panglima Bungsu dan perahu Encik Kalang terdamparlah ke darat. Maka dikerumunilah oleh orang Siak perahu itu. Maka kedua panglima itupun berlepas dirinya dengan sampan, mudik ke hulu menghadap Yang DiPertuan Muda. Adapun orang orang Siak merampaslah perahu kedua panglima itu segala senjata senjatanya dan perkakasnya, mana mana orang yang tertinggal itu beramuk amuklah bermati matian. Kemudian Raja Alam pun berdayunglah mudik hendak mengambil Batangan.

Syahadan adapun kedua panglima itupun diberi oleh Yang DiPertuan Muda dua buah gurub yang besar serta beberaja penjajab lalulah hilir. Apabila sampai ke Sungai Payung lalu berperang dengan berbedil bedilan dengan meriam dan lela rentaka serta dirapati oleh Bugis dengan sampan sampannya. Adapun anak Raja Raja Bugis seperti Daeng Kembuja (anak Opu Daeng Parani) dan Raja Said dan Raja La Mampak Unuk (kedua duanya anak Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah) adalah menjaga kubu di Kota Ranting serta dekat kelengkapan Siak. Lalu dibedilnya dengan beberapa meriam dan lela dengan peluru tunggal. Maka banyaklah binasa orang Siak. Maka Raja Alam pun undur ke Kampung Bulang, lalu dirampasnya sebuah wangkang (perahu besar) perdagangan serta sampan kotak dan sebuah selub (kapal bertiang satu) orang Semarang. Maka wangkang itu diperbuatnya kota berjalan dirantainya dilaut Kampung Bulang.

Syahadan Yang DiPertuan Muda menyuruh Datuk Mata Mata menyuruh mudikkan segala perahu perahu itu ke hulu berkumpul. Maka mudiklah segala perahu perahu itu berlapis lapis berpuluh buah. Kemudian maka disuruh Yang DiPertuan Muda segala penjajabnya itu berperang semula melanggar Kampung Bulang itu. Maka Raja Alam pun undurlah ke Sungai Tarum lalu ia mudik membuat kubu. Maka Yang DiPertuan Muda pun murkalah lalu ia sendiri menarik narik jalur jalur dan sampan sampan penjajab dari Simpang Kiri. Maka teruslah penjajab ke Sungai Tarum. Maka lalu Yang DiPertuan Muda serta Punggawa melanggar kubunya dan perahu perahunya yang ada di situ. Maka lalu beramuk amukan, maka jadilah besar perang hari itu. Maka dengan takdir Allah taala menolong orang Riau pada ketika itu, seorang pun tiada mati apa lagi luka.

Syahadan tewaslah Raja Alam lalu lari ke Tanjung Sebadam. Maka dapatlah kota wangkang itu serta selub Semarang itu dan beberapa meriam dan lela lela yang dapat. Syahadan perang itu sampai malam. Kemudian apabila subuh subuh Arbaa pada 17 haribulan Rabiul Akhir, sanat 1150 (13 haribulan Ogos 1737). Maka Yang DiPertuan Muda pun melanggar Tanjung Sebadam itu. Maka Raja Alam serta Daeng Matekko dan Raja Emas berterjunlah ke perahu masing masing lalu undur lari ke Kuala Riau. Maka bersoraklah orang orang Riau sebab menang itu.

Syahadan pada delepan belas bulan tersebut itu, pada malam, maka Raja Alam pun larilah. Maka banyaklah kelengkapannya tertinggal apa lagi sampan sampannya. Maka Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda pun mudiklah ke hulu lalu berjamu jamu segala menteri hulubalangnya sekelian serta diberinya persalinan mana mana yang sepatut baginda. Syahadan kemudian daripada itu Yang DiPertuan Muda pun menggelar Tun Abdullah menjadi Raja Tua. Maka duduklah baginda serta Yang DiPertuan Muda serta Raja Indera Bungsu serta Raja Tua bersuka sukaan.

Kemudian daripada itu maka baginda Sultan Sulaiman serta Yang DiPertuan Muda menikahkan putera baginda yang perempuan bernama Raja Bulang dengan Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu, anak Sultan Zainul Abidin Syah betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin, iaitu pada Hijrah sanat 1152 (tahun 1739). Maka berkasihan lah kedua laki isteri. Syahadan pada empat belas haribulan Muharram hari Khamis, maka matilah Raja Tua Tun Abdullah kembali ke negeri yang kekal adanya.

(bersambung ke bahagian ke dua belas...)

10. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sepuluh...



Pada akhir tahun 1728, setelah selesai membantu peperangan di Mempawah, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun balik lah ke Riau. Apabila Sultan Sulaiman mendengar khabar yang paduka adindanya itu sudah tiba di Kuala Riau, lalu di suruhlah orang besar besarnya serta Raja Indera Bungsu pergi menyambut Yang DiPertuan Muda. Kemudiannya naiklah mengadap Sultan Sulaiman dan bercerita lah mengenai menang perang di Mempawah. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun naiklah ke istananya lalu disambutlah oleh isterinya, di bedak serta dilangir (mandi dan cuci rambut) betapa adat istiadat isteri Raja besar besar dengan suaminya. Kemudiannya tetap lah Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak di dalam Riau bersama putera puteri nya yang sedang membesar iaitu Tengku Putih, Tengku Hitam dan Raja Haji serta saudaranya.

Pada tahun 1730, seorang bangsawan Bugis yang bernama Daeng Matekko (disebut juga sebagai Daeng Matkah) yang berbaik dengan Raja Kecik Siak, telah membuat kekacauan di Selangor. Lalu Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun membawa angkatan perangnya dari Riau ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daeng Matekko disana. Akhirnya Daeng Matekko pun kalah lalu lari semula balik ke Siak kepada Raja Kecik.

Setelah selesai perang di Selangor, Yang DiPertuan Muda pun baliklah ke Riau. Pada tahun 1731, Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pun beristerikan Raja Bakal. Dalam pada tahun itu juga, Raja Kecik telah datang ke Riau membawa Daeng Matekko minta ampun kepada Yang DiPertuan Muda serta memohonkan isterinya kembali. Lalu dimaafkan kesalahannya oleh Yang DiPertuan Muda. Adapun berkenaan isteri Daeng Matekko itu tidaklah di benarkan oleh Raja Tua untuk mengambilnya kerana belum percaya akan perkataannya itu sebab bersama sama dia dengan Raja Kecik. Setelah itu baliklah kedua duanya ke Siak.


Pada 7 haribulan March tahun 1733, Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu yang pertama telah mangkat di Terengganu, maka digantikan oleh Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda akan anakandanya yang bernama Raja Mansur, timan timangannya Tun Dalam, menjadi Sultan Terengganu yang ke dua bergelar Sultan Mansur. Pada masa itu Sultan Mansur masih kecil, lalu disebut orang Yang DiPertuan Kecik dan sebab itulah pemerintahan negeri Terengganu di pegang oleh Bendahara Tun Husain, kekanda Sultan Sulaiman.

Pada awal bulan Mei tahun 1733, Raja Tua Daeng Menampok telah mangkat di Riau. Maka dukacitalah Yang DiPertuan Muda sebab kehilangan orang yang diharapkan menjadi kakitangannya. Setahun kemudian setelah itu, Sultan Sulaiman telah pergi ke Siantan dan Yang DiPertuan Muda pula pergi ke Selangor. Apabila setelah kedua dua paduka baginda balik ke Riau, lalu Yang DiPertuan Muda pun pergi pula memeriksa laut laut di Ungaran dan Durai.


Pada tahun 1735, apabila Yang DiPertuan Muda balik ke Riau, dengan takdir Allah taala Datuk Bendahara Tun Abbas pun gila, meracau racau tiada tentu lagi perkataannya. Maka di ubat oleh baginda tiada juga sembuh. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah memeriksa teluk rantau sebelah Johor dengan beberapa kelengkapan perangnya. Kemudian singgahlah Yang DiPertuan Muda di Tanjung Uban mengambil apilan (papan tebal yang digunakan seperti perisai pada meriam didalam kapal)dahulu sebelum berangkat memeriksa Johor dan Singapura. Setelah itu, barulah berpatah balik memeriksa Ungar, Buru, Karimun dan Perbatinan Enam Suku. Adalah yang pergi bersama sama Yang DiPertuan Muda ialah Raja Indera Bungsu yang merupakan saudara baginda juga.

Datuk Bendahara Tun Abbas kemudiannya telah mangkat di Bulang (pada tahun 1736), dan meninggalkan putera putera nya yang bernama Tun Hassan, Tun Abdul Majid dan Tun Abdul Jamal. Sultan Sulaiman kemudiannya telah melantik Tun Hassan menjadi Bendahara di Riau. Lama setelah itu, dua lagi putera almarhum Datuk Bendahara Tun Abbas kemudiannya nanti di lantik menjadi Bendahara Pahang iaitu Tun Abdul Majid (tahun 1770), dan Tun Abdul Jamal itu dijadikan Temenggung. Temenggung Tun Abdul Jamal itulah, kemudiannya beristerikan Raja Maimunah anak kepada Opu Daeng Parani, mempunyai anak Daeng Kecil dan Engku Muda Muhammad (Bulang).

(bersambung ke bahagian ke sebelas...)

9. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sembilan...



Pada pertengahan tahun 1728 masihi apabila Riau sudah aman dari peperangan dan serangan daripada Raja Kecik Yang DiPertuan Siak, Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah telah bermuafakat untuk memeriksa kerosakan dan kemusnahan di seluruh daerah takluk kerajaan Johor dan Riau serta seluruh daerah takluknya yang telah dipulangkan oleh Raja Kecik, tatkala ia bersumpah di dalam masjid dahulu. Setelah habis bermesyuarat, maka Yang DiPertuan Muda pun bersiap lah dengan beberapa kelengkapan perang yang akan dibawa berangkat bersama.

Sedang dalam bersiap siap ini, datanglah Indra Guru La Maluk dari Mempawah mempersembahkan surat meminta bantuan daripada Pangeran Emas Seri Negara Opu Daeng Menambun dan Pengeran Mangkubumi Sambas Opu Deang Kemasi yang sedang berperang di Pinang Sekayuk (dekat Mempawah). Setelah Yang DiPertuan Muda dan Opu Daeng Cellak membaca surat itu, lalu bermesyuaratlah kedua nya dan memutuskan bahawa Opu Daeng Cellak lah yang akan pergi membantu perang di Mempawah nanti setelah Yang DiPertuan Muda pulang daripada memeriksa teluk rantau sebelah Pulau Perca (Sumatera), seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-


“Syahadan apabila selesailah musyawarahnya itu maka Yang DiPertuan Muda pun belayarlah ke Tapukan memeriksa segala jajahan itu, serta mengaturkan tempat tempat itu. Maka dengan takdir Allah Taala, Yang DiPertuan Muda pun geringlah sangat, maka lalulah dibawa oleh orang besar besarnya segera ke Riau berlayar dengan dayungnya. Maka apabila sampai ke Pulau Pitung, maka Yang DiPertuan Muda pun mangkatlah kembali ke Rahmat Allah Taala. Maka apabila tiba di Riau gemparlah didalam Riau mengatakan Yang DiPertuan Muda sudah mangkat. Maka Sultan Sulaiman dan Opu Daeng Cellak pun berangkat menyambut jenazah Yang DiPertuan Muda itu dengan dukacitanya. Maka lalulah dikuburkan nya di Sungai Baru (pada 7hb Ogos tahun 1728). Maka berkabunglah orang orang Riau sekeliannya.

Syahadan apabila sudah selesai daripada pekerjaan kematian itu maka baginda Sultan Sulaiman pun melantik Opu Daeng Cellak menjadi Yang DiPertuan Muda Riau dan Johor dan Pahang, dengan segala takluk daerahnya sekelian, bergelar Sultan Alauddin Syah. Syahadan apabila selesailah serta tetap Opu Daeng Cellak menjadi Yang DiPertuan Muda, maka bermohonlah ia kepada Sultan Sulaiman hendak pergi ke Mempawah. Maka dibenarkan oleh Sultan Sulaiman serta disuruhnya bawa penjajab dua puluh buah. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Tak usahlah membawa kelengkapan banyak banyak, kerana negeri kita sunyi patik khawatir barangkali datang pergaduhan didalam negeri ini. Seperkara lagi, yang patik ini pergi membantu saja sampai ke sana saudara saudara patik yang disana sudah cukup, sebab dua buah negeri sudah diperintahnya, iaitu Mempawah dengan Sambas”. Maka pada ketika saat yang baik maka Yang DiPertuan Muda pun berangkatlah ke Mempawah, dengan tujuh buah penjajab, delapan buah dengan perahu Indra Guru La Maluk. Maka tiada beberapa hari Yang DiPertuan Muda pun sampailah ke sebelah tanah Pulau Kalimantan adanya.


Alkisah tersebutlah perkataan Raja Landak, bermula adalah Raja landak itu bernama Ratu Bagus. Maka apabila ia mendengar Raja Pinang Sekayuk berperang dengan Raja Sebukit didalam Mempawah, maka ia pun bersegeralah pergi dengan Raden Othman berjalan darat serta dibawanya segala orang Islam Landak, dengan Dayak Cugi mengiring dia. Maka sampailah ia ke Pinang Sekayuk, lalu berjumpa dengan Pangeran DiPati Pinang Sekayuk. Maka berkhabarlah ia kepada Pangeran DiPati kedatangan ia berdua ini kerana hendak mendamaikan Pangeran DiPati dengan Pengeran Emas Seri Negara itu kerana apalah faedah berkelahi berbantah, kerana sudah seperti anak buah sanak saudara. Maka jawab Pangeran DiPati, “Yang saya tiada apa apa mana mana sahaja yang baik kepada Ratu Bagus, kerana pekerjaan saya ini sekali sekali bukan perbuatan saya, tetapi adalah pekerjaan anak saya, dengan tiada usul periksanya dan tiada sabar. Beberapa kali sudah saya larang tiada juga diindahkan nya sampai masanya inilah jadinya, tidak pada dengan dia seorang, isi negeri dan orang ramai yang menanggung susahnya”.


Setelah Ratu Bagus mendengar khabar Pangeran DiPati itu maka jawabnya, “Jika begitu, biarlah saya pergi kepada Pengeran Emas Seri Negara itu”. Maka pergilah Ratu Bagus mendapatkan Pengeran Emas Seri Negara. Apabila berjumpa maka bertanyalah ia, “Apalah mulanya jadi berbantah dengan sanak saudara dan anak buah ini?” Maka diceritakan oleh Pengeran Emas Seri Negara itu dari awalnya hingga akhirnya. Maka Ratu Bagus pun berkhabar pula, “Ada pun anakanda datang berdua dengan Raden Othman ini jika boleh dipohonkan jangan berkelahi biar berdamai kerana bukan orang lain”. Maka jawab Pengeran Emas Seri Negara, “Kehendak anakanda itu sebenar benarnya, akan tetapi ayahanda sudah terlalu member surat ke Riau kepada Yang DiPertuan Muda Riau memanggil ia kemari, kerana perang inilah. Fikiran ayahanda apa apa pun hendak berbuat biarlah nanti dia datang dahulu”.

Syahadan didalam hal itu suruhan dari Sebukit pun datang mengatakan Yang DiPertuan Muda Riau sudah datang dengan tujuh buah penjajab. Setelah Pengeran Emas Seri Negara mendengar khabar suruhan itu, maka ia pun berkata kepada Ratu Bagus, “Ayahanda hendak hilirlah sebentar dan apa apa keputusannya adalah saya memberitahu”. Maka jawab Ratu Bagus, “Jikalau begitu anakanda mengiringlah juga kerana hendak berkenal kenalan dengan Yang DiPertuan Muda Riau”. Maka jawab Pengeran Emas Seri Negara, “Baiklah”. Maka keduanya pun hilirlah diwakilkan perang itu kepada Pengeran Mangkubumi.

Maka keduanya pun berkayuhlah menyambut Yang DiPertuan Muda Riau di Sebukit serta tiba lalulah naik ke perahu Yang DiPertuan Muda Riau serta berjumpa keduanya, lalu bertangis tangisan. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertanya, “Ini Raja mana?”. Maka jawab Pengeran Emas, “Inilah Raja Landak”. Maka Ratu Bagus pun segeralah datang mencium lutut Yang DiPertuan Muda. Maka disambut Yang DiPertuan Muda dengan hormatnya. Maka berkhabarlah ia akan Yang DiPertuan Muda Kelana Jaya Putera mangkat dan Opu Daeng Parani mangkat juga berperang di Kedah. Setelah Pengeran Emas mendengar khabar itu menangislah yang amat sangat seperti hancurlah hatinya, kerana kehilangan kedua saudaranya itu, akan tetapi apa boleh buat, dengan takdir Allah Taala. Maka Ratu Bagus pun turut juga menangis kerana kasihan melihat kedua dua Raja itu.

Syahadan apabila selesailah daripada bertangis tangisan itu, maka Pengeran Emas Seri Negara pun membawa Yang DiPertuan Muda naik kedarat, masuk kedalam kota berjamu jamu makan minum. Didalam hal itu berkatalah Pengeran Emas kepada Yang DiPertuan Muda akan kehendak Ratu Bagus hendak mendamaikan dia itu. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Dari pihak berdamai adinda mohonlah tangguh dahulu, sebab kita telah berperang didaluluinya. Jikalau belum berperang sekalipun apabila adinda datang ini, patut juga dibunyikan meriam walau sepucuk sekalipun, supaya jangan takabbur amat ia atas kekanda, seperti kekanda tiada menaruh saudara yang jauh diperbuatnya”. Setelah Pengeran Emas mendengar cakap adinda baginda itu maka katanya, “Benarlah seperti kata adikku itu”. Maka Ratu Bagus pun membenarkan juga. Setelah itu baliklah masing masing ke rumah nya. Adapun Yang DiPertuan Muda dibawa oleh Pengeran Emas berjumpa dengan isterinya Ratu Agung Sinuhun. Setelah itu Yang DiPertuan Muda pun turun ke perahunya.

Syahadan adapun Ratu Bagus setelah ia sampai ketempatnya, iaitu di rumah Tuan Imam Sebukit, maka ia pun menyuruh Tuan Imam itu memaklumkan kepada Pengeran Emas Seri Negara hendak minta perhamba baginda, memohonkan puteri baginda yang tuanya yang bernama Utin Dewaman. Apabila hasil maksudnya relalah ia menjadi hamba kebawah duli baginda Pengeran Emas Seri Negara. Maka Tuan Imam pun mengadaplah Pengeran Emas memaklumkan hal itu.

Kemudian maka Pengeran Emas Seri Negara pun berkhabarlah akan maksud Ratu Bagus itu, diserahkan nya kepada Yang DiPertuan Muda mana mana saja yang baiknya. Maka Yang DiPertuan Muda pun naiklah ke istana mendapatkan Ratu Agung Sinuhun mengkhabarkan maksud Ratu Bagus itu. Maka Ratu Agung Sinuhun pun berkata, “Mana mana sajalah baik kepada adinda kekanda menurutlah”. Setelah Yang DiPertuan Muda mendengar perkataan Ratu Agung Sinuhun itu maka ia pun berkata pula, “Baik kita terima juga, kerana sudah patut dengan kupunya, lagipun ia menyerahkan dirinya kepada kita seperti benang putih”. Maka Yang DiPertuan Muda menyuruh Tuan Imam balik mengkhabarkan maksud Ratu Bagus itu telah diterima. Maka Ratu Bagus pun terlalulah sukanya.

Syahadan apabila telah putuslah bicaranya itu, pada ketika saat yang baik maka nikahlah Ratu Bagus itu dengan Utin Dewaman betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin. Syahadan setelah selesai pekerjaan kahwin itu maka Ratu Bagus pun digelar oleh Yang DiPertuan Muda, Panglima Perang dan Yang DiPertuan Muda menjadi Panglima Besar pada perang ini.

Syahadan mudiklah segala Raja Raja itu pergi melanggar Pinang Sekayuk. Maka apabila tiba di Kuala Melansam, maka berjumpalah Yang DiPertuan Muda dengan adinda baginda Pengeran Mangkubumi. Maka berpeluk berciumlah bertangis tangisan dua saudara itu sebab terkenangkan saudaranya yang dua orang itu, iaitu Opu Daeng Parani dan Opu Kelana Jaya Putera sudah mangkat itu. Maka datanglah anak anak Pengeran Eman Seri Negara itu menyembah lututnya paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Riau. Maka ia pun bertanya, “Anak muda ini, anak siapa?”. Maka jawab Pengeran Eman Seri Negara pun berkata, “Semuanya anakku”. Maka Yang DiPertuan Muda pun terlalu sukanya melihat anak muda muda itu baik belaka sikapnya serta boleh diharap di dalam peperangan. Syahadan apabila selesailah daripada berjumpa jumpaan itu, maka segala Raja Raja itu pun muafakatlah akan memulai semula perang.

Syahadan adapun Pengeran Dipati serta anaknya Raden Jaga itu apabila ia dapat khabar Yang DiPertuan Muda Riau telah datang datang itu dan Ratu Bagus pun telah menjadi menantu Pengeran Emas, maka ia pun meminta musyawarah kepada segala menteri menterinya. Maka jawab mereka itu, “Adapun yang patik apa titah saja, akan tetapi pada perasaan patik tentulah kita alah, kerana empat buah negeri yang kita lawan. Ini pekerjaan paduka anakanda dengan buta tuli, tiada dengan musyawarah dengan orang tua tua, inilah jadinya”.

Setelah Pengeran Dipati mendengar sembah segala menteri menterinya itu, ia pun terdiam sejurus sebab sesak ia memikirkan nya, pulang pulangnya disesalkan pada Pak Senti itu juga. Maka duduklah Pengeran Dipati itu mencari jalan kelepasan lari adanya. Maka Raden Jaga pun berkerahlah menyuruh orang orangnya sedia menahan langgar orang orang Sebukit itu dan Dayak pun dikumpulkan beribu beribu serta mengeluarkan beberapa belanja belanja kepada Dayak itu, siang malam dengan berjaga hingga susahlah didalam negeri Pinang Sekayuk itu. Maka mana mana orang yang menaruh anak bini dan harta benda berkemaslah ia, kerana negeri akan rosak pada sangkanya adanya.

Sebermula adapun Pengeran Emas Seri Negara, apabila putuslah muafakatnya maka lalu ia menyuruh Indera Gurunya dan Panglimanya melanggar kubu yang bertentangan dengan dia itu. Maka dilanggarlah oleh Bugis Bugis lalu berperang dirapati oleh Bugis kubu kubu itu dibedilnya dengan senapang dan pemburasnya. Maka orang yang didalam kubu kubu itu pun larilah. Maka didatangi oleh Bugis Bugis pada kubu Raden Jaga itu. Maka berperang sebentar serta mati orangnya dua tiga orang maka yang lain pun larilah pula.

Kemudian didatangkan nya pula pada satu kubu lagi, berkancing pintunya. Maka ditumbukkan oleh Bugis. Maka pintu itu pun roboh. Maka orang orangnya pun berterjunlah maka larilah ia ke Pinang Sekayuk. Maka diikuti oleh Bugis Bugis serta orang orang Sebukit serta Raja Rajanya hingga sampai ke perdalaman Pengeran Dipati itu, lalulah masuk dilihatnya sudah kosong tiada orangnyalagi tinggal, barang barangnya saja. Maka baginda baginda itupun berhentilah di Pinang Sekayuk itu muafakat.

Adapun orang orang Pinang Sekayuk yang lari lari itu ada yang berjalan darat, ada yang bersampan dan Pengeran Dipati serta Raja Raja pun mudiklah di hilir ke Kuala Sumpak Tambaong Bangsal. Kira kira dua hari Bugis Bugis pun datang pula melanggar disitu, lalu berperang ramai pula dengan orang orang Melayu, maka bertahanlah disitu. Kemudian lari pula dengan anak isterinya berjalan ke Pihar dan dari Pihar ke Sirai dan dari Sirai ke Mateloa lalu ke Sengat turun ke Tayan, lalu ke Meliau membuat tempat disitu. Maka tiada diikut oleh Bugis lagi. Maka segala orang orang Pinang Sekayuk pun bertaburanlah, ada yang tinggal di Pinang Sekayuk dan ada yang tinggal di Tambaong. Maka alahlah Pengeran Dipati itu adanya.

Adapun Pengeran Emas Seri Negara serta segala Raja Raja itu bermusyawarah lah ia hendak membetulkan segala Dayak Dayak yang takluk Pinang Sekayuk yang tiada dipulangkan oleh Pengeran Dipati kepada anak Panembahan Sanggau yang bernama Emas Indera Wati, ibu Puteri Kesumba kerana waktu Panembahan Sanggau mangkat, segala pekakas Kerajaan dan lain lainnya semuanya dipulangkan oleh Pengeran Dipati kepada Emas Indera Wati itu. Hanyalah segala pemerintahan Dayak juga yang tiada hendak dipulangkannya. Syahadan pada masa perang inilah baharu Dayak Dayak itu pulang kepada pemerintahan Mempawah, sebab Dayak Dayak itu baharu tahu akan Emas Indera Wati itu anak Panembahan Sanggau. Adalah banyak negeri negeri Dayak itu tiga puluh buah negeri itulah yang dibicarakan oleh Raja Raja itu. Syahadan berhimpunlah segala kepala kepala Dayak itu mengadap Pengeran Emas Seri Negara lalu bersumpah setia yang ia tiada ingkar sekali daripada perintah Mempawah.


Maka apabila sudah selesailah daripada membetulkan Dayak itu, maka segala Raja Raja itu pun hilirlah ke Sebukit. Maka apabila sampai ke Sebukit duduklah bersuka sukaan. Maka ada kira kira tujuh hari, maka Yang DiPertuan Muda pun mohonlah hendak balik ke Riau dan Pengeran Mangkubumi pun demikian juga. Maka belayarlah Yang DiPertuan Muda balik ke Riau dan Pengeran Mangkubumi pun belayarlah juga balik ke Sambas. Maka Pengeran Emas Seri Negara pun menghantarlah laki isteri hingga sampai ke kuala. Adapun Yang DiPertuan Muda pun belayarlah menuju negeri Riau dan Pengeran Mangkubumi pun belayarlah menuju negeri Sambas semula”.

(bersambung ke bahagian ke sepuluh...)