Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Tuesday, December 29, 2015
16. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke enam belas...
Peperangan dengan Belanda di Melaka
Pada sekitar tahun 1752, Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja dan Raja Haji yang telah berundur dari Linggi ke Rembau akibat kalah didalam serengan mengejut yang dilakukan oleh angkatan perang Belanda dari Melaka, telah menyiapkan angkatan perang mereka bersama sama dengan Penghulu Rembau bagi melancarkan serangan balas kepada pehak Belanda di Melaka kerana telah menyerang Linggi tanpa sebarang sebab.
Dalam pada bersiap siap itu, datang lah Raja Alam dari Batu Bahara ke Rembau setelah mendendapat khabar mengenai iparnya, Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja itu. Raja Alam ini telah berkahwin dengan adinda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja iaitu Raja Khadijah, dan berputerikan Raja Badariah. Kemudiannya Raja Badariah ini bersuamikan Saiyid Uthman Ash-Shahab, dan berputerakan Saiyid Ali yang kemudiannya menjadi Sultan Siak ke tujuh dari keturunan Arab.
Kedatangan Raja Alam ke Rembau untuk bertemu dengan iparnya, Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja, di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka apabila berjumpa Raja Alam itu dengan Yang DiPertuan Muda, maka Yang DiPertuan Muda pun berkahbar hal dirinya, difitnahkan oleh Raja Kecik Terengganu , sampai huru haralah negeri Riau hingga sampai ke Melaka dan Linggi benihnya daripadanya. Maka kata Raja Alam, “Waktu abang dilanggar oleh Holanda itu, Tun Dalam nya adakah naik ke darat sama sama Holanda?’ Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Tiada ia naik, beberapa kali disuruh oleh Raja Haji teriakkan suruh naik, jangan kan ia naik, disahutnya pun tidak”. Maka Raja Alam pun tertawa seraya katanya, “Di Siantan begitu juga, beberapa kali saya ajak bertikam ke darat mendiamkan dirinya juga ia. Jikalau begitu orang yang mulut tajam, hendak membinasakan orang dengan mulutnya. Itulah alamat senjata laki lakinya tumpul”. Maka Yang DiPertuan Muda pun tersenyum.
Syahadan apabila sudah selesai daripada berkhabar khabar itu maka Raja Alam pun balik ke Batu Bahara, mengumpulkan orang orang disana dibawanya membantu Yang DiPertuan Muda itu. Maka muafakatlah Yang DiPertuan Muda itu dengan segala penghulu penghulu Rembau serta bersumpah setia dengan segala Bugis Bugis yang didalam Linggi itu. Maka ada kira kira lima belas hari lalulah berjalan melanggar Melaka. Maka pada hari itu juga melanggar Tengkera maka berperang disitu beramuk amukkan. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun membuat kubu di Kelebang, maka disitu Yang DiPertuan Muda bersemayam. Maka Raja Rembau pun membuat pula kubu satu, menjadi dualah kubu yang besarnya dan segala Bugis pun berkubu juga.
Syahadan setelah mustaid kubu kubu itu maka Yang DiPertuan Muda pun melanggar Peringgit, maka Peringgit pun alahlah. Maka selalu melanggar Bukit Cina, maka tiga kali langgar Bukit Cina pun alah juga. Kemudian Semabuk pula dilanggarnya, lalu ke Teluk Ketapang. Maka Yang DiPertuan Muda balik semula ke Kelebang. Maka tiada berapa lamanya, Raja Sa’id datang dari Selangor membawa petikaman dari Selangor, beberapa ratus Bugis. Kemudian Raja Alam pun datang membawa segala petikaman beberapa ratus. Lalu Raja Alam berbuat kubu besar satu.
Kemudian tiada berapa antaranya, maka datanglah suruhan dari Rembau mengatakan anak Raja Muda yang bernama Raja Linggi mangkat. Setelah Yang DiPertuan Muda mendengar sembah suruhan itu, maka berangkatlah ia ke Rembau. Adalah yang diwakilkannya perang itu, iaitu Raja Sa’id serta Raja Alam. Kemudian datanglah langgar dari Melaka terlalu banyak serdadunya, sebab bantunya sudah datang dari Betawi, iaitu ada enam bangsa yang datang itu. Pertama serdadu Holanda serta Nasrani, kedua serdadu Bali, ketiga serdadu Jawa, keempat serdadu Bugis, kelima Cina, keenam Melayu. Maka rapatlah segala serdadu itu, mengepung kubu tiga buah itu. Maka lalu beramuk amukan bunyi senapang pemburasnya pun tiada berputusan. Maka dengan tolong Allah Subhanahu Wataala tiada juga alah. Maka banyaklah mati serdadu hari itu. Adapun pakaian serdadu yang mati mati itu seperti cepiau cepiau (topi) dan kasut kasut itu pun bertimbun timbun. Kemudian berhenti perang.
Kemudian Yang DiPertuan Muda pun menyuruh melanggar Peringgit semula. Maka berperanglah beramuk amukkan. Maka Peringgit pun alah. Maka berhentilah berperang berbicara damai semula. Maka Yang DiPertuan Muda pun meminta kesalahannya kepada Holanda. Apa sebab dilanggar ia di Linggi dengan serkap, dengan tiada ditentukan sebabnya?. Maka Holanda pun memberi surat peringatan segala perkataan Raja Kecik disuruh Sultan Sulaiman kepada Gebernur Melaka itu. Maka apabila Yang DiPertuan Muda melihat surat itu, maka Yang DiPertuan Muda pun memberi jawab kepada Holanda, “Adalah yang disuruh Sultan Sulaiman itu mengambil kita, Tun Dalam beserta saudara kita Raja Haji ini. Mana mana dia perkataan Raja Haji?. Cubalah Gebernur periksa ke Riau kepada Sultan Sulaiman, benarkah seperti perkataan Tun Dalam itu, atau tidak?”.
Syahadan apabila Gebernur mendengar jawab Yang DiPertuan Muda itu, maka ia pun muafakatlah dengan segala orang besar besarnya pada pekerjaan yang lalu itu. Maka Holanda pun mengajak berdamai. Maka lalu berdamai. Maka perang ini ada kira kira sembilan bulan. Maka Holanda pun mengajak berbuat perjanjian antara Yang DiPertuan Muda serta Bugis Bugis Riau dan Selangor dan Linggi dan Langat pun, supaya senang orang berniaga mencari kehidupan. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertangguh minta periksakan Sultan Sulaiman dahulu, serta ia hendak balik dahulu ke Linggi. Maka dibenarkan Holanda. Maka baliklah Yang DiPertuan Muda ke Linggi bersama sama Raja Rembau, dan Raja Alam balik ke Batu Bahara, dan Raja Sa’id pun baliklah ke Selangor.
Syahadan kembali pula kepada kesah yang dahulu. Adapun Raja Kecik Terengganu apabila Linggi sudah alah, maka ia pun ke Riau lah memaklumkan kepada Sultan Sulaiman bahawa Raja Muda bertangguh di belakang ia mengadap. Kemudian baharulah ia membuat satu perkara yang keruh dengan hendak membawa isterinya pindah ke Terengganu beserta segala orang orang Riau. Dan Peranakan Bugis yang ada di Riau sudahlah rupa rupa hendak dinyahkan nya. Maka mengambil hatilah Raja Aminah dan Raja Halimah, maka lalu pindah ke Retih. Adapun Raja Kecik berperi perilah ia menurunkan anak isterinya ke perahu dan Sultan Sulaiman pun disilakannya juga ke Terengganu, kerana hendak mohon berkat dari ke bawah duli baginda. Maka baginda pun masuk juga menerima maksudnya Raja Kecik itu, lalu menyiapkan perahu serta segala harta pun turun ke kenaikan. Adalah Raja Abdul Jalil, laki isteri tiada mau turun, titahnya, “Tiada mau menurut honar Tun Dalam itu”.
Syahadan Sultan Sulaiman selalu selalu juga bertanya, “Bila Raja Muda datang?”. Maka sembah Raja Kecik, “Didalam bulan ini jua datangnya. Akan tetapi meski pun ke bawah duli berangkat ke Terengganu, tentu Raja Muda mendapatkan ke bawah duli juga di Terengganu”. Maka baginda pun diam. Syahadan Raja Kecik pun berkerahlah menyuruh perahu perahunya mana yang sudah berisi orang orang Riau dan barang barang itu, disuruhnya ilir ke kuala, berlabuh dilaut laut sekadar menantikan baginda saja turun, yang lain semua sudah turun.
Syahadan kata sahibul hikayat, datanglah orang dari Melaka berdagang menyembahkan kepada baginda mengatakan Linggi sudah alah dilanggar Holanda dengan permintaan baginda dari Riau. Setelah baginda mendengar khabar orang itu maka baginda pun terkejut serta berhamburan air matanya, lalu memanggil Raja Kecik. Maka Raja Kecik Terengganu pun datang. Maka belum sempat duduk, maka baginda pun berdiri dihadapannya sambil menghempaskan bulang hulunya serta bertitah, “Cis! Sampai nya hati Tun Dalam! Lain yang aku suruh, lain yang diperbuat. Inilah orang yang tiada harus diperbuat sanak saudara, terlalu khianatnya”. Maka Raja Kecik Yang DiPertuan Terengganu melihat baginda sangat murka itu, maka ia pun segeralah turun ke perahu kenaikan baginda itu hendak didayungkan nya ke ilir. Maka gemparlah didalam istana itu mengatakan baginda murka akan Tun Dalam.
Maka khabar itu sampailah kepada Raja Abdul Jalil Raja DiBaruh. Maka ia pun terkejutlah serta bangkitlah marahnya, maka ia pun menghunus keris panjangnya lalu berlari ke pengkalan sambil berkata, “Tiada balasnya Tun Dalam itu melainkan tuntung kerisku inilah”. Maka gemparlah didalam kota mengatakan Raja DiBaruh hendak bertikam dengan Yang DiPertuan Terengganu. Maka Bendahara pun berlarilah mendapatkan Raja DiBaruh itu dan segala juak juak dan segala orang tua tua menerkamlah ke kenaikkan baginda itu. Adapun Raja DiBaruh apabila sampai ke kenaikan itu titahnya, “Hai, Wan Dalam! Hendak didayungkan kemana perahu bapa tiri engkau itu? Marilah kita bertikam, suka aku buraikan perutnya, baharu nya puas hatiku!
Maka Datuk Bendahara memberi isyarat kepada Yang DiPertuan Terengganu, maka Yang DiPertuan Terengganu pun turun dari belakang perahu itu lalu lari ilir. Maka tiadalah jadi orang orang Riau ke Terengganu, akan tetapi mana mana perahu yang sudah lepas ke laut terbawalah oleh Raja Kecik itu ke Terengganu, banyak juga anak Raja Raja yang terbawa.
Syahadan pada hari itu gempar benarlah didalam Riau seperti huru hara mahsyar dunia umpamanya, kerana ada yang bercerai dengan ibu bapanya, ada yang bercerai dengan sanak saudaranya, ada yang bercerai dengan anak isterinya. Maka bertangis tangislah setengah atas setengahnya, riuh rendah, huru hara.
Syahadan kata sahibul hikayat, maka tiada berapa antaranya maka datanglah satu orang besar Melaka disuruh Gebernur menyilakan Sultan Sulaiman ke Melaka, hendak berbicara pada pekerjaan yang telah lalu perbuatan Raja Kecik Terengganu. Maka berangkatlah Sultan Sulaiman ke Melaka. Maka apabila tiba baginda pun menyuruh ke Selangor menjemput paduka anakanda Yang DiPertuan Selangor serta orang besar besarnya. Maka segala orang orang itu pun datanglah ke Melaka. Maka bermusyawarah pada pekerjaan yang telah lalu itu semata mata khianat dan fitnah, sesal pun tiadalah memberi faedah.
Syahadan kemudian baharulah berjumpa dengan Gebernur Melaka itu di Bunga Raya nama tempatnya. Maka berbicara didalam gedung itu. Maka Gebernur Melaka pun mengkhabarkan perkataan Raja Kecik serta menunjukkan daftar wang belanja melanggar Linggi. Adapun banyaknya tujuh laksa, tiga ribu, empat ratus lima puluh tujuh (73,457) ringgit. Maka jawab baginda, “Adapun pekerjaan itu sekali bukan dengan suruhan kita. Yang kita suruhkan lain yang diperbuatnya. Maka tiada kita sanggup membayarnya”. Maka jawab Gebernur, “Seperti titah Tuan Sultan itu sebenarnya, akan tetapi Tuan Sultan boleh fikir sedikit, Tuan Sultan satu Raja, orang membuat pekerjaan palsu didalam negeri Riau Tuan Sultan tiada tahu, apa lagi saya. Lagi pula Yang DiPertuan Terengganu itu satu Raja, lagi jadi menantu Tuan Sultan, jikalau kita tidak percaya bukankah Tuan Sultan jadi malu kepada Raja Raja yang lain lain? Seolah olah Tuan Sultan mengambil menantu orang jahat. Seperkara lagi, kita sudah bersahabat mana mana yang kepercayaan Tuan Sultan mesti saya percaya. Adapun hukumannya atas Tuan Sultan punya sanak saudara yang saya tiada boleh masuk campur, dan jikalau Tuan Sultan minta tolong, saya tolong. Maka inilah saya berkhabar terus”. Syahadan setelah Sultan Sulaiman mendengar perkataan Gebernur Melaka itu, maka baginda pun terdiam sejurus. Kemudian titahnya, “Baiklah nanti barang apa pun biarlah saya mau berjumpa juga dengan Raja Terengganu”. Syahadan apabila selesai berbicara itu, maka baginda pun berangkatlah ke Riau serta bertitah kepada segala orang besar besar Selangor, “Yang kita balik ini, di belakang menyuruh mengambil Raja Muda adanya”.
(bersambung ke bahagian ke tujuh belas...)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment