Makam Sultan Abdul Jalil di Kuala Pahang |
Dalam pada itu, Sultan Abdul Jalil serta bendaharanya dan paduka anakanda baginda, Raja Sulaiman duduklah didalam dukacita, kesusahan serta diperhina hinakan oleh Raja Kecik dengan menyatakan bahawa nanti hendak dilantiknya Sultan Abdul jalil menjadi Bendahara semula. Makin hari makin marahlah putera puteri Sultan Abdul jalil terhadap Raja Kecik. Selain itu Raja Kecik juga menjadikan putera putera Sultan Abdul jalil sebagai pembawa semberab jawatan (kelengkapan sirih DiRaja) pada hari majlis majlis besar, jadi bertambah tambah lah marah putera puteri Sultan Abdul jalil terhadap Raja Kecik. Jadi apabila putera puteri Sultan Abdul jalil mendapat tahu bahawa Raja2 Bugis lima bersaudara ada di Johor, maka mereka pun memutuskan ingin meminta bantuan daripada Raja2 Bugis lima bersaudara seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Lalu bermuafakatlah Raja Sulaiman dengan Tengku Tengah berdua saudara hendak mendudukkannya dengan Raja2 Bugis mudah mudahan dapat jalan menghapuskan malunya itu. Maka Relalah Tengku Tengah itu menjadi isteri Opu itu. Maka lalu di dijemputlah Opu Opu itu makan. Kemudian Tengku Tengah pun berdiri di pintu selasar membuka bidai, melepak subang ditelinganya, sambil ia berkata, “Hai Raja Bugis, jikalau tuan hamba berani, tutupkan kemaluan beta anak beranak adik beradik! Maka apabila tertutup kemaluan beta semua, maka relalah beta menjadi hamba Raja Bugis. Jika hendak disuruh jadi penanak nasi raja sekalipun rela lah beta”. Maka apabila Opu Daeng Parani mendengar kata Tengku Tengah itu maka ia pun menjawab seraya berkata, “Insya Allah, seboleh bolehnya hambalah menutup kemaluan Tengku semua anak beranak adik beradik”. Kemudian barulah berjanji Raja Sulaiman dengan Opu Opu itu jika hasil maksudnya yang Opu Opu lima beradik, salah seoranglah menjadi Yang DiPertuan Muda turun menurun. Setelah selesai berjanji janji itu maka mengadaplah ia kepada ayahandanya mengkhabarkan hal ehwal maksudnya itu. Maka dibenarkan oleh ayahandanya ikhtiar anakandanya itu. Maka lalu dinikahkan saudaranya Tengku Tengah itu dengan Opu Daeng Parani betapa adat istiadat Raja Raja nikah kahwin. Maka berkasih kasihlah Tengku Tengah itu betapa adat orang laki isteri demikianlah halnya.
Maka Raja Kecik pun waswaslah hatinya menaruh cemburu akan Bugis Bugis itu selama lama Bugis itu didalam negeri Johor. Syahadan adapun Opu Daeng Parani apabila sudah ia beristeri itu, maka ia pun bermohonlah kepada Sultan Abdul Jalil hendak pergi ke Siantan dahulu hendak melihat anak anaknya sebentar. Maka apabila ada satu kesusahan berilah sahaja ia surat, datanglah ia. Maka diizinkan oleh Sultan Abdul Jalil, maka ia pun keluarlah dari Johor lalu ia belayar ke Siantan, tetaplah ia di Siantan bersiap siap akan alat kelengkapan peperangannya. Ada kira kira tujuh buah perahu yang besar besar yang tahan meriam, serta beberapa pula ia mengumpul segala Bugis serta mengaturkan juak juaknya (pembantu pembantunya) dan kepala juak juaknya dan punggawanya (panglima perangnya) dan indera gurunya (ketua pasukan perangnya) adanya”.
Pada tahun 1719, setelah Raja2 Bugis lima bersaudara itu meninggalkan Johor, negeri Johor pun menjadi huru hara, kerana rakyat Johor ada yang menyebelahi Raja Kecik dan ada yang menyebelahi bekas Sultan Abdul Jalil itu. Jadi seolah olah kerajaan Johor itu mempunyai dua Raja. Dalam pada itu, telah heboh pula khabar khabar dari pehak yang tidak bersetuju dengan Raja Kecik dengan mengatakan bahawa Raja Kecik itu bukan lah putera Marhum Mangkat diJulang (Sultan Mahmud Syah II), melainkan tipu helah sahaja. Apabila berita itu sampai kepada Raja Kecik, ia pun marahlah tetapi tidaklah ia mengambil apa apa tindakan, hinggakan isterinya, Tengku Kamariah pun menjadi benci dan tidak lagi memperdulikan sangat akan Raja Kecik dari hal makan minumnya.
Tengku Tengah kemudiannya telah pergi ke istana Raja Kecik dan diambilnya Tengku Kamariah itu serta dibawa keistana ayahandanya sewaktu Raja Kecik sedang sembahyang. Raja Kecik kemudiannya menyuruh orang orangnya mengambil isterinya, tapi tidak diberi oleh Tengku Tengah dan terjadilah perkelahian. Raja kecik pun menghantar pasukan perang untuk menyerang istana Sultan Abdul Jalil di Seluyut, maka terjadi peperangan semula diantara orang orang Minangkabau dengan orang orang Johor. Tidak lama berperang, kalah juga pehak Sultan Abdul Jalil, lalu baginda serta anak isteri, keluarga dan pengikut pengikut berundur ke Terengganu. Sementara ada pula sesetengah anak anak Raja Johor itu berpindah ke Melaka. Semasa diTerengganu, Sultan Abdul Jalil telah menganugerahkan gelar kepada saudara seayah baginda yang bernama Tun Zainal Abidin dengan gelaran Paduka Maharaja. Setelah sekitar dua tahun berada di Terengganu, Sultan Abdul Jalil pun berpindah ke Pahang dan menitahkan saudara baginda, Paduka Maharaja Tun Zainal serta anakandanya Tun Hussain untuk menjaga negeri Terengganu. Sultan Abdul Jalil pun membuat negeri di Kuala Pahang dan telah mengangkat adinda baginda bernama Tun Abdul Jamal menjadi Bendahara menggantikan Bendahara Tun Abdullah yang telah mangkat itu. Kemudian datanglah Raja Indera Bongsu dari Melaka membawa anak anak Raja Johor untuk berpindah ke Kuala Pahang.
Dalam pada itu, setelah Sultan Abdul Jalil keluar dari negeri Johor, Raja Kecik pun bertitah kepada segala menteri menterinya seraya berkata, “Ini negeri celaka, baik kita pindah ke Riau”. Lalu berpindahlah Raja Kecik berserta menteri menteri dan pengikut pengikutnya ke Riau dan membuat istana berbunga lawangkan emas (dihiasi dengan bunga pala emas). Raja Kecik pun memerintah Kerajaan Johor dari istananya di Riau keatas segala rakyat yang di laut laut dan didaratan yang pada itu ada yang setia kepadanya dan setengah lagi setia kepada Sultan Abdul Jalil yang berada diPahang.
Apabila Raja Kecik mendapat khabar mengenai Sultan Abdul Jalil membuat negeri di Kuala Pahang, lalu ia pun memerintahkan angkatan perang nya untuk mempersilakan Sultan Abdul Jalil untuk berpindah keRiau dan jika tidak mahu, disuruhnya lawan berperang. Kesahnya di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka pergilah segala angkatan itu kepalanya Laksamana Nakhoda Sekam. Apabila tiba di Kuala Pahang dipersembahkannyalah seperti titah Raja Kecik itu, maka tiadalah rela Sultan Abdul jalil. Maka lalu berperang. Maka melanggarlah Laksamana Nakhoda Sekam akan Kuala Pahang. Maka tiada berapa hari maka Kuala Pahang pun alah, akan tetapi Sultan Abdul jalil tiada berani Laksamana itu mengapa apakan. Maka pergilah Laksamana Nakhoda Sekam itu mengadap Sultan Abdul jalil sembahnya, “Ampun Tuanku, baiklah silakan ke Riau kerana pesan paduka anakanda silakan ayah ke Riau. Maka pada kira kira patik baik juga berangkat ke Riau kerana antara tuanku dengan paduka anakanda itu tiada siapa yang boleh memasuki. Boleh patik kosongkan dua buah gurab (sebuah kapal dagang Melayu berukuran 90 meter dengan anak kapal seramai 30 orang) akan kenaikan ke bawah duli Tuanku putera berputera”. Maka jawab Sultan Abdul jalil, “Jikalau sudah fikiran Laksamana kita ke Riau, maka ke Riaulah kita”. Maka turunlah Sultan Abdul jalil itu ke gurab yang besarnya itu serta dengan paduka anakanda anakanda sekelian. Adalah puteranya yang laki laki dua orang, pertama Raja Sulaiman, kedua Raja Abdul Rahman. Adapun yang perempuannya Pertama Tengku Tengah, kedua Tengku kamariah, kerana terbawa oleh Sultan Abdul jalil tatkala keluar daripada Johor dahulu itu, ketiga Tengku Mandak. Adapun putera Marhum Mangkat di Kayu Anak seorang laki laki dan tujuh orang perempuan. Maka berkemaslah baginda itu akan belayar ke Riau dan sebuah gurab lagi pula tempat Tun Narawangsa, putera baginda itu juga. Maka bermuatlah pula Tun Narawangsa itu.
Syahadan kata sahibul hikayat didalam hal antara itu datanglah pula seorang suruhan Raja Kecik, bernama si Emas Raden, membawa surat kepada Laksamana Nakhoda Sekam. Maka tersebut didalam surat itu. “Janganlah Sultan Abdul jalil dibawa ke Riau lagi, bunuhlah sekali, kita tahu matinya sahaja”. Syahadan apabila Laksamana Nakhoda Sekam mendengar surat daripada Raja Kecik itu, maka ia pun terdiamlah sejurus berfikir kerana asalnya titah tidak begitu, sekarang demikian pula, jadi hairanlah ia, hendak pun tiada diturut takut pula dapat salah kerana surat titah itu dengan capnya sekali. Maka apabila telah habis fikirannya maka lalulah ia menyuruh empat orang panglima berbaju rantai serta dengan beberapa orang pergi mengamuk kanaikan baginda itu.
Maka pada waktu Minangkabau mengamuk itu baginda lagi di tikar sembahyangnya, baharu lepas sembahyang Subuh tengah membaca wirid. Maka panglima Minangkabau itupun naiklah, pada sangka juak juak baginda itu panglima sengaja hendak mengadap baginda, maka tiadalah dihiraukannya. Maka seketika lagi ia pun naik lalu diparangnya hulu baginda. Maka baginda pun terkejut lalu disambar baginda pedang panglima itu, maka dapatlah pada tangan baginda. Maka mengamuklah baginda diparangnya panglima panglima itu. Syahadan tersebut didalam siarah Siak delapan orang panglima panglima itu mati dibunuh oleh baginda itu. Maka baginda pun rebah lalu mangkat.
Adapun Tengku Tengah apabila ia mendengar ayahandanya sudah hilang itu, maka keluarlah ia dengan satu halamang (sejenis pedang pendek yang lurus) ditetaknya pada Minangkabau yang tinggal tinggal itu. Maka menjeritlah Laksamana Nakhoda Sekam seraya katanya pada segala orang orang Minangkabau itu, “Jangan lawan anak raja raja perempuan itu, nanti engkau semua dibunuh oleh Raja Kecik dan dihambatnya rumahtangga engkau”. Maka apabila segala Minangkabau itu mendengar kata Laksamana Nakhoda Sekam itu, maka berterjunlah semuanya kedalam air. Maka raja raja perempuan yang didalam kurung gurab itu pun keluarlah memeluk Tengku Tengah itu, dibawanya masuk kedalam kurung itu dan demikian lagi Raja Sulaiman pun dipeluk oleh raja raja perempuan itu lalu dibawanya masuk kedalam kurung. Setelah itu maka datanglah Laksamana Nakhoda Sekam mengadap raja raja perempuan itu dengan air matanya, memohonkan dicuci mayat baginda itu akan dimakamkan. Maka lalu dimakamkannya di Kuala Pahang itu di Teluk Kandang namanya, masyurlah hingga sekarang ini, “Marhum Mangkat di Kuala Pahang” dipanggil orang.
Adapun Laksamana Nakhoda Sekam apabila sudah memakamkan marhum itu, maka lalulah belayar ke Riau membawa segala anak raja raja itu kepada Raja Kecik. Maka apabila tiba dipelabuhan Riau, maka turunlah Raja Kecik kegurab itu mengambil isterinya serta segala anak raja raja itu. Maka dibawanyalah naik kedarat serta dipeliharakannya dengan sepatutnya dan diberikannya istana. Maka duduklah segala anak raja raja itu dengan kemasygulan sehari hari kerana kematian baginda Sultan Abdul jalil Marhum itu”.
(bersambung ke bahagian keempat...)
No comments:
Post a Comment