Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, November 1, 2015

2. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian kedua...

Pemuras senjata Melayu dahulukala yang canggih


Sejak awal kurun ke 18, ada lima orang Raja Raja Bugis bersaudara, putera kepada Opu Daeng Rilaga yang berasal dari Kerajaan Luwu di Sulawesi, telah mengembara dengan perahu perahu besar angkatan perang mereka belayar ke merata rata tempat di bahagian barat Nusantara ini, terutama di laut laut di sekeliling Semenanjung Tanah Melayu dan di Kepulauan Riau. Raja Raja Bugis lima bersaudara itu bernama; Opu Daeng Parani, Opu Daeng Menambon, Opu Daeng Merewah, Opu Daeng Cellak dan Opu Daeng Kemasi. Pada masa itu Raja Raja Bugis tersebut telah pun menetap dan tinggal di Pulau Siantan dan saudara yang sulong iaitu Opu Daeng Parani telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Penghulu Pulau Siantan yang bernama Nakhoda Alang. Kemudiannya, isteri Opu Daeng Parani di Pulau Siantan itu telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Daeng Komboja, kerana mengambil sempena pengembaraan ayahnya ke negeri Kemboja. Kemudian dapat pula seorang anak perempuan bernama Daeng Khadijah.

Pada masa Sultan Abdul Jalil Ri'ayat Syah berKerajaan di negeri Johor itu juga, ada seorang Raja dari Hulu Pelembang yang bergelar Sultan Lembayang, telah berkelahi dengan saudaranya Sultan di negeri Pelembang, lalu Sultan Lembayang itu datang melawat ke negeri Johor. Bersama sama dalam rombongan itu Sultan itu, dibawanya juga seorang anak raja yang datang dari Minangkabau bernama Raja Beraleh atau disebut juga namanya Tuan Bujang yang telah menghambakan diri kepada Sultan Lembayang dijadikan tukang pembawa tempat sireh Sultan itu.

Kedatangan Sultan Lembayang itu telah diraikan dengan baik oleh Sultan Abdul Jalil. Sultan Lembayang telah meminang puteri Sultan Abdul Jalil hendak dijadikan isterinya, tetapi pinangan itu tiada diterima oleh Sultan Johor. Tidak lama setelah itu, Sultan Lembayang dengan rombongannya serta Raja Beraleh itu telah pergi ke Pulau Siantan dan telah beristeri disana. Setelah itu ia pun pergi ke Pulau Bangka, dan dengan pertolongan orang orang Belanda, Sultan Lembayang telah menyerang dan mengalahkan Pelembang serta menghalau saudaranya yang memerintah disitu.

Dengan kemenangan Sultan Pelembang yang baru itu, maka Raja Beraleh pun meminta izin untuk pergi ke Tanah Rawas di Hulu Pelembang, lalu beristeri dengan anak perempuan seorang orang besar disitu iaitu Dipati Batu Kucing. Daripada perkahwinan itulah Raja Beraleh dapat seorang anak lelaki bernama Raja Alam. Kemudian selepas membantu Raja Jambi dalam satu peperangan, Raja Beraleh pun kembali semula ke Pagar Ruyong di Minangkabau. Keluarga DiRaja Pagar Ruyong iaitu Yang DiPertuan Sakti dan Puteri Janilan kemudiannya kemudian memberikannya nama yang baru iaitu Yang DiPertuan Raja Kecik serta diberi alat Kerajaan serta cap kuasa yang membolehkan nya memerintah orang orang Minangkabau di persisiran Timur Sumatera.

Lela rentaka senjata Melayu dahulukala yang canggih
Sesudah mendapat kuasa dan kebesaran itu, Raja Kecik pun pergi lah ke Siak ke Bukit Batu, belum lagi dikeluarkannya kuasa dan nama serta cap daripada Yang DiPertuan Sakti. Raja Kecik pun mulalah berniaga jual beli telur ikan terubuk. Setelah itu menyambut pula modal orang dan melayarkan perahu orang bergelar Nakhoda Penangko, belayar pulang pergi berniaga ke Melaka. Setelah selesai daripada belayar itu barulah ia pergi ke Bengkalis. Disana baru lah Raja Kecik mengistiharkan namanya serta mengeluarkan kuasa dan capnya, lalu mengikutlah segala orang orang Minangkabau yang ada di Bengkalis. Setelah itu Raja Kecik pun pergi ke Batu Bara dan di perintah nya negeri Batu Bara. Maka mashurlah namanya sudah menjadi Raja serta dibuatnya kota dan parit serta melantik beberapa orang orang besarnya serta menteri dan hulubalang nya. Lalu Yang DiPertuan Raja Kecik pun pun mempersiapkan alat kelengkapan perangnya dengan beberapa perahu perangnya.

Pada sekitar tahun 1706, Sultan Abdul Jalil yang bersemayam di Pancor - Johor, telah melantik adinda baginda yang bernama Tun Mas Anum menjadi Bendahara Johor bergelar Bendahara Seri Maharaja. Dua tahun selepas itu, Sultan Abdul Jalil telah berpindah pula dari Pancor - Johor untuk bersemayam di Riau atas pujukan adinda baginda Yang DiPertuan Muda Tun Mahmud. Semasa menjalankan pemerintahan negeri Johor ini, Yang DiPertuan Muda Tun Mahmud ini dikatakan telah bertindak keras dan zalim kepada rakyatnya dengan tidak setahu kekandanya Sultan Sultan Abdul Jalil.

Setelah bersemayam sekitar lapan tahun lamanya, pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil telah berpindah semula untuk bersemayam di Pancor- Johor, kerana di Riau pada waktu itu selalu dikacau oleh orang orang Minangkabau, Bugis dan orang orang Patani. Pada tahun yang sama juga, adinda baginda Bendahara Tun Mas Anum telah mangkat, maka adinda baginda yang bernama Tun Abdullah pula dilantik menjadi Bendahara Johor bergelar Bendahara Paduka Raja. Manakala dua orang lagi adinda baginda dijadikan Temenggung dan Raja Indera Bongsu. Anak anak baginda yang perempuan ialah Tengku Tengah, Tengku Mandak dan Tengku Kamariah.

Semasa Yang DiPertuan Raja Kecik sedang mempersiapkan angkatan perangnya pada tahun 1717, ia telah berjumpa dengan Opu Daeng Parani dan saudara saudaranya nya di Bengkalis, lalu Raja Kecik pun mengajak Raja Raja Bugis Lima bersaudara itu membantunya menyerang dan mengambil negeri Johor dan berkata bahawa apabila Johor dapat di tangan nya nanti, Opu Daeng Parani akan di lantiknya menjadi Yang DiPertuan Muda. Raja Raja Bugis itu tiada bersetuju membantu Raja Kecik didalam menjalankan kemahuannya itu, tetapi mereka berdalih dengan memberitahu Raja Kecik; biarlah mereka pergi dahulu ke Langat (didalam negeri Selangor sekarang) untuk mengumpulkan orang orang Bugis dan menyediakan kelengkapan perangnya disana.

Meriam adalah senjata Melayu dahulukala yang canggih
Pada akhir tahun 1717 itu juga, Raja Kecik pun membawa perahu angkatan perangnya melalui Selat Singapura hendak mudik ke Sungai Johor untuk menyerang negeri Johor. Sebelum melancarkan serangannya, Raja Kecik lebih dahulu telah menghantarkan orang orang besarnya pergi memujuk Raja Negara iaitu Ketua Batin (Orang orang Laut) di Singapura, dan memujuk Orang orang Laut di Kuala Johor, supaya menyebelahi Raja Kecik, dengan mengatakankan kepada Orang orang Laut serta kepada orang orang Melayu rakyat Johor yang lainnya bahawa Raja Kecik itu adalah putera Marhum Mangkat DiJulang (Sultan Mahmud Syah II) daripada isterinya bernama Che' Pong, anak Dato' Laksamana Johor. Apabila Sultan Mahmud mangkat dibunuh dan kerana takutkan akan dibunuh juga, maka Che' Pong yang sedang mengandungkan Raja Kecik, telah dilarikan ke Minangkabau, dan di Minangkabaulah Che' Pong telah melahirkan Raja Kecik, lalu Raja Kecik itu dijadikan anak angkat oleh keluarga DiRaja Pagar Ruyong di Minangkabau. Dan sekarang ini Raja Kecik datang hendak mengambil negeri Johor, pesaka almarhum ayahnya itu. Maka barang siapa rakyat yang tiada mau mengikut, nanti ditimpa daulat Marhum Mangkat DiJulang, tiada selamat sampai ke anak cucunya. Dan barang siapa yang menyertai nya, akan mendapat kurnia daripada Raja Kecik daripada beberapa kayu kain yang baik buat persalinan.

Maka orang orang Laut di Kuala Johor dan diSingapura serta beberapa ramai rakyat Johor lainnya telah bersetuju dengan pujukan orang orang besar Raja Kecik itu, dan mereka telah mengajak Raja Kecik datang ke negeri Johor. Selain daripada pujukan tersebut, rakyat Johor juga telah merasa benci kepada pemerintahan Yang DiPertuan Muda Tun Mahmud yang zalim itu. Raja Kecik juga telah berkirim surat kepada Dato' Laksamana Johor, yang merupakan ayah kepada Che' Pong, memberitahu bahawa ia hendak menyerang negeri Johor, dan Dato' Laksamana pun bersetuju untuk belot serta menyertai Raja Kecik. Kesah serangan dan penaklokan negeri Johor di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
"Syahadan apabila selesailah jalan tipu hikmat itu, maka Raja Kecik datanglah dengan kelengkapan perang melangar Johor itu. Maka tiadalah rakyat rakyat laut itu memberitahu kedalam negeri lagi. Maka masuklah segala kelengkapan perang itu kedalam Johor dengan terserkap. Maka terkejutlah orang Johor mengatakan, 'Musuh datang melanggar'. Maka dipermaklumkan kepada Yang DiPertuan Muda. Maka tiada dihiraukannya sebab ia tengah bermain catur. Maka Raja Kecik pun serta Minangkabau tibalah ke Pengkalan Rama lalulah naik ke jembatan dengan segala pendekarnya dan membunyaikan senapangnya. Maka melawanlah orang orang Johor itu, berperang mana mana sempat berbunuh bunuhan sehari itu. Maka banyaklah orang Johor belot sebelah Minangkabau, kerana Laksamana kepala perangnya telah belot.
"Maka Yang DiPertuan Muda pun membunuh isterinya lalulah ia keluar mengamuk pula, kerana fikirannya daripada isterinya diambil Minangkabau diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun mengamuklah menyerbukan dirinya kepada pehak sebelah Raja Kecik itu. Lalu berkejar kejaran hambat berhambat hingga sampai ke Kayu Anak nama tempat itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun mangkatlah disitu, sebab sabur menyabur orang beramuk itu.

"Syahadan tatkala sudah mangkat Yang DiPertuan Muda itu maka Johor pun alahlah. Maka keluar Sultan Abdul Jalil dari dalam kotanya pergi ke kampong orang lain pula. Maka bermesyuwarahlah Sultan Abdul Jalil itu, 'Baik menggamukkah, atau baik menyerahkan diri?. Maka muafakatlah segala menterinya, 'Baik menyerahkan diri'. Maka lalulah Sultan Abdul Jalil itu pergi kepada Raja Kecik dengan tiada bersenjata, menyerahkan diri. Maka tiadalah diapa apakan oleh Raja Kecik itu, hanya diperbaik baikinya sambil berkata, 'Ayah, saya hendak jadikan Bendahara semula'.

"Syahadan tiada berapa lamanya maka Raja Kecik pun bertunanglah dengan puteri Sultan Abdul Jalil itu, yang bernama Tengku Tengah. Didalam pada Hari Raya, maka datang lah Sultan Abdul Jalil putera berputeri mengunjungi Raja Kecik. Maka puteri yang bernama Tengku Kamariah pun bersama sama jua. Maka terpandanglah Raja Kecik akan paras Tengku Kamariah itu, berahilah ia pula. Maka dipintanya pula Tengku Kamariah itu, tiadalah jadi dengan Tengku Tengah itu. Maka tiadalah terkata kata Sultan Abdul Jalil itu, kerana lebih lebih maklum orang yang sudah alah. Syahadan maka nikahlah Tengku Kamariah itu dengan Raja Kecik, betapa adat Raja yang besar besar bernikah kahwin, demikianlah halnya. Maka tetaplah Raja Kecik itu didalam negeri Johor. Maka seolah olah negeri Johor itu beRaja dualah pada masa itu ada nya".

(bersambung ke bahagian ketiga...)

No comments:

Post a Comment