Peta di kawasan Kerajaan Johor Lama |
Pada bulan Ogos tahun 1699, Sultan Mahmud Syah (II) yang masih muda ketika itu, berusia sekitar dua puluh empat tahun telah mangkat di Kota Tinggi, dibunuh oleh orang besar baginda bernama Megat Seri Rama kerana kezaliman dan kebengisan baginda. Kesah kemangkatan baginda di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis tulisan Raja Ali Haji adalah seperti berikut:-
"Adalah seorang Raja Johor bernama Sultan Mahmud. Adalah baginda itu berbinikan peri konon, iaitu suatu nauk daripada jin; jadi baginda itu tiadalah suka bersekedudukan dengan isterinya yang berbangsa manusia ini.
"Pada suatu hari baginda itu tengah beradu, maka datanglah seorang mempersembahkan nangka masak, ditaruh oleh Penghulu Istana itu, kerana menantikan baginda itu jaga; tiba tiba datang bini Megat Seri Rama yang bunting, mengidam hendak makan nangka, lalu dipintanya seulas kepada Penghulu Istana itu. Maka Penghulu pun mengambil seulas diberikan kepada bini Megat Seri Rama itu, maka ia pun baliklah.
"Maka apabila Raja itu terjaga, hendak makan nangka, lalu dipersembahkan oleh Penghulu Istana kepada baginda: "Ada yang tiada baik tadi, patik berikan kepada bini Megat Seri Rama daripada terbuang sahaja". Apabila ia mendengar maka baginda pun murkalah lalu disuruhnya panggil bini Megat Seri Rama itu, dibelahnya perutnya, dikeluarkannya anaknya dari dalam perutnya itu, maka matilah bini Megat Seri Rama itu.
"Maka apabila sampai khabar itu kepada suaminya Megat Seri Rama, maka ia pun menangislah, serta hilang akalnya, meradang sebab marah nya. Maka lalu ia mendapatkan Dato' Bendahara, maka dimaklumkannya yang ia hendak membalas dendam kematian isterinya itu, seraya berkata: "Jikalau Dato' hendak menjadi Raja, inilah ketikanya, yang diperhamba hendak menderhaka tiada boleh tidak". Syahadan adalah Megat Seri Rama itu seorang hulubalang yang kebal, banyak anak buahnya, serta kuat kuasanya. Maka bermesyuaratlah Dato' Bendahara itu dengan saudaranya Temenggung dan Indera Bongsu akan hajat Megat Seri Rama itu, bersatulah sekelian mereka itu serta membenarkan Megat Seri Rama itu, kerana segala orang orang besar di dalam negeri itu, ramai yang sukakan Bendahara itu menjadi Raja, kerana kata mereka itu: "Ini baru Megat Seri Rama dibuatnya, akhirnya kita semua pun nanti dibuatnya begitu juga". Maka tetaplah muafakat itu...
"Syahadan adalah yang tiada pernah berpisah dengan baginda adalah seorang hulubalangnya yang berani didalam negeri itu, lagi gagah perkasa, bernama Seri Bija Wangsa. Maka hulubalang itu ditipu oleh Dato' Bendahara lalu disuruhnya bunuh maka matilah ia, kerana jikalau ada Seri Bija Wangsa itu, susahlah Megat Seri Rama itu melakukan kehendaknya. Syahadan maka adalah pada ketika itu baginda itu diatas julang hendak pergi bersembahyang Jumaat, lalu diparangnya hulu baginda itu lalu mangkat, dan Megat itu pun mati juga, kerana dilontar oleh baginda dengan kerisnya".
Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang di Kota Tinggi |
Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang di Kota Tinggi |
Negeri Johor pada masa itu adalah sangat maju dan makmur, ramai orang orang yang datang berniaga disana, termasuklah orang orang Inggris, Belanda, Cina, India, Arab dan lain nya. Di bandar tempat Sultan Johor bersemayam iaitu diPancor, ada sebuah kota kecil terletak diatas suatu tanah tinggi. Bentuk kota itu empat persegi panjang, diperbuat daripada kayu balak yang tebal dan besar berlapis lapis hingga dua belas kaki tingginya dari tanah, dan lantai disebelah dalam kota itu ditinggikan lima kaki. Kota itu terletak dekat kuala sebuah sungai kecil di tepi Sungai Johor. Kota itu mempunyai dua belas pucuk meriam tembaga yang besar dan sangat cantik buatannya. Lima pucuk daripada meriam itu diletakkan menghala ke Sungai Johor, dan tujuh pucuk lagi dihalakan ke Sungai Tukul.
Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (IV) adalah seorang Sultan yang sangat sederhana dan adil. Orang orang besar Kerajaan serta rakyat Johor kasih kepada baginda dan perniagaan dalam negeri pun mewah. Pemerintahan negeri yang baginda sendiri tadbirkan telah berjalan dengan baik selama lapan atau sembilan tahun. Setelah itu baginda menyerahkan urusan pemerintahan negeri Johor kepada adinda baginda, Yang DiPertuan Muda (Tun Mahmud), apabila baginda semakin kuat beribadah serta sering duduk bersama para alim ulama dan jarang keluar di istana baginda...
(bersambung ke bahagian kedua...)
No comments:
Post a Comment