Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Monday, November 9, 2015

4. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke empat...

Pada tahun 1721, Raja Sulaiman yang berada diRiau semakin bertambah tambah marahnya kepada Raja Kecik yang telah merampas Kerajaan Johor serta menyebabkan kemangkatan almarhum ayanandanya Sultan Abdul Jalil di Kuala Pahang, telah mengadakan mesyuarat dengan kekandanya Tun Abbas (anakanda almarhum sebelum menjadi Sultan), hendak meminta bantuan daripada Raja Raja Bugis lima bersaudara bagi mengambil kembali Kerajaan Johor-Riau daripada Raja Kecik. Setelah bermesyuarat, Raja Sulaiman pun menulis surat menceritakan perihal ayahandanya yang telah mangkat di Kuala Pahang serta penderitaan mereka adik beradik selama dibawah perintah Raja Kecik. Surat itu kemudiannya diberikan kepada pembantu kepercayaannya untuk membawa surat itu dan mencari dimana mana negeri pun Raja Raja Bugis lima bersaudara itu berada untuk diserahkan surat itu. Akhirnya , ia mendapat khabar yang menyatakan bahawa Raja Raja Bugis lima bersaudara itu berada di Matan (Kalimantan), lalu ia pun belayar ke Matan dan menyerahkan surat Raja Sulaiman itu kepada Opu Daeng Parani. Apabila dibaca surat Raja Sulaiman itu, Opu Daeng Parani pun menjadi marah, lalu ditunjukkan kepada Opu Daeng Merewah (bergelar Kelana Jaya Putera) serta saudara saudaranya yang lain, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Maka berbangkitlah semuanya menghunus kerisnya, mengaruk aruk, berkanjar kanjar (satu adat Bugis yang membuat sumpah setia dengan sebilah keris yang tajam). Maka Kelana Jaya Putera pun berkata, “Jika belum aku ambil Riau dengan segala takluk daerahnya aku serahkan kepada Raja Sulaiman, aku haramkan menjejak tanah Bugis atau aku mati”.

Maka apabila selesai daripada mengaruk aruk itu, maka menyembelihlah ia kerbau mencerak senjatanya yakni menyembah senjatanya kerana adat Bugis, demikianlah halnya konon. Kemudian muafakatlah ia dengan saudara saudaranya serta menterinya, iaitu Daeng Menampuk dan Daeng Massuro dan Daeng Mangngatuk. Adalah dijadikan kepala perangnya oleh Opu Daeng Parani, iaitu saudaranya Opu Kelana Jaya Putera ialah seolah olah Raja didalam peperangan. Adapun Opu Daeng Cellak ialah menjadi Panglima Besar didalam peperangan. Adapun Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi ialah jadi Panglima Perang Kanan dan Penglima Perang Kiri. Adalah raja tua Daeng Mangngatuk ialah menjadi hulubalang tua akan tempat segala Raja Raja itu mengambil musyawarah. Adapun Daeng Massuro dan Daeng Menampuk ialah kepala diatas indera gurunya pada memerintahkan peperangan.

Syahadan apabila sudah teguhlah ikatan perangnya berangkatlah ia belayar ke Riau. Adalah kelengkapannya yang pergi yang besarnya tujuh buah, satu keci ditutuhnya diperbuatnya penjajab dan beberapa perahu perahu Bugis, seperti pintak dan kura kura, dan beberapa lagi sampan sampan kecil kecil. Ada orang Bugis serta Bugis juak juaknya ada kira kira seribu dan ada kepala juak juaknya yang empat puluh itu dua orang, pertama Indera Guru La Malu nama nya, kedua Indera Guru To Jerpak namanya.

Syahadan tiada beberapa lamanya ia belayar itu sampailah ia ke Riau, maka lalu masuk berhenti di Pulau Pengujan mengikat perang disitu serta mengatur kelengkapan perangnya. Maka apabila sudah mustaid maka lalulah ia menyuruh memberitahu ke hulu Riau kepada Raja Kecik, menyuruh keluar berperang jika sungguh laki laki, jangan berperang didalam negeri rosaklah isi negeri. Maka apabila Raja Kecik mendengar khabar itu maka ia pun bersiaplah dengan beberapa kelengkapan pula. Ada pun orang orang Riau disuruhnya menjaga negeri sahaja. Maka keluarlah Raja Kecik dengan beberapa kelengkapan serta gong, gendang dan serunai, tawak tawaknya (gong isyarat).

Maka apabila sampai ke Pengujan lalulah berperang berbedil bedilan, azamatlah bunyi bahana meriam, sebelah menyebelah, gegak gempita, tiada kedengaran apa lagi, asap pun naik keudara menggerbak. Maka seketika perang itu Bugis pun turun ke sampan tundanya membawa terakul dan pemburasnya, lalu dipintasnya sebelah perminggangannya perahu perahu Minangkabau itu, lalu dirapatnya. Maka tiadalah tertahan oleh Minangkabau kerana tiada boleh mengisi meriam lagi, serta banyaklah matinya. Ada kira kira sehari semalam maka pecahlah perang Raja Kecik itu, pecah belah lintang pukang tiada tentu haluannya sebab kerana sudah dirapati oleh Bugis itu dengan terakul dan pemburasnya. Maka beranyutlah Raja Kecik undur, melawan sampai lari. Maka diikuti oleh Bugis sambil dibedilnya dengan meriam dan rentakanya dan senapang senapangnya. Maka larilah segala kelengkapan Raja Kecik itu membawa dirinya ke Pulau Bayan dan mana mana yang tenggelam tinggallah ia sepanjang laut itu berhanyutan. Maka naiklah Raja Kecik ke Pulau Bayan kerana kubunya ada memang disitu dan segala perahu perahunya berkeliling disitu setengah orangnya naik kedarat.

Syahadan apabila Opu Opu itu melihat hal yang demikian itu, maka dibahaginyalah kelengkapannya itu pula dua bahagian dan satu bahagian naik ke Tanjung Pinang diperbuatnya kubu disitu membedil ke Pulau Bayan, dan satu bahagian berdayung masuk kehulu Riau, jangan dihiraukan bedil orang yang diPulau Bayan itu. Maka apabila sampai ke hulu, dihadapkan haluannya ke hilir langgar perahu perahu yang di Pulau Bayan itu, demikian titah Opu Opu itu. Maka diperbuatlah oleh segala Bugis itu seperti titah Opu Opu itu adanya.
Syahadan kata sahibul hikayat maka serba salahlah kelengkapan Raja Kecik, maka Raja Kecik pun menyuruh orang orangnya turun keperahu semula, menyuruh lawan perahu Bugis yang masuk itu. Maka apabila dilihat Bugis Pulau Bayan itu tiada orangnya lagi habis turun keperahunya, maka direbutnya Pulau Bayan itu. Maka Raja Kecik pun turunlah ke kenaikannya hendak mudik, maka dibedil pula perahu perahu Bugis yang dari sebelah hulu, sebab haluannya sudah menhadap ke kuala. Maka tiadalah jadi Raja Kecik itu mudik, lalu merapati Tanjung Ungkat pula. Maka baharu hendak naik kedarat, kira kira setengah orang orangnya hendak lari kehulu, maka dipintas oleh Bugis Bugis dari darat, lalulah dibedilnya dengan terakul dan pemburasnya. Maka berterjunlah pula turun keperahunya.

Maka kenaikan Raja Kecik pun undurlah lari ke Pulau Penyengat. Maka tinggallah orang orang dan panglima panglima Raja Kecik didarat itu kerana tiada sempat turun lagi. Maka hujan pun lebat, sabur menyaburlah. Maka beramuk didarat, adapun Minangkabau dengan petang, dan Bugis dengan pemburas dan lembing dan baju rantainya. Maka larilah segala Minangkabau ke tepi pantai. Maka apabila perahu perahu Bugis melihat Minangkabau lari ke tepi pantai itu, maka didekatkannyalah segala perahu perahunya, lalu naik kedarat. Maka dibunuhnya segala Minangkabau itu, beberapa yang terkerat kepalanya, habislah mati semuanya dan Pulau Bayan pun dapat diamuk oleh Bugis Bugis yang dari Tanjung Pinang itu. Maka Opu Opu itu pun turun kepada gurabnya, lalu mengusir Raja Kecik yang lari ke Pulau Penyengat itu.

Syahadan apabila Raja Kecik itu melihat perahu perahu Bugis menuju Pulau Penyengat, maka ia pun menarik layar lalulah belayar dengan dayung dayungnya menuju negeri Lingga. Maka bersoraklah Bugis Bugis azamatnyalah bunyinya. Maka alahlah Raja Melayu Minangkabau berperang dengan Opu Raja Bugis yang bernama Kelana Jaya Putera. Maka gemparlah didalam Riau mengatakan Minangkabau sudah habis mati dan Raja Kecik sudahlah lari ke Lingga, dan dapatlah Riau oleh Raja Bugis sekali. Maka banyaklah Melayu Minangkabau tertawan oleh Bugis mana mana yang pehak sebelah Raja Kecik, melainkan kecuali didalam istana Raja Kecik yang tiada diberi Opu Opu itu tawan. Syahadan adalah perang itu dua hari, iaitu pada Hijrat seribu seratus tiga puluh empat tahun sanat 1134 (tahun 1721 masihi).

Sebermula adapun Opu Opu itu apabila selesai daripada perangnya itu, maka ia pun mudiklah berjumpa Raja Sulaiman serta Tun Abbas sekelian, dan Opu Daeng Perani naiklah kerumah isterinya Tengku Tengah. Maka musyawarahlah Opu Opu itu dengan Raja Sulaiman serta Tun Abbas pada pekerjaan yang lagi akan datang dengan Raja Kecik adanya.

Syahadan maka Opu Kelana Jaya Putera pun minta kepada Raja Sulaiman hendak pergi ke Selangor dan Langat mendapatkan Bugis Bugis ditempat itu hendak muafakat mencari kekuatan, kerana adalah Bugis Bugis itu memang banyak berdagang diam disitu sekali, sebab menghampiri negeri Melaka senang berniaga pulang pergi dan banyaklah yang kaya kaya Bugis disitu. Adapun segala Bugis Bugis disitu apabila datanglah Opu Opu itu ke Selangor dan ke Langkat, dipermuliakannya kerana mereka itu tahu akan Opu Opu itu anak Raja besar tuan penghulu kepada mereka itu semua. Istimewa pula kedatangan Opu Opu itu bukannya dengan merisau risau akan dia, tetapi adalah datangnya itu cukup dengan hulubalang menterinya serta punggawanya dan indera gurunya dan juak juak, askar tenteranya. Maka mengharap harap mereka itu akan Opu Opu itu mendapat nama dan pangkat di tanah barat dengan berkekalan turun temurun.

Syahadan sebab kerana pandangan inilah menjadi segala Bugis Bugis yang di Selangor dan Langat itu, bersegera apa maksud Opu Opu itu ditolongnya mana mana kadarnya, daripada belanja belanja atau senjata senjata atau orang orang. Syahadan kerana inilah Opu Opu itu hendak ke Selangor dahulu mencari tambah kuasa daripada pekerjaan ini, kerana pada ijtihadnya perang dengan Raja Kecik itu berpanjangan akhirnya.
Syahadan kata empunya cerita, apabila Raja Sulaiman mendengar musyawarah Opu Opu itu maka benarlah kepada hatinya. Maka ia pun hendak ke Pahang mencari cari belanja belanja dan kelengkapan pada Bendahara Pekuk (Tun Abdul Jamal) yang di Pahang itu. Maka apabila sudah putuslah musyawarah itu, maka lalulah keduanya keluar dari negeri Riau dan Opu Opu pun belayar ke Selangor dan Raja Sulaiman pun belayarlah ke Pahang, tinggallah di dalam Riau orang tua tua sahaja. Syahadan setengah Bugis Bugis disuruh Opu Opu itu mengusir Raja Kecik yang lari ke Lingga, jadi tiga pasukanlah angkatan yang keluar dari negeri Riau belayar masing masing dengan hadapannya.

Sebermula adapun Opu Opu itu apabila sampai ke Selangor, lalu ia membuat gurab tiga puluh buah banyaknya akan menjadi perahu perang, serta dicukupkannya dengan alat senjatanya dan ubat pelurunyanya. Adapun Raja sulaiman apabila sampai ia ke Pahang, maka ia pun dapat belanja belanja serta kelengkapan dibantu oleh Bendahara Pahang.

Adapun Bugis yang mengusir usir Raja Kecik ke Lingga itu, maka bertemulah ia dengan Raja Kecik lalulah berperang. Maka alah Raja Kecik, lalu lari selat menyelat sebelah Lingga. Maka tiada terikut oleh Bugis kerana belum tahu akan selat menyelat itu sebelah Lingga. Kemudian maka musyawarahlah sama sama Bugis Bugis itu, lalulah pergi mendapatkan Opu Opu itu di Selangor memaklumkan hal ehwal Raja Kecik tiada terikut olehnya, sebab kerana ia tiada tahu akan selat selat itu.

Sebermula adapun Raja Kecik itu lepaslah ia ke Riau. Maka waktu hendak lalu ke Riau itu maka berjumpa ia dengan tiga buah perahu Bugis pedewakan perdagangan. Adapun Raja Kecik beberapa kelengkapan perang, maka lalulah berperang tiga buah pedewakan itu, maka alahlah Bugis yang tiga buah itu, lalu dirampasnya oleh Raja Kecik segala harta bendanya. Syahadan tersebut di dalam siarah sebelah Siak, ada se-laksa (sepuloh ribu) modalnya tiga buah perahu itu konon. Kemudian Raja Kecik pun masuklah kedalam negeri Riau, serta memperbaikkan hati orang Riau itu sebab diharapkannya juga lagi sebelah dia. Kemudian ia pun mengukuhkan negeri Riau dengan membuat kubu kubu pada tempat yang patut serta mengatur penjajab perang pada tempat yang ditakutkan musuh menyerbu, demikianlah halnya sehari hari. Adapun suku sebelah Tun Abbas serta orang Riau duduklah didalam kesusahan yang serba salah sehari hari”.

(bersambung ke bahagian kelima...)

No comments:

Post a Comment