Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, March 6, 2016

25. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh lima...



25. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh lima...

Raja Haji Pergi Ke Pontianak

Pada sekitar tahun 1777 telah terjadi peperangan diantara Pangeran Syarif Abdul Rahman dari negeri Pontianak dengan negeri Sanggau di Kalimantan seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebutlah perkataan Pangeran Syarif Abdul Rahman Bin Saiyid Al-Syarif Husain Al-Qadri. Syahadan adalah Pangeran Syarif Abdul Rahman itu bondanya orang Matan. Adapun ia mendapat gelaran Pangeran  itu didalam negeri Banjar tatkala ia beristerikan anak saudara Sultan Banjar yang bernama Ratu Syahar Banun. Syahadan adapun Pangeran Syarif Abdul Rahman itu sudah memang ia beristerikan puteri Opu Daeng Menambun yang bergelar Pangeran Emas Seri Negara. Adalah puterinya yang jadi isteri Pangeran Syarif Abdul Rahman itu bernama Utin Candera Midi.

Sebermula kata sahibul hikayat ada pada satu masa Pangeran Syarif Abdul Rahman pergi ke negeri Sanggau maka hendak mudik melakukan perniagaannya. Maka ditahan oleh Panembahan Sanggau tiada diberinya mudik ke Sangkadau. Maka Pangeran Syarif Abdul Rahman keras juga hendak mudik, maka jadilah perbantahan dengan Panembahan Sanggau itu. Maka dibedilnya perahu-perahu Pangeran Syarif Abdul Rahman. Maka Pangeran Syarif Abdul Rahman pun membalas pula. Maka menjadi perang besarlah berbedil-bedilan dengan meriam dan lela azamatlah bunyinya serta sorak tempiknya. Syahadan adalah kelengkapan Pangeran Syarif Abdul Rahman besar kecil ada empat puluh buah. Maka kira-kira tujuh hari perang itu maka tewaslah Pangeran Syarif Abdul Rahman lalu undur balik ke Pontianak maka membuatlah perahu besar. Maka kira-kira lapan bulan bersiap-siap itu, maka Pangeran Syarif Abdul Rahman minta bantu ke Riau.

Syahadan apabila Raja Haji Engku Kelana mendengar khabar surat dari Pontianak itu, maka ia pun bersiaplah didalam negeri Selangor akan kelengkapan perangnya. Maka apabila sudah mustaid maka belayarlah ia dari Selangor. Tiada berapa hari sampailah ia ke negeri Muntuk. Maka gemparlah negeri Pelembang mengatakan Raja Haji Engku Kelana ada di Muntuk. Maka khuatirlah Sultan Pelembang yang amat sangat kalau-kalau ia masuk ke Pelembang. Maka musyawarahlah Sultan Pelembang itu dengan segala menteri-menteri, “Baik kita periksa dahulu, jangan kita menyangka-nyangka yang tiada baik dahulu”.

Syahadan maka Sultan Pelembang pun menyuruh satu menterinya memeriksa Raja Haji. Maka jawab Raja Haji, “Kita ini hendak pergi ke Mempawah ziarah ke makam Tuan Besar Mempawah serta hendak ke Pontianak”. Syahadan setelah suruhan Sultan Pelembang mendengar titah Raja Haji itu maka ia pun balik mempersembahkan kepada Sultannya. Maka menyuruh pula Sultan Pelembang satu kerangkanya (usungan-nya) membawa wang dan harta serta makan-makanan pada angkatan kelengkapan Raja Haji itu. Maka Raja Haji pun bertitah kepada suruhan itu katanya, “Kita kirim salam takzim kepada saudara kita Sultan Pelembang itu dan kita berterima kasih kepadanya yang amat banyak, tiadalah kita masuk kedalam Pelembang lagi, kerana kita hendak segera berlayar sekadarkan singgah mengambil air dan kayu jua di Muntuk ini, janganlah saudara kita kecil-kecil hati akan kita”. Syahadan setelah suruhan itu mendengar perkataan Raja Haji itu maka ia pun bermohonlah masuk ke Pelembang. Maka lalu dipersembahkannya kepada Sultan segala pesan-pesan Raja Haji itu. Maka Sultan Pelembang pun terlalu sukanya mendengar segala pesan-pesan  Raja Haji Engku Kelana itu.

Syahadan maka apabila Raja Haji telah menerima pemberian dari Sultan Pelembang itu serta telah bermuat air dan kayu, maka ia pun belayarlah ke Mempawah. Maka apabila tiba ke Mempawah maka disambutlah oleh Pangeran Adi Wijawa, iaitu Gusti Jameril putera paduka ayahanda baginda Opu Daeng Menambun, bersama-samalah bersalam-salaman dan bertangis-tangisan sebab baharu berjumpa-jumpaan dengan sanak saudaranya. Maka Raja Haji pun berangkatlah ziarah kepada makam Tuan Besar Mempawah. Kemudian maka diperjamulah oleh paduka kekanda baginda itu Panembahan betapa adat Raja-Raja baharu bertemu saudara bersaudara.

Kemudian apabila sudah berjumpa-jumpaan itu, maka Raja Haji pun bermohonlah hendak ke Pontianak hendak berjumpa paduka kekanda Utin Candera Midi, iaitu puteri Opu Daeng Menambun yang menjadi isteri Pangeran Syarif Abdul Rahman. Maka berangkatlah Raja Haji itu ke Pontianak. Maka apabila tiba ke Pontianak, dipermuliakanlah oleh Pangeran Syarif Abdul Rahman serta diperjumpakannya dengan isterinya Utin Candera Midi. Maka apabila berjumpa keduanya maka bertangis-tangisan sebab baharu berjumpa dengan sanak saudara yang jauh-jauh.

Kemudian maka diberilah oleh Pangeran Syarif Abdul Rahman itu akan Raja Haji itu sebuah istana. Maka naiklah Raja Haji itu ke istana itu serta membawa anak gundiknya serta dengan joget tandaknya. Maka berkasih-kasihlah Pangeran Syarif Abdul Rahman dengan Raja Haji itu seperti orang bersaudara betul, serta tiadalah kalinya Pangeran Syarif Abdul Rahman itu pergi berangkat ke istana Raja Haji laki isteri bermain-main joget Jambi. Maka sangatlah suka nya Utin Candera Midi itu akan permainan paduka adinda baginda itu kerana tiada ada di dalam Mempawah dan Pontianak joget yang demikian itu, hanyalah joget Jawa sahaja yang ada. Demikian lagi Raja Haji pun demikian tiada juga kalinya tiap-tiap hari berjumpa dengan Pangeran Syarif Abdul Rahman itu bergurau bersenda bersuka-sukaan.

Syahadan kata sahibul hikayat maka tiada berapa lamanya, maka Pangeran Syarif Abdul Rahman pun berkhabar kepada Raja Haji hal-ehwal bergaduh dengan Panembahan Sanggau itu. “Sudah lebih delapan bulan orang Pontianak tiada boleh berniaga ke Sengkadau lagi. Adapun sebab berhenti perang sebab lagi bersiap-siap berbuat kelengkapan perang kerana dahulu dicuba berperang maka tewaslah saya sebab kelengkapan tiada dengan sepertinya, lagi pula orang-orang saya pun tiada yang bersungguh mau bersusah-susah itu”. Syahadan apabila Raja Haji mendengar khabar  Pangeran Syarif Abdul Rahman itu maka jawabnya, “Apalah lagi kita panjang-panjangkan lagi, marilah kita langgar semula”.

Setelah Pangeran Syarif Abdul Rahman mendengar kata Raja Haji itu maka lalu berkerah menyiapkan segala kelengkapannya dan Raja Haji bersiap juga segala kelengkapan yang dibawanya dari Riau itu. Maka apabila sudah mustaid maka Pangeran Syarif Abdul Rahman serta Raja Haji pun mudiklah ke negeri  Sanggau itu dengan dua buah kapal dan satu keci dan dua puluh delapan buah penjajab. Maka apabila sampai di Tayan maka orang orang Sanggau pun sudah sedia menanti angkatan yang datang itu. Maka Raja Haji pun menyuruh langgar kubu Tayan itu kepada orang-orang Riau dan orang-orang Pontianak. Maka berperanglah kira-kira dua hari lalu disuruhnya amuk kubu-kubu itu. Maka diamuklah oleh Bugis ada dua hari kubu Tayan pun alahlah, sebab banyak panglima-panglimanya mati. Maka bertaburanlah orang-orang Sanggau itu membawa dirinya ke sana ke mari.

Syahadan maka Raja Haji memudikkan segala kelengkapannya masuk ke dalam Sanggau itu. Maka apabila sampai di Kayu Tunau berjumpa pula dengan satu kubu yang besar serta beberapa banyak orang-orangnya. Maka berhentilah angkatan itu disitu bermusyawarah. Maka Raja Haji pun mengaturlah ikatan perang itu dengan ditentukannya yang akan jadi panglima kanan dan kiri serta mengaturkan melanggar perangnya serta semboyannya yang didalam perangnya itu. Setelah teguhlah ikatan perangnya itu, maka dua puluh enam haribulan Muharram sanat 1192 (23 Febuari 1778) maka memulailah perang.

Maka berperanglah segala kelengkapan itu melanggar kubu orang Sanggau itu. Maka berbedil-bedilanlah antara kedua pihak dengan meriam dan lela rentakanya gemuruhlah bunyi bahananya. Maka tiada juga berketewasan sebelah menyebelah. Syahadan rapatlah segala penjajab-penjajab itu kepada kubunya maka naiklah segala Bugis-Bugis mengamuk kubu-kubu itu. Maka beramuklah didalam kubu itu berbedilkan senapang dan pemburasnya dan bertikamkan lembingnya dan bertitikkan kelawang pedangnya dan bertikamkan kerisnya, berkejar-kejaran dan berhambat-hambatan ke sana ke mari. Maka seketika lagi tewaslah orang-orang Sanggau itu. Maka pecahlah perangnya bertaburanlah larinya kerana panglima-panglimanya banyak mati. Maka dapatlah kubu itu oleh Bugis. Maka alahlah negeri Sanggau itu pada sebelas haribulan Safar sanat 1192 (10 March 1778).

Syahadan maka kedua Raja itupun mudiklah ke negeri Sanggau tempat Kerajaannya, maka berhentilah kira-kira dua belas hari. Kemudian Raja berdua itu pun hilirlah, maka berhenti di Pulau Simpang Labai. Maka Raja Haji membuatlah satu benteng di Pulau Labai itu serta ditaruhnya enam meriam serta diberinya nama pulau itu Jam Jambu Basrah. Setelah itu maka kedua Raja itupun berbaliklah ke Pontianak dengan segala kelengkapannya itu. Maka tetaplah segala Raja-Raja itu di Pontianak bersuka-sukaan makan minum saudara bersaudara ipar beripar serta segala menterinya.

Syahadan kata sahibul hikayat maka tiada berapa lamanya, maka Raja Haji pun muafakat dengan segala orang tua-tua yang didalam Pontianak hendak mengangkat Pangeran Syarif Abdul Rahman menjadi Sultan didalam negeri Pontianak. Maka sembah segala orang tua-tua itu, “Mana-mana sahaja titah duli tuanku”.

Syahadan setalah Raja Haji muafakat itu maka Raja Haji pun memulai bekerja serta menyediakan alat perkakas Raja berlantik dan bertabal sebagaimana aturan adat istiadat pihak sebelah Johor, demikianlah diperbuatnya melainkan bertambah sahaja adatnya Bugis seperti mengaruk-aruk, iaitu adat Bugis. Setelah mustaid sekelian alat perkakas bertabal itu, maka pada ketika hari yang baik, maka Raja Haji pun mengumpulkan segala orang besar-besar dan Raja-Raja dan orang-orang negeri berkumpullah segala Raja-Raja itu. Maka Raja Haji pun memakailah dan memakaikan Pangeran Syarif Abdul Rahman itu dengan pakaian berlantik. Setelah selesailah daripada itu, maka baharulah diturunkan ke balairung serta dengan jawatan seperti pedang dan keris panjang dan puan dan kipas dan ketur dan lain-lainnya, serta perempuan membawa kain dukungnya enam belas orang, dan membawa dian berkelopak pun enam belas juga. Kemudian baharulah dinaikkan Pangeran Syarif Abdul Rahman itu di atas singgahsana Kerajaan, kemudian berdirilah dua orang bentara pada kanan kirinya memegang tongkat berkepala emas.

Syahadan apabila selesai bersaf-saf dan beratur segala jawatan itu maka berdirilah Raja Haji dihadapan singgahsana Kerajaan serta menghunus halamangnya berteriaklah ia dengan nyaring suaranya dengan katanya, “Barang tahu kiranya segala Raja-Raja dan orang-orang besar bahawa sesunggunya kami mengangkat akan Pangeran Syarif Abdul Rahman ini menjadi Raja di dalam negeri Pontianak dengan segala takluk daerahnya. Adalah bergelar Sultan Syarif Abdul Rahman Nur Alam Karar dan tetap di atas Kerajaannya di dalam negeri ini turun atas anak cucunya”. Syahadan maka menjawablah segala orang-orang itu, “Daulat, bertambah-tambah daulat”. Kemudian baharu dipukulkan nobat. Maka sekelian orang-orang pun menjunjung dulilah.

Syahadan apabila selesailah daripada pekerjaan lantik berlantik itu, maka Raja Haji pun membuatkan satu kota perdalamannya. Adapun kayu itu, iaitu kayu Kota Sanggau yang di pindahkannya ke Pontianak. Kemudian diaturkannya segala orang besar-besarnya dengan gelarannya dan pangkatnya dan pekerjaannya dan diaturkannya pula adat didalam istana dan balai. Maka sekelian adat-adat itu seperti adat negeri Riau jua adanya.

Syahadan kata ahli’l-tawarikh adalah kira-kira enam belas bulan Raja Haji itu di dalam Pontianak dengan bersuka-sukaan dengan Sultan Syarif Abdul Rahman dua laki isteri dengan permainan tiap-tiap hari.

Syahadan maka tiba-tiba datanglah suruhan dari Riau menyilakan Raja Haji balik ke Riau kerana Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja gering sangat. Syahadan setelah Raja Haji mendengar khabar suruhan itu maka ia pun meminta dirilah kepada Sultan Syarif Abdul Rahman laki isteri hendak balik ke Riau. Maka Sultan Syarif Abdul Rahman laki isteri pun berkemaslah menyiapkan perbekalan paduka adinda itu. Syahadan didalam hal itu datanglah pula sekali lagi suruhan dari Riau mengatakan paduka kekanda baginda Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja telah mangkat. Apabila Raja Haji dan Sultan Syarif Abdul Rahman laki isteri mendengar surat dari Riau itu maka ketiganya pun menangislah yang amat sangat. Maka Sultan Syarif Abdul Rahman pun mengumpulkan segala tuan saiyid dan haji-haji dan lebai-lebai berkumpul ke dalam, tahlil dan membaca Quran dihadiahkan pahalanya kepada roh almarhum paduka kekanda baginda itu Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja dan beberapa pula ia mengeluarkan sedekah dan kenduri betapa adat orang kematian sanak saudaranya adanya.

Suahadan adapun Raja Haji maka bersiaplah ia akan berlayar. Maka apabila sampai waktunya maka berangkatlah Raja Haji keluar dari Pontianak. Maka Sultan Syarif Abdul Rahman laki isteri pun menghantar hingga ke kuala Pontianak.

Adapun Raja Haji lalulah belayar ke sebelah barat menuju negeri Riau. Maka apabila hampir dengan hutan Riau maka lalulah ia menuju negeri Pahang. Maka tiada berapa hari maka sampailah ke Kuala Pahang. Syahadan maka Datuk Bendahara Tun Abdul Majid pun keluarlah mengalu-ngalukan Raja Haji itu datang. Maka apabila berjumpa bersalam-salamanlah keduanya, maka lalu dibawa oleh Datuk Bendahara akan Raja Haji itu mudik ke negeri Pahang lalu diberinya istana sekali. Maka naiklah Raja Haji itu diam di darat sekeliannya.

Syahadan apabila tetaplah Raja Haji itu didalam negeri Pahang, maka Datuk Bendahara pun melantik Raja Haji itu betapa adat istiadat melantik Yang DiPertuan Muda. Maka menjadilah Raja Haji itu Yang DIPertuan Muda didalam negeri Riau dan Johor dengan segala takluk daerahnya sebab menerima pesaka paduka ayahandanya adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh enam...)


No comments:

Post a Comment