22. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2
Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke
tahun 1911... Bahagian ke dua puluh dua...
Senarai Peperangan Bugis-Minangkabau Dan Pertabalan Sultan Selangor Yang Pertama
Apabila telah selesai peperangan diantara angkatan perang Raja Ismail
putera Almarhum Sultan Mahmud serta adindanya Raja Abdullah dari Siak
dengan angkatan perang Riau pimpinan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja
di Singapura pada tahun 1764 itu, maka tiada lagi berlaku peperangan
diantara Siak dengan Riau seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al
Nafis tulisan Raja Ali Haji seperti berikut:-
“Apabila selesai
daripada perang Singapura itu maka tiadalah lagi datang pihak Siak
membuat pergaduhan lagi, hingga masa membuat siarah ini. Syahadan aku
aturkan banyaknya kali berperang Raja Kecik Siak dengan Opu Opu Raja
Bugis yang menjadi Yang DiPertuan Muda didalam Riau hingga sampai kepada
anak cucunya. Inilah bilangannya yang tersebut dibawah ini.
Perang yang pertama:
Tatkala masa Opu-Opu yang lima beradik mengambil Riau daripada tangan
Raja Kecik, diserahkannya Riau dengan segala takluk daerahnya kepada
Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada Hijrat sanat 1134 (tahun 1722).
Perang yang kedua:
Tatkala Raja Kecik alah perang di Riau lalu ia lari ke Lingga, maka
lalu diikuti oleh Bugis-Bugis sampai ke Lingga lalu berperang. Maka Raja
Kecik pun alah lalulah ia balik ke Riau semula, Opu Opu telah ke
Selangor.
Perang yang ketiga:
Perang Linggi tatkala Raja
Kecik membantu Penghulu Linggi berperang dengan Opu Opu Raja Bugis itu.
Maka Raja Kecik pun alah pula ia selalu ia pergi ke Siak membuat negeri
di Buantan, serta berkukuh disitu.
Perang yang keempat:
Perang Opu Opu itu pergi melanggar negeri Siak, sebab (alat alat
kebesaran) Kerajaan Sultan Sulaiman diambil Raja Kecik . Maka didalam
perang itupun alah jua Raja Kecik. Maka pulanglah (alat alat kebesaran)
Kerajaan Johor itu kepada Sultan Sulaiman, kerana sebab pertolongan
Opu-Opu yang lima beradik itu dapat semula (alat alat kebesaran)
Kerajaan Raja Johor itu. Syahadan jadilah setahun itu empat kali perang
Opu-Opu itu, serta lalu Opu-Opu itu merajakan Raja Sulaiman bergelar
Sultan Sulaiman, dan Opu Kelana Jaya Putera (Opu Daeng Merewah) pun
menjadi Yang DiPertuan Muda masa itu.
Perang yang kelima:
Perang didalam negeri Kedah dengan Raja Kecik, bukannya perang yang
pertama, iaitu membantu Raja Kedah lalu melantik Raja Kedah yang tuanya,
maka iaitu bukannya perang dengan Raja Kecik. Adapun perang dengan Raja
Kecik yang kedua kalinya di dalam negeri Kedah tatkala itulah mangkat
Opu Daeng Parani. Maka Raja Kecik pun alah juga lalu balik ke Siak, pada
Hijrat seribu seratus tiga puluh enam, sanat 1136 (tahun 1724).
Perang yang keenam:
Perang Raja Kecik melanggar negeri Riau pada Sembilan lekur bulan
Syabaan, hingga sampai kepada dua puluh hari bulan Zulhijjah. Maka lalu
berdamai. Kemudian Raja Kecik datang mengambil isterinya lalu bersumpah
di masjid.
Perang yang ketujuh:
Perang Raja Kecik melanggar
Riau berkubu di Pulau Bayan. Maka Raja Kecik pun alah juga lari ia pada
malam harinya. Adalah lama perangnya itu, iaitu dua hari pada Hijrat
tahun Jim sanat 1139 (tahun 1726).
Syahadan segala perang yang
tersebut itu, iaitu masa lagi hidup Opu Kelana Jaya Putera Yang
DiPertuan Muda yang pertama didalam Riau, lepas daripada itu, perang
masa Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pula.
Perang yang kedelapan:
Perang Raja Kecik melanggar Riau berlabuh di Penyengat tiada boleh
masuk, berperang pada tujuh belas haribulan Safar. Maka pada malam
Khamis, Raja Kecik alah maka lalu lari diikuti sampai ke Ungaran, pada
tahun 1150 (tahun 1737).
Perang yang kesembilan:
Perang Raja
Kecik menyuruh anaknya Raja Alam dan Daeng Matekkuh dan Raja Emas
melanggar negeri Riau membuat wangkang kota berjalan, berperang pada
lima belas haribulan Rabiul Awal. Maka apabila kepada delapan haribulan
Rabiul Akhir maka Raja Alam pun alah lah, lalu lari ke Siak, sanat 1161
(tahun 1748).
Perang yang kesepuluh:
Perang cucu Raja Kecik ,
iaitu Raja Ismail, dengan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di
Singapura (pada tahun 1764). Maka alah Raja Ismail. Maka perang ini
tiada dapat tarikhnya, melainkan siapa-siapa yang dibelakang akulah pula
memperbuatnya.
Syahadan adapun Daeng Kemboja Yang DiPertuan Muda
Riau, apabila selesailah daripada perang selat, amanlah Riau duduklah
dengan kesentosaan dengan beberapa masa.
Syahadan kata sahibul
hikayat pada satu masa Raja Haji Engku Kelana pun pergilah ke Selangor.
Maka bicaralah dengan paduka kekanda Raja Selangor mendudukkan paduka
anakanda Raja Ali, putera kekanda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja,
dengan anak paduka kekanda baginda yang bernama Raja Penuh. Maka
dinikahkanlah betapa adat istiadat anak Raja Raja nikah kahwin. Kemudian
berdamailah keduanya.
Syahadan tiada berapa lamanya didalam
Selangor maka Raja Haji pun berangkatlah ke Riau bersama paduka kekanda
Raja Selangor serta paduka anakanda Raja Ibrahim putera kekanda Raja
Selangor. Maka apabila sampai ke Riau, maka Raja Haji pun muafakatlah
dengan Yang DiPertuan Muda pada pekerjaan hendak menikahkan Raja Ibrahim
itu dengan Raja Andak puteri Yang DiPertuan Muda. Maka apabila sampai
waktu yang baik, nikahlah Raja Ibrahim itu, betapa adat Raja Raja nikah
kahwin. Maka berdamailah keduanya. Kemudian Raja Selangor pun belayarlah
balik ke Selangor”.
Pada tahun 1770, Raja Haji telah pergi ke
Selangor dan kemudiannya bersamasama dengan kekandanya Raja Lumu, Raja
Selangor telah berangkat bermain main ke Pangkor. Apabila Sultan Perak,
Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) mendengar khabar itu, lalu
disuruhnya lah segala orang besar besarnya mempersilakan Raja Lumu, Raja
Selangor dan Raja Haji masuk ke Perak kerana baginda mahu mengangkat
Raja Lumu, Raja Selangor itu menjadi Yang DiPertuan Besar di Selangor.
Apabila telah semua bersetuju akan muafakatnya, lalu Raja Lumu pun
ditabalkan dengan penuh adat istiadat penabalan oleh Sultan Perak,
Sultan Mahmud Shah Yang DiPertuan Besar Selangor bergelar Sultan
Salehuddin Shah.
(bersambung ke bahagian ke dua puluh tiga...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment