Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, February 13, 2016

21. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh satu ...

21. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh satu ...

Ancaman Siak – Terengganu Terhadap Riau

Rancangan Raja Ismail putera Almarhum Sultan Mahmud Siak dengan Yang DiPertuan Terengganu yang hendak menyerang Riau itu akhirnya sampai ke pengetahuan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Riau. Lalu Yang DiPertuan Muda pun membuat penyelidikan didalam Riau untuk mengetahui sama ada pihak Raja Raja Melayu akan menyebelahi nya atau tidak, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Didalam beberapa hari maka didapatinya lah jikalau datang Raja Ismail adalah suku suku Melayu belot sebelah Raja Ismail. Serta didapatinya rahsia rahsia Raja Raja Melayu itu member surat kepada Raja Kecik Terengganu serta didapatinya pula rahsia Raja Tua pihak Bugis akan belot juga dan ialah yang akan membakar gedung ubat bedil Yang DiPertuan Muda itu. Serta dapatlah sah akan orang yang hendak diupahnya itu.

Maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah kepada adinda adinda dan anakanda anakanda sekelian. “Tiadalah lain lagi isi perutnya suku suku Melayu hingga dengki dan khianat akan kita semua anak anak Bugis dan tiada berguna sumpah setianya. Beberapa kali kita semua sudah beralah serta beberapa kali kita semua maafkan serta kita sabarkan. Masih juga ia memperbuat laku yang demikian itu jua atas kita semua anak Bugis. Jikalau begitu, yang sebenarnya dia semua hendak menolak kita semualah dari tanah Johor ini, dan masa Marhum Batangan dahulu sudah juga kita keluar dari Riau ini tinggallah dia semua dengan Marhum batangan, tiada juga ia semua puas masih lagi diperbuatnya fitnah di atas kita, sampai kita semua huru-hara hampir-hampir pergi dengan nyawa kita. Kemudian Marhum Batangan pula memanggil kita semua anak Bugis dipulangkan setia lama dengan muafakat dengan dia semua juga dan pekerjaan yang telah lalu memperbuat diatas kita semua. Maka tiada kita jadikan panjang kita sabarkan juga yang dia masih juga lagi hendak mencari kebinasaan kita juga, dengan berbagai bagai fitnah lepas satu perkara satu perkara pula. Jika demikian tiadalah aku boleh tahan lagi, hendak kita tinggalkan balik ke Bugis, bagaimanalah halnya anak cucu Marhum Batangan sudah menjadi anak cucu kita. Sementelahnya Sultan Mahmud ini lagi kecil sangat, jika dipicit picitnya sedikit sedikit seorang pun mati, dengan sebab inilah menjadi aku bertahan hendak tinggalkan Yang DiPertuan Besar. Didalam hal begitu susahku, tiada pada lagi kepada dia semua masih lagi hendak dihumbatnya nyawa (dibunuhnya) kita. Jikalau begitu sekali ini aku perbuatlah mana mana yang jadi kebajikan kepada aku, tiada aku hiraukan lagi dan tiada lagi aku pedulikan jika benci marahnya, aku perbuat juga seperti kehendakku”.

Syahadan apabila selesai Yang DiPertuan Muda bertitah, maka lalu ia menyuruh sebuah kakap ke Selangor memberitahu paduka adinda Raja Selangor, dan sebuah kakap pula pergi ke Inderagiri memberitahu Raja Haji Engku Kelana. Maka suruhan kedua itupun belayarlah. Syahadan apabila suruhan itu lepas belayar, maka Yang DiPertuan Muda pun memanggil Raja Tua. Maka apabila sampai Raja Tua kehadapan Yang DiPertuan Muda, maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah, “Cih! Raja Tua, sampai hatinya hendak memperbuat saya hapus dengan nyawa sekali. Pada perasaan hati saya, Raja Tua dengan saya sehabis habis kita berkelahi dan berbantah, sehingga antara kita berdua sajalah sama-sama anak Bugis ini, sekarang anak Bugis sudah jadi anak Melayu. Maka sekarang ini, dan pada hari ini, sudah putuslah harap saya kepada Raja Tua dan hilanglah percaya saya kepada Raja Tua. Tiadalah saya menaruh percaya sekali sekali waktu ini kepada Raja Tua”.

Syahadan apabila Raja Tua mendengar titah Yang DiPertuan Muda itu, maka berubahlah mukanya serta malunya. Maka ia pun terdiam sejurus. Kemudia jawabnya, “Jikalau sudah Yang DiPertuan Muda tiada percaya akan patik, biarlah patik keluar dari negeri ini”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Mana suka Raja Tua, saya menyuruh keluar tidak dan menahan pun tidak, akan tetapi pada waktu ini sekali sekali tiada saya menaruh percaya kepada Raja Tua”. Setelah Raja Tua mendengar titah itu mangkin bertambah tambahlah kecil hatinya, lalu bermohon balik. Apabila ia sampai kerumahnya, maka bersiaplah ia akan perahunya. Maka apabila sudah siap, maka ia pun turunlah ke perahunya membawa bondanya dan anak isterinya, lalu belayar ke Pelembang.

Syahadan apabila sudah Raja Tua itu belayar, maka Yang DiPertuan Muda pun berjumpalah dengan Datuk Bendahara, maka berkatalah Yang DiPertuan Muda kepada Datuk Bendahara, “Adapun saya berjumpa dengan Orang Kaya ini, saya hendak berkhabar dengan sebenar benarnya, jangan Orang Kaya kecil-kecil hati. Adapun saya dapat khabar Raja Ismail anak Raja Buang hendak melanggar Riau ini. Apalah ikhtiar kita?”. Setelah Datuk Bendahara mendengar perkataan itu, maka ia pun terdiam sejurus. Kemudian jawabnya, “Pekerjaan itu pulanglah kepada Raja Muda mana mana yang baiknya, yang saya ini mengikut saja”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu kata Orang Kaya, baiklah. Akan tetapi saya minta dua perkara, pertama kita kumpulkan anak isteri kita kedalam semuanya selama lama saya berperang dengan Raja Ismail itu, dan Orang Kaya tinggal menunggu negeri, seorang pun jangan diberi suku suku Melayu membantu saya. Biarlah saya dengan suku suku Bugis saja. Kedua, mana mana senjata-senjata yang besar-besar didalam Riau ini, saya hendak ambil semuanya hendak ditaruh satu tempat, iaitu di Pulau Bayan. Jangan Orang Kaya kecil-kecil hati, jikalau ada senjata-senjata yang didalam tangan sanak saudara Orang Kaya sekalipun saya ambil juga ini hari, jika dengan jalan jadi perselisihan sekalipun, saya lakukan juga pekerjaan saya ini, Insya Allah taala”.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun baliklah. Apabila tiba ke istananya, ia pun menyuruhkan putera puteranya mengambil segala senjata yang besar-besar kepada pihak suku suku Melayu dengan kerasnya. Maka dikumpulkannya di Pulau Bayan. Kemudian disuruhnya jaga kepada orang orang Bugis, serta dipesankannya sepeninggalan ia keluar berperang apabila siapa-siapa hendak mengambil senjata-senjata itu jangan diberi, dan jikalau dikerasi lawanlah beramuk amuk. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun menyuruh bersiap segala kelengkapannya, ada kira kira lima puluh buah penjajab yang menanggung meriam serta sedia ubat pelurunya serta orang orangnya. Maka segala penjajab-penjajab itu semuanya beraturlah di laut Pulau Bayan itu sekadar menantikan musuh melawannya sahaja.

Syahadan adapun Raja Raja suku-suku Melayu yang perempuannya berkumpullah didalam istana Marhum Batangan itu, maka berkirim suratlah ia kepada Raja Ismail di Singapura didalam surat katanya:
‘Janganlah paduka anakanda datang dahulu melanggar Riau waktu ini. Carilah saja bicara tipu supaya boleh masuk ke dalam Riau dahulu, kerana waktu ini bonda-bonda semua dikumpulkan oleh Raja Muda kepada satu rumah. Maka apabila satu-satu hal tentulah bonda-bonda semua dibakarnya dan dibunuhnya’.
Syahadan kata sahibul hikayat apabila Raja Ismail mendengar surat itu, maka susahlah hatinya, serta susah pula akan Yang DiPertuan Terengganu dan Yang DiPertuan Siak belum juga datang. Maka Raja Ismail pun hairanlah serta dengan susahnya.

Sebermula adapun suruhan Yang DiPertuan Muda ke Selangor itupun sampailah. Maka dipersembahkannyalah kepada Raja Selangor hal ehwal di dalam Riau. Maka Raja Selangor pun menyuruh akan Punggawa Opu Nasti itu ke Riau. Maka belayarlah Punggawa itu ke Riau. Maka apabila tiba ke Singapura bertemulah ia dengan kelengkapan Raja Ismail. Maka Raja Ismail pun menyuruh memanggil Punggawa itu. Maka Punggawa pun datanglah ke kenaikan Raja Ismai itu. Maka kata Raja Ismail, “Punggawa maklumkanlah kepada ayah saya Yang DiPertuan Muda Riau itu, saya ini hendak masuk ke Riau kerana hendak ziarah kepada makam Marhum Batangan. Janganlah ayah saya itu sangka-sangka hendak khianat, tiada saya hendak membuat khianat kepada ayah saya itu. Dan lagi dahulu sekali saya hendak datang ke Riau, titah ayah saya tiada boleh masuk, sebab ayah saya itu sudah berjanji dengan Gebernur Melaka, musuh Kompeni Holanda musuh ayah saya, tiadalah jadi saya masuk ini, sekali pula saya minta kepada ayah saya itu, jikalau ayah saya tiada juga memberi, tanda ayah saya itu tiada hendak beranak-buahkan saya dan hendak beranak-buahkan Holanda lah”.

Syahadan setelah Punggawa mendengar titah Raja Ismail itu maka sembahnya, “Baiklah, tuanku”. Maka titah Raja Ismail, “Baiklah Punggawa mudik ke Riau itu bersampan sahajalah, perahu besar tinggalkan disini. Jikalau Punggawa mudik dengan perahu besar, tentulah lambat tiba ke Riau itu”. Maka Punggawa itupun belayarlah ke Riau dengan bersampan.

Apabila tiba dipersembahkannyalah maksud Raja Ismail itu kepada Yang DiPertuan Muda. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Kami tiada percaya Punggawa perkataan Raja Siak itu, kerana kerap mungkir lagi penipu, selangkan datuknya Raja Kecik beberapa kali sudah bersumpah di dalam masjid lagikan mungkir juga. Ini pula cucunya. Didalam pada itu baik Punggawa pergi semula bersama sama Daeng Madik dan Bandar Amin ke Singapura minta sumpahnya dahulu”.

Maka belayarlah Punggawa itu bersama sama Daeng Madik dan Bandar Amin. Apabila tiba ke Singapura, dipermaklumkannyalah seperti maksud Yang DiPertuan Muda itu. Maka titah Raja Ismail, “Baik Punggawa sekali lagi sembahkanlah kepada ayah saya itu bersumpah berAllah pun biarlah saya dihadapan ayah saya disana”. Setelah Punggawa mendengar titah Raja Ismail itu terdiam sejurus. Kemudian sembahnya, “Baiklah, tuanku”. Maka titah Raja Ismail, “Bersampan jugalah mudik ke Riau itu dan siapa siapa kepercayaan wakilkanlah menunggu perahu besar itu. Janganlah Punggawa khauatir- khauatir tiada saya hendak membuat pekerjaan yang tiada patut”. Maka sembah Punggawa, “Bandar Amin lah yang tinggal”. Maka Punggawa pun belayarlah bersama sama Daeng Madik ke Riau.

Syahadan apabila sudah ke Riau lah Punggawa itu maka Raja Ismail pun musyawarahlah dengan saudaranya Raja Abdullah. Maka Raja Abdullah pun berdatang sembah, “Baiklah kita serbu saja malam-malam ke dalam Riau itu, kita amuk saja kerana Bugis itu tentu tiada menyangka kerana kita lagi di dalam bicara”. Maka titah Raja Ismail, “Apabila kita belayar dari sini, tentu Bandar Amin itu mengikut”. Maka jawab Raja Abdullah, “Jikalau begitu baiklah Bandar Amin itu kita selesaikan dahulu”.

Maka Raja Abdullah pun menyuruh panggil Bandar Amin itu ke kenaikannya. Maka Bandar Amin pun datang, serta duduk baharu hendak menyembah. Maka Raja Abdullah pun menagkap. Maka apabila Bandar Amin merasa dirinya tertangkap maka ia pun berteriakkan budak sampannya, katanya, ”Pergilah engkau kepada Raja Negara minta sampaikan ke Riau hal aku ini”, serta dilemparkannya cincinnya kepada budak itu. Maka budak itupun berkayuhlah ke Riau. Adapun Bandar Amin dibawa oleh Raja Abdullah ke haluan kanaikannya itu, lalu dikeratnya kepalanya digantungnya di juang-juang (diburitan kapal) kenaikkan itu.
Syahadan adapun perahu-perahu Punggawa apabila ia melihat hal itu, maka ia pun mengisi meriamnya. Maka lalulah berbedil-bedilan legum-legam. Maka dikerumuni oleh beberapa kelengkapan Siak, maka Bugis-Bugis pun mengamuklah dengan pemburasnya. Maka perahu-perahu Bugis pun dapatlah oleh kelengkapan Siak.
Syahadan budak Bandar Amin pun tiba di Riau lalu memaklumkannyalah hal itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun sangatlah marahnya, maka lalu disuruhnya puteranya Raja Abdul Samad dan Raja Andut dan lainnya melanggar Raja Ismail. Maka pergilah putera-putera Yang DiPertuan Muda itu dan Yang DiPertuan Muda mengikut dari belakang.

Adapun Raja Andut dan Raja Abdul Samad apabila tiba ke Singapura maka lalu berperang dengan Raja Ismail, sangatlah azamat bunyinya. Maka seketika berperang itu, maka kelengkapan Siak pun undurlah ke Tanah Merah. Maka Yang DiPertuan Muda pun tiba pula ke selat lalu dipintasnya ke Tanah Merah. Maka apabila berjumpa kedua pihak itu, lalulah berperang besar pula. Maka Bugis pun turun ke sampannya membawa pemburas dan terakulnya. Maka dirapatnya dibedilnya sebelah peminggang kelengkapan Siak seperti bunyi bertih, bunyi senapang dan pemburas itu. Maka banyaklah kelengkapan Siak binasa dan tenggelam. Maka lalu ia undur berpecah-belah kesana ke mari dan kenaikan Yang DiPertuan Raja Ismail pun patah tiangnya, lalulah undur, hendak diikut oleh panglima-panglimanya orang Bugis-Bugis itu, maka dilarang oleh Yang DiPertuan Muda.

Adapun perahu Raja Abdullah pun terkepung, lalu dibedil Bugis dengan meriam dan dua orang panglima Raja Abdullah yang berani didalam perahu itu, seorang bernama Kadim, dan seorang bernama Tala. Maka Bugis pun merapatkan perahunya dengan perahu Raja Abdullah itu, sambil dibedilnya dengan meriam dan senapang pemburasnya. Maka Panglima Kadim pun kena peluru penabur meriam, patah sebelah pahanya. Syahadan seketika itu kakap penyuruhan Raja Ismail mengambil Raja Abdullah. Maka hendak dibedil oleh Bugis, dilarang pula oleh Yang DiPertuan Muda, titahnya, “Biarlah Raja Abdullah lepas kerana segala Raja Raja itu sedaulat. Apa boleh buat jika kena didalam peperangan?”. Adapun Raja Abdullah tiada mau undur, maka lalu ditangkap dipeluk oleh Raja Negara dengan Raja Helang dibawanya turun ke kakap panjang itu lalu berdayung mendapatkan kenaikan Raja Ismail. Syahadan pada ketika ia di bawa turun kakap itu, maka dibukakan pending emas daripada pinggangnya lalu dicampakkannya, katanya tanda perahu Raja.

Syahadan apabila Raja Abdullah itu lepas, maka panglima Bugis pun naiklah ke perahu Raja Abdullah itu serta tiba lalulah bertikam dengan Panglima Tala dan Panglima Kadim. Maka tertangkaplah keduanya itu oleh Bugis. Maka titah Yang DiPertuan Muda menyuruh tendas kedua panglima itu, suruh gantung dibawah juang-juang sebagaimana Raja Abdullah memperbuat Bandar Amin, begitu juga diperbuat.

Syahadan alah Raja Ismail, maka larilah ia balik ke Siak. Maka tiada pula diterima oleh Yang DiPertuan Muhammad Ali akan Raja Ismail itu masuk ke Siak kerana ia telah berjanji dengan Kompeni Holanda tiada boleh menerima musuhnya masuk ke Siak.

Syahadan Raja Ismail pun merayaulah ke sana ke mari hendak mencari kekuatan, niatnya hendak mengambil negeri Siak dari tangan saudaranya Raja Muhammad Ali itu.

Kemudian Raja Ismail pun belayarlah ke Pelembang, maka tetaplah ia di Pelembang di pelihara oleh Sultan Pelembang serta ditolongnya belanja-belanja mana-mana kadarnya adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh dua...)


No comments:

Post a Comment