Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, February 28, 2016

23. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 hahagian ke dua puluh tiga...

23. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh tiga...

Peristiwa- peristiwa di Kedah dan Trengganu

Peristiwa- peristiwa di Kedah dan Trengganu yang berlaku sekitar awal tahun 1770an seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Kedah ada menaruh putera seorang laki-laki yang bernama Raja Abdullah. Maka ia pun meminang akan puteri Yang DiPertuan Selangor yang bernama Tengku Besar. Maka diterimalah oleh Yang DiPertuan Selangor.

Syahadan Yang DiPertuan Kedah pun datanglah membawa puteranya Raja Abdullah serta orang besar-besarnya. Maka nikahlah Raja Abdullah itu, betapa adat Raja Raja nikah kahwin. Kemudian berdamailah ia. Syahadan apabila telah selesai lah pekerjaan itu, maka Yang DiPertuan Kedah pun belayarlah balik ke Kedah serta orang besar-besarnya.

Syahadan ada kira kira tiga bulan Raja Abdullah itu pun bermohonlah kepada Yang DiPertuan Selangor hendak balik ke Kedah. Maka dilepaskanlah oleh Yang DiPertuan Selangor. Maka Raja Abdullah pun baliklah ke Kedah duduklah ia beberapa lama di Kedah, Kemudian balik pula ia ke Selangor.

Syahadan tiada berapa lamanya Raja Abdullah itu didalam Selangor, maka ia pun bermohonlah pula hendak balik ke Kedah. Maka titah Yang DiPertuan Selangor, “Baiklah, akan tetapi hendak berjanji berapa lamanya datang”. Maka sembah Raja Abdullah, “Tiga bulan patik datang mengadap”. Maka jawab Yang DiPertuan Selangor, “Jika tiada datang apa bicara?”. Maka sembah Raja Abdullah, “Mana-mana titahlah”. Kemudian maka Raja Abdullah pun belayarlah ke Kedah. Syahadan sampailah tiga bulan tiada ia datang ke Selangor. Maka lalu dipisahkan oleh Yang DiPertuan Selangor akan Raja Abdullah itu.

Alkisah maka tersebut perkataan Raja Ismail didalam negeri Pelembang. Maka tida berapa lamanya ia di Pelembang maka ia pun bermohonlah kepada Sultan Pelembang hendak keluar. Maka dibekalkan oleh Sultan Pelembang dengan wang dan harta ala kadarnya. Maka belayarlah Raja Ismail itu ke Tambelan, singgahlah ia mengambil anak isterinya dan saudara saudaranya yang perempuan di Tambelan. Kemudian belayar pula ke Siantan.

Syahadan adalah pada masa itu menjadi orang besar di Siantan, iaitu orang Kaya Dewa Perkasa. Maka tatkala didengarnya Raja Ismail itu akan datang ke Siantan, maka ia pun bersiap-siaplah membuat kubu. Adalah fikirnya itu, apabila Raja Ismail datang membuat haru-biru, hendak dilawannya berperang. Syahadan khabar itupun sampailah kepada Raja Ismail. Maka marahlah ia. Kemudian disuruhnya panggil titahnya, khabarkan kepada Dewa Perkasa dia hendak berjumpa sebentar, hendak berpesan kerana ia hendak lekas ke Trengganu hari itu juga.


Setelah Dewa Perkasa mendengar kata suruhan itu maka ia pun percayalah, maka segeralah ia datang mengadap. Maka apabila sampai ke haluan kenaikannya itu, maka Dewa Perkasa pun diperamai-ramaikan oleh panglima-panglima Raja Ismail. Apabila telah mati, maka disuruh Raja Ismail hantarkan mayat itu ke rumah anak bininya.

Syahadan adapun anak bininya dan kaum kerabat Dewa Perkasa apabila ia semua melihatkan mayat Dewa Perkasa itu, maka terkejutlah semuanya sambil meratap riuh-rendah. Maka gemparlah didalam Siantan mengatakan Dewa Perkasa sudah mati dibunuh oleh Raja Ismail. Maka huru-haralah Siantan, ada setengah hendak melawan, ada setengah hendak lari takut dibedil oleh Raja Ismail. Maka Raja Ismail pun menyuruh khabarkan kepada orang orang Siantan, “Janganlah khuatir-khuatir, yang salahlah diperbuat dan yang tidak salah tiadalah diperbuat”. Maka orang orang Siantan pun diamlah serta takutnya. Kemudian lalu dihukumnya sekelian orang orang Siantan itu dengan harta benda dan wang.

Syahadan apabila Raja Ismail itu sudah banyak dapat harta di Siantan maka ia pun belayar ke Trengganu. Maka apabila sampai ke Trengganu diberilah oleh Yang DiPertuan Trengganu sebuah kampong tempat Raja Ismail. Syahadan apabila sudah tetaplah Raja Ismail itu didalam Trengganu maka meminanglah Raja Ismail itu akan puteri Yang DiPertuan Trengganu itu. Maka apabila sampai waktunya maka Yang DiPertuan Trengganu pun menikahkan Raja Ismail itu dengan puterinya betapa adat istiadat Raja besar-besar nikah kahwin. Kemudian berdamailah keduanya betapa adat orang laki isteri.

Kemudian kata sahibul hikayat, kemudian daripada itu maka jatuhlah perselisihan negeri Trengganu dengan negeri Kelantan. Maka menyuruhlah Yang DiPertuan Trengganu seratus buah kelengkapan melanggar Kelantan. Maka berperanglah orang Trengganu dengan orang Kelantan. Maka hendak tewaslah orang Trengganu itu, maka memberi suratlah hulubalang Trengganu itu kepada Yang DiPertuan Trengganu minta bantu. Maka apabila ia mendengar bunyi surat dari Kelantan itu, maka susahlah hatinya. Maka ia pun memanggil Raja Ismail Siak minta bantu. Maka sembah Raja Ismail, “Baiklah, Tuanku”. Syahadan maka Yang DiPertuan Trengganu pun berangkatlah bergajah dan Raja Ismail pun bersama-samalah pergi. Adalah rakyat yang mengiring itu ada kira kira tiga ribu. Maka tiada berapa hari sampailah ke Kelantan.

Maka apabila dekat dengan kubunya maka orang-orang Kelantan pun menyongsong dengan lembingnya. Maka lalulah berperang, bertikamkan kerisnya. Maka orang Trengganu pun undur. Maka marahlah Raja Ismail itu, maka disuruhnya marakan gajahnya. Maka Raja Ismail pun menyuruh orang orang Trengganu berhenti dan menyuruh pula orang orang Siak mara dengan pemburasnya. Maka maralah orang orang Siak itu sambil membedilkan pemburasnya, seketika lagi orang-orang Kelantan pun undurlah.

Syahadan maka apabila keesokkan harinya, maka orang-orang Trengganu pun melanggarlah kubu-kubu orang-orang Kelantan. Adalah banyak kubunya itu tengah tiga puluh (25) yang besarnya satu. Adalah orang melanggarnya lima ribu. Syahadan apabila orang Kelantan melihat orang-orang Trengganu itu, maka dilembingnyalah. Maka maralah orang orang Trengganu itu maka dibedil oleh orang orang Kelantan dengan rentakanya. Maka tiadalah terdekat oleh orang Trengganu maka dikeluarkan pula oleh orang Kelantan. Maka undurlah orang Trengganu itu.

Syahadan setelah Raja Ismail melihat hal yang demikian itu, maka ia menyuruh saudaranya Raja Musa membawa petikaman Siak tengah dua ratus (150) orang ada yang membawa pemburas dan ada yang membawa pedang dan perisai. Maka berlarilah orang Siak menempuh, maka dibedil oleh orang Kelantan dengan rentakanya dan senapangnya, tiada juga dipedulikan oleh orang orang Siak. Maka Raja Musa berkata, “Rapat! Rapat!”. Syahadan apabila sampai ke kaki kubunya maka baharulah orang-orang Siak itu mengempur dan melompat kedalam kubunya, baharulah membedilkan pemburasnya dan memecahkan silat pencaknya. Maka banyaklah orang-orang Kelantan itu mati. Maka mana-mana yang hidup larilah berterjunan dan berhamburan dari dalam kubunya. Maka dapatlah segala kubu-kubu orang-orang Kelantan itu oleh orang-orang Siak dan negeri Kelantan pun alahlah. Maka Raja Ismail pun memaklumkan kepada Yang DiPertuan Trengganu mengatakan, “Kelantan sudah alah”. Maka Yang DiPertuan Trengganu pun terlalu sukanya serta memuji-muji Raja Ismail itu.

Kemudian tiada berapa lama, maka Yang DiPertuan Trengganu pun menanggil Raja Kelantan. Apabila datang maka dipulangkan Kerajaannya serta dengan sumpah setianya. Syahadan duduklah Raja Ismail itu didalam Trengganu dengan kemuliaannya.

Syahadan kata sahibul hikayat tiada berapa lamanya Raja Ismail itu didalam Trengganu maka berkehendaklah ia melanggar negeri Siak. Maka bermohanlah ia kepada Yang DiPertuan Trengganu hendak ke Siak. Maka dilepaskan oleh Yang DiPertuan Trengganu. Maka ia pun belayarlah ke Tanah Putih, bersiaplah ia disitu dan menyuruhlah ia ke Kedah dan Selangor minta bantuan. Kemudian pergi pula ke Pelembang, kemudian balik semula ia ke Tanah Putih adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh empat...)

1 comment:

  1. Salam..nk tanya..tuan tahu tak siapa raja kechik yg pernah duduk di istana kg baru suatu masa dahulu?

    ReplyDelete