Belanda Menuntut Gantirugi Perang
Pada tahun 1761, apabila Gebernur Belanda di Melaka mendengar negeri Riau sudah makmur maka dia pun menghantar satu kapal perangnya ke Riau untuk menuntut wang pembayaran gantirugi perang yang telah dipersetujui oleh almarhum Sultan Sulaiman dahulu. Kapal perang Belanda itu pun belayarlah ke Riau seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Maka apabila tiba di Riau ditunggunya (dituntutnya hutang) kepada Sultan Ahmad yang lagi belum remaja putera itu. Maka kesusahanlah Bendahara semua. Maka lalu Bendahara serta suku Melayu semuanya mendapatkan Yang DiPertuan Muda Daeng Komboja.
Maka Kapitan kapal pergi pula mendapatkan Datuk Bendahara semua di tengah istana Yang DiPertuan Muda. Maka ditunggulah pula di situ pada hadapan orang orang ramai itu. Maka titah Yang DiPertuan Muda kepada Kapitan Kapal itu, “Jikalau sudah terbit wang Kompeni melanggar kita itu, wang belanja belanja kita melawan Kompeni di Linggi, dan belanja kita melanggar Kompeni di Melaka, siapa pula kita tunggu (tuntut)”. Maka Kapitan itupun tersenyum, seraya katanya, “Betul Tuan Raja Muda punya perkataan”. Syahadan maka Datuk Bendahara pun tertunduklah. Kemudian bertitah Yang DiPertuan Muda kepada Datuk Bendahara serta suku Melayu, “Apalah bicara kita sekelian?”. Maka jawab Datuk Bendahara, “Apalah yang saya semua hendak bayarkan, maka segala pekerjaan itu pulanglah kepada Raja Muda”. Maka titah Yang DiPertuan Muda, “Sungguh sungguh Bendahara tiada terdaya lagi dan tiada terhelahkan lagi?”. Maka jawab Bendahara, “Sungguhlah Raja Muda”. Maka Kapitan kapal itu pun tertawa seraja katanya, “Jikalau sudah Tuan Bendahara dan lainnya, tiada dapat lagi membayarnya, baiklah anak Raja dua orang itu serahkan kepada kita”.
Syahadan apabila Datuk Bendahara mendengar kata Kapitan kapal itu, kesesakanlah ia, sebab tiada dapat tempat hendak musyawarah lagi dan Raja Kecik Terengganu pun sudah balik ke Terengganu, kerana ia punya honar sampai jadi demikian itu. Maka berkata pula Bendahara kepada Yang DiPertuan Muda, “Allah! Allah! Janganlah abang kenangkan saya semua ini, melainkan abang pandang sajalah kepada intan gemala kita, yang piatu itu daripada waris amanah pertaruhan Marhum kepada abang serta saya semua ini. Adapun Johor dan Riau serta segala takluk daerahnya dipulangkan kepada abang dan abanglah memerintahnya serta kaum abang selama lamanya dengan muafakat serta tulis ikhlas, relalah saya semuanya kepada abang adik beradik, anak beranak”.
Syahadan apabila Yang DiPertuan Muda mendengar kata Datuk Bendahara dan sekelian Raja Raja Melayu itu, maka titah Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu kata Orang Kaya semua, Insya Allah Taala, sayalah yang membayarnya hutang Marhum itu. Jalan saya tergadai kain di pinggang sekalipun, relalah saya adik beradik, anak beranak terjual kepala dengan sebab mengenangkan intan gemala yang dua butir itu”. Kemudian bertitah pula Yang DiPertuan Muda kepada Kapitan kapal itu, “Adapun dari hutang hutang Marhum itu kitalah membayarnya dan kita minta tempoh tiga bulan ke empat. Maka apabila sampai tiga bulan keempatnya, maka datanglah terima ke Riau ini”. Maka Kapitan kapal pun lalu memberi selamat kepada Yang DiPertuan Muda, maka lalulah ia turun ke kapalnya selalu (langsung) ke Melaka.

Syahadan apabila sampai tempoh tiga bulan ke empatnya, maka datanglah Kapitan kapal itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun mendapatkan Sultan Ahmad, kerana baginda itu diam di Kampung Bulang serta mengumpulkan Bendahara dan Temenggung serta Raja Raja suku sebelah Melayu. Maka berkumpulkan lah sekeliannya dihadapan Sultan Ahmad. Maka pada ketika itu berbayarlah Yang DiPertuan Muda akan hutang Marhum itu dihadapan Raja Raja dan orang besar besar. Maka adalah banyaknya tujuh laksa tujuh ribu, tujuh ratus tujuh puluh (77,770) ringgit.
Syahadan apabila sudah berbayarlah hutang hutang itu maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah dengan air matanya, “Cih! Orang Kaya apa boleh buat? Sudah jadi daging darah busuk hanyir pun apalah yang hendak dikata lagi? Jikalau sekira kiranya tidak inilah ketikanya, saya menghalai- balaikan negeri Riau ini. Cih! Sampai hatinya memperbuat saya semua anak anak Bugis sekelian sampai sudah begini pula jadinya, seperti pantun orang tua tua:
“Tinggi bukit Sukadana,
Tempat bertanam halia padi,
Sakitnya muda kena bencana,
Sebarang kerja tidak menjadi”.
Setelah Datuk Bendahara mendengar pantun Yang DiPertuan Muda itu, maka ia pun tertunduklah, dan segala Raja Raja suku suku Melayu terdiamlah semuanya.
Syahadan apabila selesai daripada membayar hutang itu maka dengan takdir Allah Taala, maka Sultan Ahmad pun geringlah. Maka tiada beberapa hari geringnya itu maka mangkat lah ia. Maka Yang DiPertuan Muda serta Datuk Bendahara pun mengerjakanlah jenazah Sultan Ahmad itu. Maka apabila selesai dimandikan dan dikapankan dan disembahyangkan, maka dimakamkanlah betapa adat Raja yang besar besar mangkat.
Maka apabila selesai daripada mengkuburkan Sultan Ahmad itu, maka musyawarahlah Yang DiPertuan Muda serta Datuk Bendahara serta suku suku sebelah Melayu dan suku Bugis akan ganti Marhum Sultan Ahmad itu. Syahadan adapun sebelah suku suku Melayu dipilihnya saudara saudara Marhum DiBaruh, seperti Tengku Abdul Kadir dan Tengku Othman dan Tengku Buang. Adapun suku suku pihak Bugis adalah yang dipilihnya anak yang gaharalah, Raja Mahmud, putera Marhum DiBaruh dengan Tengku Putih. Maka hal itu didalam bersalah salahanlah maksud antara kedua pihak. Maka Datuk Bendahara pun mengajak Yang DiPertuan Muda sama sama memilih, sama sama menunjuk dihadapan kedua dua pihak. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Baiklah esok hari berkumpullah kita”.

Maka sembah Raja Haji, “Jikalau sudah fikiran Orang Kaya Bendahara itu, kita pun hendak juga menunjukkan laki laki kita jua kepadanya”. Maka titah Yang DiPertuan Muda, “Fikiran abang demikian jua. Baiklah beritahu Bendahara, baiklah sediakan singgahsana memang dibalairung. Nanti apabila sudah tentu pemilihan kita kedua pihak, kita naikkan sekalilah ke singgahsana, selalulah kita menjunjung duli sekali”. Syahadan maka Raja haji pun menyuruhlah kepada Datuk Bendahara, maka jawabnya, “Baiklah”.
Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun memberilah perintah kepada Bugis Bugis itu alat pertikaman. Maka segala Raja Raja Bugis dan Bugis Bugis jati pun bersiaplah semua seperti siap menghadapi musuh. Syahadan apabila keesokkan harinya maka berkumpullah segala Raja Raja suku Melayu serta berkain lepas dan berpendawa (berkeris) semuanya dan Bugis Bugis dengan segala anak Rajanya pun datang berkumpul, dengan memakai seluar sampak bertondera batung semuanya, berpendawa juga dengan kelewangannya dan halamangnya. Maka duduklah berhadap hadapan.
Seketika lagi maka Yang DiPertuan Muda berangkatlah naik ke istana lalu didukungnya Raja Mahmud, dibawanya turun kebalai lalu diribanya diatas singgahsana. Setelah anak Raja Raja Bugis melihat hal Yang DiPertuan Muda itu, maka sekeliannya pun memegang hulu kerisnya. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertirah, ‘Barang tahu kiranya suku suku Melayu dan suku suku Bugis, bahawa sesungguhnya inilah Raja Johor, dengan segala takluk daerahnya yang diangkat oleh Bugis. Maka barangsiapa tiada membetuli aturan ini, maka pada hari inilah kita berhabis habis”. Maka lalu ia menghunus halamangnya.
Syahadan setelah Datuk Bendahara melihat hal yang demikian itu, maka terbaliklah mukanya. Maka Datuk Bendahara pun berfikir, “Jikalau tidak dibetulkan (dipersetujui) tentu rosak negeri ini tiada faedahnya”. Maka ia pun bersabda katanya, “Jikalau sudah patut pada abang semua Raja Mahmud ini menjadi Raja Johor, maka saya semua pun sertalah”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu, Alhamdulillah semua sama betul muafakat”. Maka lalu diajaknya antara kedua pihak sama sama menjunjung duli. Maka menjunjung dulilah kedua pihak. Kemudia baharu bersetia pula adanya”.
(bersambung ke bahagian ke dua puluh...)
No comments:
Post a Comment