Pada awal tahun 1724, adinda
Raja Kedah (Raja Nambang) yang kalah berperang dengan kekandanya Raja
Kedah (Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II) kerana
dibantu oleh angkatan perang Bugis pimpinan Yang DiPertuan Muda Opu
Daeng Merewah serta saudara saudaranya, telah meminta bantuan kepada
Raja Kecik di Siak, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis
seperti berikut:-
Alkisah tersebutlah perkataan Raja Kedah yang
mudanya yang perang dengan saudara tuanya itu yang dibantu oleh Yang
DiPertuan Muda Riau itu. Maka tiadalah senang hatinya, maka didapatnya
pula kuasa berkehendaklah ia pada memerangi akan saudaranya itu. Maka ia
pun menyuruh ke Siak minta perbantuan kepada Raja Kecik. Maka Raja
Kecik pun datanglah keKedah hendak membantu Raja Kedah yang muda itu.
Maka didalam hal itu Raja Kecik pun diberi oleh Raja Kedah yang muda itu
isteri, iaitu saudaranya. Maka nikahlah Raja Kecik itu. Syahadan adapun
Yang DiPertuan Kedah yang tua itu, apabila ia melihat hal itu, maka
menyuruhlah ia ke Riau minta bantu pula kepada Yang DiPertuan Muda Riau
serta segala Opu Opu itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun pergilah serta
saudaranya ke Kedah.
Syahadan kata sahibul hikayat sepeninggalan
Yang DiPertuan Muda berangkat ke Kedah itu maka Sultan Sulaiman pun
bersalah salahan faham dengan anak anak Bugis di dalam Riau itu, maka
baginda itu pun berlayarlah ke Kampar. Maka berhentilah ia di Kampar.
Sebermula adapun Yang DiPertuan Muda serta saudaranya berbicaralah ia
hendak membaikkan Raja Kedah yang dua beradik itu. Maka mengajaklah ia
akan Raja Kecik muafakat. Maka tiada dihiraukan oleh Raja Kecik, masih
hendak juga mencari jalan pergaduhan. Maka di dalam hal itu marahlah
Yang DiPertuan Muda, maka lalulah berperang besar Raja Kecik dengan Yang
DiPertuan Muda serta saudaranya bersama sama membuat kubu sebelah
menyebelah.
Maka berperanglah antara kedua pihak itu berambil
ambil kubu, sebentar kubu orang Siak diambil oleh Bugis sebab dimasuki
oleh Opu Daeng Perani serta juaknya, lalulah diamuknya. Maka Raja Kecik
pun berterjunlah dari dalam kubunya kepada parit air yang pada tepi
kubunya itu bersama sama dengan panglimanya dan Panglima Dalam dibawah,
baginda itu diatas, lalulah berenang keseberang mendapatkan kubunya yang
diseberang itu. Maka apabila sampai ia keseberang maka bermuafakat
dengan seorang hulubalangnya yang bernama Panglima Yahya anak Makassar.
Maka ketika malam Panglima Yahya pun menyobuklah masuk kedalam kubu
Bugis itu lalu diamuknya. Maka terkejutlah segala Bugis Bugis didalam
kubu itu terpikau pikau. Maka lalulah beramuk, bermati matian, maka
dapatlah kubu Raja Kecik itu semula.
Syahadan tiada berapa
diantaranya maka kelengkapan Yang DiPertuan Muda serta Opu Opu itu pun
mudiklah hendak melanggar kubu Raja Kecik sebelah hulunya. Maka apabila
sampai ke kota hulunya itu maka lalu berperang sangat ramainya , serta
gegak gempitanya berbedil bedilan dengan meriam dan rentaka serta sorak
tempeknya. Maka dengan takdir Allah Taala serta dengan sudah sampai
janjiNya, maka Opu Daeng Parani pun kenalah peluru meriam tentang
dadanya. Maka ia pun mangkatlah diatas beranda gurabnya dengan nama laki
laki, kerana waktu ia berperang besar itu ia bersiar siar diatas
beranda gurabnya kerana memerintahkan segala orang orang berperang itu.
Syahadan apabila Yang DiPertuan Muda serta Opu Daeng Cellak melihat
paduka kekandanya sudah hilang itu, maka Yang DiPertuan Muda serta Opu
Opu pun naiklah semuanya kedarat mengamuk kubu kubu Raja Kecik dan kubu
Raja Kedah yang muda itu, dan Rumah Raja Kecik itu. Maka lalulah beramuk
amukan, sebelah menyebelah. Maka seketika lagi tewaslah Raja Kecik itu,
kerana banyak Panglimanya itu mati. Maka lalulah ia undur dan kampong
itu pun banyaklah rosak binasa. Maka Raja Kecik pun larilah lalu ia
balik ke Siak.
Adapun Yang DiPertuan Muda serta Raja Tua maka
sudah Raja Kecik itu alah, dimakamkan nya lah mayat Opu Daeng Parani itu
betapa adat istiadat Raja Raja mangkat. Maka apabila selesai daripada
pekerjaan perang itu, maka Yang DiPertuan Muda pun minta dirilah kepada
Yang DiPertuan Kedah balik ke Riau.
Syahadan maka didalam
pelayaran itu maka dapatlah khabar Yang DiPertuan Muda akan Sultan
Sulaiman ada di Kampar, maka Yang DiPertuan Muda pun singgahlah di
Kampar lalu membawa Sultan Sulaiman bersama sama balik ke Riau.
Maka apabila sampailah baginda bertiga saudara itu ke Riau, maka
tetaplah ia didalam Riau bicara meramaikan negeri Riau dengan
perdagangan serta mengukuhkan negeri dengan berbuat kubu kubu serta
menyediakan beberapa kelengkapan penjajab perang, serta disediakan
dengan orang orangnya dan ubat pelurunya, demikianlah halnya. Syahadan
adalah jatuh perang Kedah yang kemudian ini pada Hijrah sanat 1136
adanya (bersamaan tahun masihi 1724).
Sebermula kata sahibul
hikayat adalah kira kira renggangnya setahun daripada perang Kedah itu,
maka Raja Kecik pun datang pula melanggar Riau iaitu pada Hijrat sanat
1137, pada Sembilan likur haribulan Syaaban (bersamaan 22 April tahun
1725 masihi). Maka berperanglah orang Riau dengan orang Siak tiap tiap
hari, sebentar berperang sebentar berhenti. Terkadang Raja Kecik pergi
mendapatkan isterinya Tengku Kamariah, terjumpa dengan Opu Daeng Cellak
itu, makan minum sama sama. Apabila balik ke kubunya berperang semula,
demikianlah halnya hingga sampai kepada dua puluh haribulan Zulhijjah
(bersamaan 28 Ogos). Maka kesusahanlah segala isi negeri, maka
muafakatlah segala orang tua tua dan orang besar besar memohonkan Yang
DiPertuan Muda serta Raja Kecik itu supaya berdamai. Maka berdamailah
kedua pihak, maka berhentilah perang.
Maka Raja Kecik pun
baliklah ke Siak. Maka duduklah ia dalam Siak menyiapkan kelengkapan
perangnya dengan beberapa buah penjajab, demikianlah halnya tiap tiap
hari diaturnya lah perang segala penjajabnya itu didalam Siak dengan
sedia ubat pelurunya,
Syahadan pada Hijrat sanat 1138 (bersamaan
tahun 1726 masihi), masa itulah turun sultan Khalifah Allah Muhammad
Syah ke Kampar, lalu menyuratkan sumpah setia antara Raja Pagar Ruyung
dengan Raja Johor dan anak Minangkabau yang di Persisiran Laut. Adapun
bunyi setia itu, “Barangsiapa anak Minangkabau yang didalam pertawanan
Johor hendaklah mengikut perintahan Johor. Barangsiapa tiada mengikut,
dimakan sumpah besi kawi tiada selamat sampai kepada anak cucunya”,
Syahadan adalah surat itu diperbuat tiga pucuk, pertama kepada Sultan
Sulaiman dan kedua kepada Yang DiPertuan Muda dan yang ketiga kepada
Raja Tua (Daeng Menampuk).
Syahadan adapun Raja Kecik apabila
sudah anak Minangkabau itu bersetia dengan Yang DiPertuan Muda, maka ia
pun datanglah ke Riau dengan tiada angkatan perang masuk kedalam Riau
mengadap Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda, memohonkan isterinya
Tengku Kamariah itu hendak dibawa ke Siak, serta berkhabar tiada berniat
salah lagi kepada Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda. Maka
diterimalah oleh Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda. Maka diajak
oleh Sultan Sulaiman bersumpah didalam masjid. Maka bersumpah lah ia.
Adapun sumpahnya demikian bunyinya: apabila ia berniat salah lagi
membuat perkelahian dengan Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda,
melainkan ia tiada mendapat selamat seumur hidupnya sampai kepada anak
cucunya binasa hilang daulat kerajaan, seperti tembatu dibelah, serta
dimakan besi kawi. Syahadan apabila sudah bersumpah setia itu, maka Raja
Kecik pun bermohonlah balik ke Siak, membawa isterinya.
Apabila
tiba di Siak, tiada berapa antaranya pada Hijrat sanat 1139, maka
mungkirlah pula ia akan sumpahnya itu, kerana pada sangkanya alah juga
Riau itu olehnya. Maka bersiaplah ia beberapa kelengkapan. Setelah siap
maka pergilah ia ke Riau. Maka diserbunya ke dalam Riau lalu ia berkubu
di Pulau Bayan, segala kelengkapannya pun masuk ke dalan Riau
menghadapkan haluannya ke hulu. Maka Yang DiPertuan Muda pun menyuruh
hilirkan penjajabnya yang sudah sedia didalam sungai itu disuruhnya
berperang dengan Raja Kecik dan beberapa pula sampan sampan Bugis
dititahkan oleh Yang DiPertuan Muda itu keluar dari terusan memintas
dari sebelah kuala Riau, mengamuk daripada pihak belakang kelengkapan
Raja Kecik itu.
Syahadan maka berperanglah antara kedua pehak
itu. Ada kira kira dua hari maka Raja Kecik pun alahlah kerana banyak
orang orangnya binasa, sebab dipintas oleh Bugis dengan sampannya malam
malam diamuk oleh Bugis itu dari sebelah belakangnya. Maka tiada
berketentuan lagi pada malam itu, ianya lari lalu balik ke Siak. Maka
pada masa inilah beras mahal didalam Riau berharga enam cupak seemas,
sebab negeri selalu gaduh.
Syahadan kata sahibul hikayat lepas
daripada perang inilah, Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda menyuruh
Raja Tua (Daeng Menampuk) ke Terengganu meRajakan Tun Zainul Abidin,
bergelar Sultan Zainul Abidin Raja Terengganu. Maka apabila selesai Raja
Tua (Daeng Menampuk) pun baliklah ke Riau”.
Sejak tahun 1726
masihi itu, bermula lah Kesultanan Terengganu. Sultan Zainul Abidin
adalah adinda kepada almarhun Sultan Abdul Jalil Syah yang mangkat di
Kuala Pahang dan merupakan ayahanda saudara kepada Sultan Sulaiman
Badrul Alam Syah.
(bersambung ke bahagian ke sembilan...)
Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment