Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, November 15, 2015

7. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke tujuh...

Pada tahun 1723, tidak berapa lama setelah penabalan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah serta Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah memerintah Kerajaan Johor, Riau dan Pahang dengan segala takluk daerahnya, Opu Daeng Perani pun bermohonlah kepada Sultan Sulaiman dan Yang DiPertuan Muda hendak pergi ke Selangor. Maka di perkenankanlah oleh paduka adinda kedua itu. Lalu berangkatlah Opu Daeng Perani berserta dengan dua orang saudaranya iatu Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi, dengan seorang sebuah perahunya.

Apabila sampai di Selangor, Opu Daeng Perani pun beristerikan Tengku Puan Berima, puteri Yang DiPertuan Selangor iaitu seorang Raja Bugis yang berasal Goa ditanah Bugis bernama Arong Pasarai. Semasa di Selangor inilah, datang utusan daripada Raja Kedah (Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II), membawa surat meminta bantuan kepada Opu Daeng Perani kerana Kerajaannya telah dirampas oleh adindanya (Raja Nambang). Lalu dibalas oleh Opu Daeng Perani akan surat Raja Kedah itu meminta tangguh kerana hendak balik dulu ke Riau untuk bermuafakat dulu dengan saudaranya serta Sultan Sulaiman. Kemudiannya Opu Daeng Perani berserta Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi pun berangkatlah balik ke Riau.

Apabila tiba di Riau, Opu Daeng Perani pun memaklumkan lah kepada Sultan Sulaiman serta kedua paduka adindanya iaitu Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Merewah dan Opu Daeng Cellak. Setelah bermesyuarat dan setelah dipersetujui oleh semua saudara saudaranya dan Sultan Sulaiman, lalu disiapkanlah angkatan perangnya untuk pergi membantu Raja Kedah seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Maka Yang DiPertuan Muda serta Opu Opu itu pun bermohonlah kepada Sultan Sulaiman lalulah ia berlayarlah ke Kedah. Maka apabila sampai ke Kedah berjumpalah ia dengan Raja Kedah yang tuanya itu. Maka lalu berjanji Raja Kedah dengan Opu Opu itu apabila hasil maksudnya maka ia memberi hadiah kepada Opu Opu itu lima belas bahara (timbangan berat) ringgit. Maka jawab Opu Opu itu, “Mana mana suka Raja Kedah, kerana saya semua ini kemari tiada lain hanyalah menolong Raja Kedah jua adanya”.
Syahadan maka Opu Opu itu pun mengumpulkan segala Bugis Bugis yang sedia ada memang di dalam Kedah lalu diperiksanya, “Sebelah mana dirimu semua ini jika aku berperang dengan Raja Kedah yang muda itu kelak? Maka jawab mereka itu, “Adapun yang patik semua ini tiada tuan patik semua yang lain, melainkan tuanku lah adik beradik”. Maka jawab Opu Opu itu, “Baiklah nanti aku hendak melantik Raja Kedah yang tua dahulu menjadi Yang DiPertuan Kedah”. Syahadan apabila keesokkan harinya maka Opu Opu itu pun melantiklah Raja Kedah yang tuanya jadi Yang DiPertuan Kedah.

Syahadan kata sahibul hikayat apabila Raja Kedah yang muda itu mendengar saudaranya itu di lantik oleh Yang DiPertuan Muda Riau serta Opu Opu Raja Bugis, maka ia pun sangatlah marahnya. Maka lalu ia mengumpulkan hulubalang menterinya serta beberapa rakyat tenteranya. Maka sudah kumpul, baharulah ia pergi melanggar kota Raja Kedah yang tua itu. Maka berperang besarlah dengan Yang DiPertuan Muda Riau serta segala saudaranya. Maka sangatlah ramainya sebelah menyebelah, dengan gegak gempitanya daripada bunyi meriam dan senapang dan bunyi bahana sorak tempiknya, maka bermati matilah antara kedua pehak itu. Syahadan ada kira kira sebulan lamanya ia berperang itu, maka pecahlah perang pihak Raja Kedah yang muda itu kerana banyak panglimanya mati. Maka lalu undur ia membawa dirinya kepada tempat yang jauh. Syahadan orang orang Bugis serta orang orang Riau masuklah ke pendalaman Raja Kecik yang muda itu, merampaslah ia.

Syahadan apabila sudah selesai daripada perangnya itu, maka Yang DiPertuan Muda serta Opu Opu itu pun berjumpalah dengan Yang DiPertuan Kedah, hendak minta balik kerana pekerjaan sudah selamat. Maka dibayarlah oleh Yang DiPertuan Kedah itu tiga bahara ringgit, yang selaginya itu ia bertangguh. Maka apabila selesai, Yang DiPertuan Muda serta saudara saudaranya pun belayarlah ke Riau. Maka apabila tiba di Riau mengadaplah sekelian Opu Opu itu akan baginda Sultan Sulaiman menceritakan pekerjaan menang perang Kedah itu. Kata setengah kaul beristeri pula Opu Daeng Parani akan saudara Yang DiPertuan Kedah (yang bernama Tunku Aisyah), mendapat seorang anak perempuan.

Syahadan maka tiada berapa lama maka Opu Daeng Menambun serta Opu Daeng Kemasi bermohonlah kepada saudaranya Yang DiPertuan Muda serta Sultan Sulaiman hendak balik ke Matan. Maka diizinkanlah oleh Yang DiPertuan Muda serta Sultan Sulaiman, maka belayarlah Opu Daeng Menambun serta Opu Daeng Kemasi balik ke Matan adanya, kerana Raja Sambas yang bernama Sultan Adil berkirim surat kepada Yang DiPertuan Muda serta saudaranya menyilakan ke Sambas. Adalah maksudnya itu hendak didudukkannya dengan saudaranya salah seorang daripada Opu yang lima beradik. Syahadan adapun Opu Opu yang lima beradik itu masing masing sudah ada ketetapannya halnya, hanyalah Opu Daeng Kemasi sahaja yang belum tentu ketetapannya. Maka sebab itulah Opu Daeng Menambun dibawanya juga, demikianlah kisahnya.

Syahadan tiada berapa lamanya tibalah ia di negeri Sambas, lalu masuklah ke Kuala Sambas. Maka turunlah segala orang besar besar menyambut disuruh oleh Raja Sambas itu. Maka berjumpalah Opu Daeng Menambun berdua saudara dengan Sultan Adil itu, dipermuliakannya betapa adat Raja Raja berdatang datangan. Syahadan tiada berapa antaranya maka Sultan Adil pun menikahkan Opu Daeng Kemasi dengan saudaranya yang bernama Raden Tengah, betapa adat istiadat Raja yang besar besar nikah kahwin demikianlah halnya. Kemudian maka Sultan Adil pun menggelar Opu Daeng Kemasi itu Pengeran Mangkubumi, memerintahkan Kerajaan Sambas dibawah Sultan itu demikianlah halnya.

Syahadan adapun Opu Daeng Menambun apabila sudah selesai paduka adinda nikah kahwin dan bergelar itu, maka ia pun bermohonlah kepada Raja Sambas hendak balik ke Matan. Setelah itu maka lalulah ia berlayar ke Matan. Apabila sampai ia ke Matan maka Sultan Muhammad Zainul Din pun menyuruh menyambut menantunya itu. Maka apabila Opu Daeng Menambun berjumpa dengan mertuanya maka digelarnya Opu Daeng Menambun itu Pengeran Emas Seri Negara, isterinya digelarnya Ratu Agung Sinuhun, iaitu Puteri Kesumba. Kemudian jadilah Pengeran Emas Seri Negara itu Raja memerintahkan negeri Mempawah. Maka tetaplah Opu Daeng Menambun jadi Raja didalam negeri Mempawah adanya”.

(bersambung ke bahagian ke lapan...)

No comments:

Post a Comment