Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Friday, May 22, 2020

Pending Emas kurun ke-19 milik Yang DiPertuan Muda Riau, Sultan Muhammad Yusof

Pending Emas kurun ke-19 milik Yang DiPertuan Muda Riau, Sultan Muhammad Yusof, kini menjadi salah satu koleksi bahan sejarah Taman Warisan Melayu (TWM) Singapura. Pending tersebut diperolehi pada harga S$16,625 setiap satu dari salah seorang waris Sultan Hussain Shah, sultan terakhir Singapura. Dua pending itu, yang merupakan sejenis perhiasan emas berkerawang yang dipakai di dada atau pinggang itu direka khas dengan corak Melayu Johor-Riau-Lingga yang mempunyai unsur-unsur geometri Islam dan dihiasi dengan batu-batu permata, seperti berlian dan delima.

Pending emas diraja tersebut akan dijadikan bahan koleksi bernilai tinggi TWM kerana pending-pending tersebut mempunyai unsur-unsur warisan Melayu Singapura.

Kedua-duanya sekarang disimpan di TWM tetapi tidak dipamerkan buat masa ini kerana akan menjadi sebagian daripada koleksi baru TWM yang bakal berwajah baru kelak.

Menjelang November ini TWM akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja peningkatan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

Menurut kurator muzium TWM, Encik Khalid Shukur Bakri, TWM mengetahui tentang dua pending itu daripada seorang waris ketujuh Sultan Hussain, Tengku Mohammad Shawal Tengku Abdul Aziz.

'Kededua pending ini amat istimewa kerana ia merupakan satu-satunya artifak keluarga diraja Singapura yang ada di TWM dan artifak paling berharga milik TWM.

'Setahu saya masih ada beberapa barang berharga lain yang dimiliki keturunan kerabat Sultan Hussain, seperti mohor beliau.

'Mungkin barangan itu semua terlalu berharga bagi mereka oleh itu mereka keberatan memberinya kepada kami,' kata Encik Khalid, 47 tahun.

Bahkan, sejauh ini TWM tidak mempunyai sebarang gambar Sultan Hussain.

Kerabat tertua yang difotokan ialah cucu Sultan Hussain, Tengku Alauddin Mansur Shah, atau Tengku Alam, yang sekarang bermakam di pekarangan Masjid Sultan.

Menurut Encik Khalid, satu daripada pending itu dimiliki Tengku Daik, iaitu daripada keturunan ketiga Sultan Hussain, manakala satu lagi milik Raja Mohammed Yusuf daripada kesultanan Riau, yang mempunyai talian melalui perkahwinan dengan kerabat Sultan Hussain.

Encik Khalid berkata pending itu digunakan kerabat diraja semasa menghadiri majlis-majlis kebesaran.

'Ketika itu, penjajah British sering menggunakan kepala tali pinggang khas semasa menghadiri majlis untuk membezakan diri mereka.

'Kerabat diraja menggunakan pending-pending ini bagi tujuan serupa,' kata Encik Khalid.

sumber: Berita Harian Singapura.

No comments:

Post a Comment